Indonesia Minta Malaysia Tingkatkan Kerjasama Keselamatan Laut
2018.10.09
Jakarta, Indonesia

Presiden Indonesia Joko Widodo meminta Malaysia mempertingkatkan kerjasama keselamatan di perairan susulan kes penculikan dua nelayan Indonesia di Sabah baru-baru ini, demikian menurut Menteri Luar negara itu, Retno Marsudi pada Selasa.
"Presiden meminta pihak berkuasa Malaysia untuk mempertingkatkan kerjasama dalam menjaga keselamatan perairan laut sebagai usaha mengatasi keganasan dan menangani kes penculikan nelayan Indonesia oleh kumpulan bersenjata di perairan Malaysia,” tambah Retno.
Menteri Luar itu berkata demikian kepada media selepas sesi pertemuan antara Presiden Indonesia yang turut dikenali sebagai Jokowi dan Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat.
Wan Azizah berada di Jakarta untuk lawatan kerja selama dua hari ke negara jiran itu dan yang pertama baginya sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei lepas.
Dalam pada itu, Retno turut memberitahu yang Wan Azizah menerima baik permintaan Presiden Jokowi dan berjanji untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan negara itu.
"Beliau [Wan Azizah] berjanji meningkatkan rondaan di sekitar perairan yang sering menjadi kawasan tumpuan penculikan,
"Dalam konteks anti-keganasan, kami [kedua-dua negara] juga sudah kerjasama dan sentiasa berusaha mempertingkatkan pertukaran maklumat dan juga informasi risikan." tambah Retno.
Penculikan nelayan Indonesia
Keadaan keselamatan di perairan Sabah menjadi punca kebimbangan kerajaan Indonesia berikutan beberapa kes penculikan warga Indonesia di sekitar perairan berkenaan dengan kejadian terbaru yang berlaku pada 11 September lepas.
Dua nelayan dari Sulawesi Barat yang bekerja dengan sebuah kapal milik Malaysia, Dwi Jaya I telah diculik oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai anggota kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Filipina dan terkenal dengan aktiviti penculikan, pengeboman dan pemenggalan kepala sejak dua dekad lepas, di perairan Semporna, Sabah.
Sehingga kini, nasib kedua-dua nelayan berkenaan tidak diketahui tetapi menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah, anggota keluarga mangsa culik itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu, dipercayai dari Filipina dan bertutur dalam Bahasa Melayu, menuntut wang tebusan hampir AS$1 juta.
Pemanggil menuntut wang tebusan sebanyak AS$967,220 dibayar dalam Ringgit Malaysia (4 juta) namun tidak menetapkan tarikh akhir dan panggilan itu dibuat kepada isteri seorang daripada mangsa di Sulawesi, Indonesia.
Pada 20 Sept, Pasukan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) telah menembak mati dua lelaki yang disyaki bertindak sebagai pemberi maklumat kepada penculik, semasa adegan kejar-mengejar di sekitar perairan Pulau Bohayan, juga dalam daerah Semporna, Sabah, di mana penculikan 11 Sept berlaku.
Lelaki terbabit, yang tidak membawa pengenalan diri dan berusia dalam lingkungan 50-an, melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa ketika cuba melarikan diri dengan bot pam, menurut polis, yang memburu mereka selepas menerima ‘tip’ daripada penduduk setempat.
ESSCOM mengesyaki penduduk tempatan melindungi pemberi maklumat terbabit, kata Komandernya, Hazani Ghazali. Beliau juga berkata penculik berkemungkinan adalah anggota Abu Sayyaf.
Empat hari selepas penculikan itu berlaku, tiga nelayan Indonesia yang ditawan oleh Abu Sayyaf selama 18 bulan telah dibebaskan. Bagaimanapun, kerajaan Indonesia tidak mengumumkan mengenai pembebasan rakyat mereka itu.
Pada 19 Sept lalu, di satu majlis anjuran Kementerian Luar di Jakarta, yang menyaksikan kesemua tebusan dipertemukan semula dengan keluarga masing-masing, Timbalan Menteri Luar Indonesia AM Fachir berkata mereka telah dibebaskan "dengan menggunakan aset yang kita miliki di lapangan dan sokongan kerajaan Filipina. "
Pada Januari 2017, tiga nelayan Indonesia, Hamdan Salim, Subande Satto, dan Sudarlan Samansung telah diculik oleh kumpulan militan bersenjata Abu Sayyaf ketika berlayar di perairan Sabah, dan di bawa ke dalam hutan di Sulu, selatan Filipina sehinggalah dibebaskan pada 14 September.
Sementara itu, Pegawai Kementerian Luar Indonesia yang bertanggung jawab bagi kebajikan rakyat Indonesia di luar negara, Lalu Muhammad Iqbal semasa mengulas mengenai penculikan terbaru dan permintaan wang tebusan berkata, "Mudah-mudahan, Polis Sabah tidak hanya menyalurkan maklumat tentang tuntutan wang tebusan daripada penculik, tetapi mereka juga dapat membebaskan dua nelayan Indonesia yang telah diculik di perairan mereka."
Menurut data Kementerian Luar Negara Indonesia, sekurang-kurangnya 26 nelayan warga Indonesia telah diculik oleh kumpulan militan dipercayai Abu Sayyaf sejak 2016.
Menurut dokumen risikan Filipina yang disiarkan oleh media negara itu bernama Rappler pada 2016, kerajaan Indonesia membebaskan 17 nelayan yang diculik dengan membayar tebusan sebanyak 32.9 billion rupiah.
Penilaian kerjasama
Sementara itu, Pengerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Abdul Kharis Almasyhari mahu pentadbiran Jakarta menilai semula perjanjian kerjasama rondaan "trilateral" yang melibatkan Indonesia, Malaysia dan Filipina sebagai usaha memperkukuhkan maritime di kawasan persempadanan bersama dalam menghapuskan ancaman ekstremis yang dilancarkan tahun lepas.
"Penculikan terjadi lagi dan satu penyelidikan mengenal pasti kelemahan kerjasama itu perlu dilakukan,” katanya.