Malaysia, Indonesia dan Filipina Sedia Lancarkan Rondaan Bersama

Hata Wahari & Ismira Lutfia Tisnadibrata
2017.03.13
Kuala Lumpur & Jakarta
170313-PH-ID-MY-patrols-620.jpg Anggota Pengawal Pantai Filipina mengiringi sebuah kapal kargo Vietnam selepas ia diserang lelaki bersenjata yang tidak dikenali pada 19 Feb lalu berhampiran pantai Malaysia dalam foto ini yang dikeluarkan pada 21 Feb, 2017.
[AFP /Pengawal Pantai Filipina]

Malaysia, Indonesia dan Filipina akan melancarkan rondaan bersama di Laut Sulu bermula bulan depan bagi melindungi anak-anak kapal daripada serangan lanun dan penculikan, kata pegawai-pegawai dari  tiga negara berkenaan.

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein pada Isnin mengesahkan mengenai rancangan pelancaran rondaan itu  berikutan kenyataan serupa daripada seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia dan  Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana minggu lalu.

"Pelancaran ini berikutan perjanjian yang dicapai dalam pertemuan  tiga menteri pertahanan - saya, Ryamizard Ryacudu dan Lorenzana semasa mesyuarat tiga pihak keempat pada 17 Nov 2016, selepas Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara Ke-10," “kata Hishammuddin kepada BeritaBenar.

"Inisiatif Laut Sulu melibatkan operasi latihan bersama, rondaan maritim diselaraskan dan rondaan udara di perairan maritim dan pantai berhampiran pantai timur Malaysia termasuk prosedur operasi standard untuk 'memburu’ hingga ke kawasan perairan Filipina," katanya.

Tahun lepas, Presiden Filipina yang baru Rodrigo Duterte  memberikan kebenaran kepada  Malaysia dan Indonesia untuk mengejar bot-bot militan hingga ke kawasan perairan Filipina bagi menangkap penculik dan membebaskan tebusan mereka.

Jurucakap Indonesia berkata pelancaran awal "kerjasama keselamatan maritim tiga pihak" itu dijadualkan pada 11 April di Pelabuhan Sandakan di Malaysia. "Ketiga-tiga menteri pertahanan akan menghadiri acara itu."

Para pegawai kementerian pertahanan dan kementerian luar negeri dari ketiga-tiga negara itu mula mengadakan rundingan tahun lepas mengenai keperluan untuk mengadakan rondaan bersama di rantau itu, yang dicemari dengan serangan lanun dan penculikan yang berkaitan  dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), sebuah kumpulan militan Selatan Filipina yang bersekutu dengan Negara Islam (IS).

Pada Mei 2016, Menteri-Menteri Luar Negeri bersetuju untuk melancarkan rondaan bersama bagi melindungi kapal-kapal dan anak-anak kapalnya. Sebulan kemudian, menteri-menteri pertahanan mengadakan lebih banyak perbincangan mengenai rancangan itu termasuk memberi tumpuan kepada penyelarasan rondaan udara dan laut.

Pada November, seorang jurucakap Indonesia berkata beberapa halangan telah memperlahankan usaha untuk melancarkan rondaan itu.

"Saya benar-benar berharap kita boleh melakukannya dalam masa terdekat," kata jurucakap Tentera Nasional Indonesia Brig. Jen Wuryanto kepada BeritaBenar. "Kami berasa agak malu sekarang [kerana] penculikan terus menerus berlaku."

Pada  Disember lalu, anggota keselamatan Malaysia membunuh tiga lelaki bersenjata dan menahan dua yang lain semasa pertempuran di luar negeri  timur Malaysia, Sabah. Pertempuran itu berlaku selepas tujuh lelaki bersenjata Filipina yang menaiki sebuat bot disyaki menyerang tiga kapal  di kawasan sekitar Semporna, sebuah bandar dekat pantai timur Sabah yang berhampiran dengan selatan Filipina.

Minggu lalu, Lorenzana berkata ASG menahan 31 orang tebusan termasuk enam pelaut Vietnam yang diserang di atas kapal kargo mereka di luar selatan Filipina bulan lepas, menurut  laporan Agence France-Presse. ASG juga menahan lima rakyat Malaysia, menurut para pegawai.

Lorenzana berkata beliau memberitahu Duta Vietnam ke Manila minggu lalu supaya melengkapi dengan senjata anak-anak kapal dari negaranya yang melalui perairan itu atau menyelaras dengan pihak berkuasa Filipina untuk mengelak daripada diculik.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.