Hishammuddin Tolak Tanggapan Tawau Pusat Transit IS

Staf BeritaBenar
2017.01.25
Kuala Lumpur
170125-my-hishammuddin-620.jpg Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein berjalan beriringan sambil berbual dengan Menteri Pertahanan Filipina Voltair T. Gazmin sebelum mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Subang, di pinggir Kuala Lumpur, 3 November, 2015.
AFP

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein menolak tanggapan bahawa Tawau, yang terletak di pantai timur Sabah dijadikan sebagai pusat transit militan Negara Islam (IS), untuk menyusup masuk ke selatan Filipina, menurut media tempatan pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar pada Isnin yang berkata polis berjaya mendedahkan sel baru pelampau IS yang merancang menggunakan Sabah sebagai transit sebelum menyelinap masuk ke negara jiran Filipina.

Hishammuddin semasa bercakap di sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu berkata, "Tidak benar Tawau menjadi transit militan Daesh," katanya sambil menggunakan istilah lain bagi IS, seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian.

Sambil menambah beliau berkata, militan tidak perlu untuk transit kerana dalam dunia tanpa sempadan, mereka boleh bergerak bebas di mana saja dan menyerang sasaran.

"Inilah dunia tanpa sempadan dan apabila tidak ada sempadan, kita tidak memerlukan mana-mana tempat transit," tambah beliau.

Sementara itu, akhbar The New Straits Times melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din sebagai berkata, polis sedang memantau dengan rapi beberapa lokasi yang dikenal pasti di sekitar Sabah yang dikatakan sebagai tempat transit itu.

"Kami telah mengenal pasti beberapa lokasi di Sabah yang sedang digunakan oleh kumpulan militan sebagai transit sebelum mendapat akses ke selatan Filipina," katanya, sambil menambah bahawa lokasi tidak boleh didedahkan atas sebab-sebab keselamatan.

Ramli juga berkata, polis telah meningkatkan keselamatan dan perisikan untuk memantau pergerakan kumpulan IS itu di Malaysia.

Pada Isnin lalu, empat individu - seorang lelaki warga Filipina, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Malaysia – di tahan semasa serbuan oleh anggota anti-keganasan di Sabah dan Kuala Lumpur pada 13 dan 19 Jan.

Sel berkenaan dipercayai menerima arahan daripada bekas pensyarah Universiti Malaya yang didakwa menjadi militan di selatan Filipina, Mahmud Ahmad, dan Isnilon Hapilon, bekas pemimpin Abu Sayyaf yang mengetuai IS Filipina, entiti militan Negara Islam di negara berkenaan, menurut kenyataan media yang dikeluarkan Khalid di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

"Dengan tangkapan itu, cawangan khas PDRM telah menumpaskan sel baru bagi Daesh yang merancang untuk menjadikan Sabah sebagai pusat transit kepada pengganas dari Asia Tenggara dan Asia Selatan dalam usaha menyusup masuk ke Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas di bawah pimpinan Mahmud dan Isnilon," tambah Khalid.

Ketua Polis itu juga memaklumkan selain Mahmud, dua lagi rakyat Malaysia, anggota Darul Islam Sabah, Amin Bacho dan Joraimee Awang menyertai sel yang berpangkalan di Marawi City, Mindanao.

Mahmud, bekas pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya, menyertai kumpulan militan di selatan Filipina pada Januari 2014, demikian laporan The Malay Mail Online.

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 264 suspek sejak 2013, dengan 66 orang telah pun dibebaskan, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Ketua Anti-Keganasan PDRM, Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini kepada BeritaBenar.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.