Peguam Tarik Diri Wakili Tertuduh Serangan Bom Puchong
2017.01.11
Kuala Lumpur

Perbicaraan pertama kes pengeboman sebuah kelab malam oleh anggota kumpulan Negara Islam [IS] pada Jun lepas, terpaksa ditangguhkan selepas, peguam bagi kedua-dua tertuduh menarik diri daripada mewakili tertuduh.
Persuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nordin Hassan pada Rabu telah menetapkan 24 Januari ini sebagai tarikh baru bagi membolehkan Imam Wahyudin Karjono, 21 dan Jonius Ondie @ Jahali, 24, melantik peguam baru mereka.
Semasa di mahkamah, peguam Wong Kar Fai dan Farida Mohammad yang mewakili Imam manakala Aaron Mark Pius dan Kong Jiun Yuan yang mewakili Jonius menarik diri daripada kes itu apabila mahkamah menolak permohonan mereka untuk menangguhkan kes berkenaan berikutan penerimaaan dokumen daripada pihak pendakwaraya.
Pasukan peguam tertuduh sebaliknya mahukan lebih masa bagi menyiapkan dokumen pembelaan lengkap, sambil memaklumkan mahkamah bahawa tanpa penangguhan berkenaan, mereka tidak dapat mewakili anak-agak guam mereka dengan adil
Mahkamah bagaimanapun menolak permintaan itu dengan Nordin berkata alasan yang diberikan oleh pasukan peguam tertuduh adalah tidak wajar kerana semua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan pada akhir Disember lepas.
"Tetapi peguam telah meminta untuk menarik diri dan saya tidak mempunyai kuasa untuk membantahnya. Peguam-peguam tidak lagi akan mewakili tertuduh pertama dan kedua,” tambah Pesuruhjaya Hakim itu.
Nordin juga berkata, “Jika mereka (Imam dan Jonius) perlukan peguam yang dilantik oleh mahkamah, pihak kami akan melantik seorang peguam untuk mereka, "
Timbalan Pendakwaraya Saiful Edris Zainuddin dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dijangka membawa 12 saksi semasa pendengaran keterangan selama dua hari mulai Rabu itu.
Dalam pada itu, akhbar The Star melaporkan Kar Fai, yang mewakili Imam, kemudian memberitahu pemberita bahawa peguam pembelaan telah mengemukakan permohonan untuk penangguhan atas sebab-sebab peribadi pada Isnin, tetapi ia telah ditolak.
"Saya baru sahaja pulang dari United Kingdom pada Jumaat lepas manakala Farida sedang pulih daripada denggi," katanya seperti dilaporkan oleh akbar berkenaan.
Serangan pada 28 Jun lepas di kelab malam Movida di Puchong, Kuala Lumpur, telah menyebabkan lapan orang cedera semasa mereka sedang menonton perlawanan bola sepak Euro 2016.
Dalam tempoh beberapa jam selepas serangan itu, Abu Hamza Al-Fateh, seorang lelaki Malaysia yang dikenali sebagai Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang sedang berjuang di Syria untuk IS mencatatkan mesej di laman Facebook beliau, mendakwa anggota kumpulan pengganas itu yang bertanggungjawab dalam serangan berkenaan.
Pihak berkuasa pada awalnya berkata persaingan perniagaan di kalangan samseng tempatan merupakan motif serangan berkenaan tetapi pada 4 Julai lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa IS adalah dalang dalam serangan itu.
Polis Malaysia telah menahan lebih daripada 264 orang yang didakwa terlibat dalam kegiatan militan termasuk lebih daripada 70 orang yang telah didakwa di mahkamah. Statistik terkini menunjukkan terdapat 56 rakyat Malaysia di Syria, termasuk 12 wanita dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan. Dua puluh tujuh rakyat Malaysia telah terbunuh di Syria dan Iraq manakala lapan orang lagi telah kembali ke tanahair.