Projek Kapal Tempur: Ketua Pegawai Eksekutif, Broker Ditahan SPRM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata laporan siasatan projek pembekalan LCS akan diumumkan di Parlimen pada Mac depan.
Noah Lee & Nisha David
2022.01.26
Kuala Lumpur
Projek Kapal Tempur: Ketua Pegawai Eksekutif, Broker Ditahan SPRM Sembilan kapal Armada Timur Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) semasa latihan 'Operational Sea Training Exercise East atau OSTEX EAST' selama sepuluh hari di sekitar perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu, di Sabah, 6 Oktober, 2021.
[Ihsan Tentera Laut Diraja Malaysia]

Pihak berkuasa anti-rasuah Malaysia telah menahan tiga individu termasuk dua ketua eksekutif sebuah syarikat perkapalan kerana dipercayai terbabit dalam penyelewengan dana kerajaan yang diperuntukkan bagi membina enam buah Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Pada minggu yang sama, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan bahawa mereka menjangka dapat membentangkan laporan siasatan berkaitan projek pembekalan perolehan LCS bernilai RM9.13 bilion (AS$2.1 bilion) itu pada Mac depan.

Sumber peringkat tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu memberitahu BenarNews bahawa agensi berkenaan telah menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terlibat dalam kontrak pembinaan LCS pada Isnin, sebelum mereka menahan seorang lagi lelaki yang bekerja sebagai broker perniagaan pada Selasa.

"Berdasarkan petunjuk baharu yang diperolehi, pasukan yang menjalankan siasatan mengenai kes penyelewengan dalam pembelian kapal berkenaan telah menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif berusia 79 tahun dan 49 tahun ketika mereka hadir di Ibupejabat SPRM bagi memberikan keterangan pada Isnin.

"Suspek ketiga, seorang broker berusia 62 tahun pula ditangkap semalam (Selasa) selepas memberikan keterangan kepada SPRM," kata seorang pegawai agensi anti-rasuah itu kepada BenarNews semasa dihubungi pada Rabu.

Menurut sumber berkenaan, dua Ketua Pegawai Eksekutif tersebut dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana dengan nilai keseluruhan sebanyak RM24 juta (AS$5.73 juta) dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu dan menerima rasuah melalui pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat luar negara.

Broker yang ditangkap pada Selasa pula disyaki telah menerima wang rasuah daripada subkontraktor dalam projek tersebut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," kata sumber itu, sambil memberitahu yang pasukan penguatkuasa itu juga telah mendapat perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga mereka.

Sambil merujuk kepada peruntukan undang-undang mengenai kesalahan mengemukakan atau mengesahkan dokumen yang mengandungi butiran palsu, kata sumber kesemua mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, atau didenda lima kali ganda daripada nilai butiran palsu atau sebanyak RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd, adalah anak syarikat kepada Boustead Holdings Berhad (BHB) juga merupakan sebuah syarikat milik kerajaan yang diusahakan oleh majoriti anak-anak Melayu Bumiputera, di mana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan pemegang saham dalam BHB.

BNS telah dianugerahkan dengan kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2.18 bilion) pada tahun 2014 untuk mereka, membina dan menyerahkan enam buah generasi-kedua kapal peronda dengan kemampuan tempur persisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kapal tempur persisir (LCS) adalah kapal yang perang kecil yang direka untuk beroperasi di laut cetek persisiran laut dan kapal pertama sepatutnya diserahkan pada April 2019.

Bagaimanapun, menurut Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan pada awal tahun 2020, Kementerian Pertahanan gagal menuntut ganti rugi sebanyak RM116.5 juta (AS$28.8 juta) daripada Boustead Naval Shipyard kerana lewat lapan bulan dalam membina satu daripada kapal pesisir itu.

Pada Nov 2020, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memulakan siasatannya berhubung kontrak bernilai RM9 bilion itu.

Laporan dibentang Mac

Menurut pengerusi PAC Wong Kah Woh pada Rabu, jawatankuasa berkenaan telah memasuki fasa akhir pendengarannya mengenai kes LCS dan dijangka akan dapat membentangkan laporan mereka kepada Parlimen ketika persidangan disambung semula pada Mac depan.

Dalam satu muatnaik status di laman media sosial Facebook, Wong berkata PAC telah memanggil ramai saksi bagi memberikan keterangan mereka di hadapan jawatankuasa berkenaan, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, serta Panglima TLDM Mohd Reza Mohd Sany.

"Kami kembali ke Parlimen hari ini dan menyambung semula sesi pendengaran mengenai projek Littoral Combat Ship. Projek ini membabitkan dana berjumlah RM9.12 bilion, dengan RM6 bilion daripadanya telah pun dibayar tetapi tiada satu pun kapal yang disiapkan atau dihantar.

"Kami telah memanggil Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz, Panglima TLDM Mohd Reza Mohd Sany dan lain-lain untuk memberikan keterangan di hadapan PAC hari ini.

"Sebelum ini, kami juga telah memanggil Ahmad Zahid Hamidi, Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara) dan ramai lagi. Setakat ini, PAC telah mengadakan lapan sesi pendengaran mengenai LCS. Kami sudah memasuki fasa akhir pendengaran dan harapnya kami akan dapat membentangkan laporan pada persidangan bulan Mac nanti," kata Wong, yang merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Sementara itu, Hishammuddin pada hari sama berkata bahawa beliau dan TLDM telah mengesyorkan kepada PAC supaya meneruskan projek LCS tersebut kerana tentera laut itu sangat memerlukan kapal-kapal berkenaan.

"Tentera Laut Diraja Malaysia perlukan LCS…. Projek perolehan aset ini harus diteruskan... Ini yang saya, Ketua Setiausaha dan Panglima Tentera Laut tekankan dalam Prosiding Public Accounts Committee (PAC) berkaitan Littoral Combat Ship (LCS) tadi.

"Malah, ini juga turut disyorkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan. Melangkah ke hadapan, Kementerian Pertahanan Malaysia akan terus usaha sedaya upaya bagi memastikan isu perolehan ini dapat diselesaikan," kata Hishammuddin.

Mei tahun lalu, Menteri Pertahanan pada masa itu, Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan membenarkan BNS untuk menyambung semula pembinaan LCS walaupun siasatan terhadap kehilangan dana berjumlah berbilion ringgit masih belum selesai dan kegagalan syarikat itu untuk menyiapkan projek berkenaan seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Menurut Ismail, tindakan kerajaan itu akan menyelamatkan 1,600 pekerja tempatan dan lebih 400 perniagaan kecil dan sederhana yang dimiliki oleh orang Melayu.

Sebulan selepas itu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong memberitahu Parlimen bahawa PAC telah mendapati bahawa RM1 bilion dari RM6 bilion yang telah dibayar untuk pembinaan LCS itu tidak dapat dikesan.

Beliau meminta supaya kerajaan segera menyiasat kehilangan dana tersebut dan menambah bahawa wang itu perlu dipulangkan supaya projek pembinaan kapal dapat disiapkan.

Pada November 2020, syarikat induk BNS, Boustead Heavy Industries Corp Bhd, turut memfailkan laporan kepada SPRM tentang kemungkinan wujudnya penyelewengan dalam projek tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.