Malaysia: Pegawai Antara 100 Disiasat Sabotaj Program Imigresen

Hata Wahari
2016.05.26
Kuala Lumpur
160526-my-immigration-sabotage620 Seorang wanita Malaysia sedang melihat sebuah pesawat Malaysia Airlines yang berada di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA], 25 Februari 2016.
AFP

Beberapa pegawai Imigresen Malaysia adalah di antara kira-kira 100 orang yang disiasat kerana dipercayai terlibat dalam mensabotaj sistem yang direka untuk meningkatkan perkhidmatan imigresen, penyiasat kerajaan mengumumkan pada Khamis berikutan siasatan selama tiga bulan yang dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebahagian daripada mereka yang disyaki mensabotaj program yang dikenali sebagai Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) sejak enam tahun lalu kini berada dalam tahanan polis, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita pada Khamis, menurut agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Siasatan menunjukkan mereka yang terlibat dalam sabotaj itu adalah daripada pegawai peringkat pertengahan, kakitangan sokongan Jabatan Imigresen, tetapi tiada pegawai peringkat tinggi yang terlibat," kata Ahmad Zahid.

"Pegawai itu bersekongkol dengan sindiket untuk mendapatkan ganjaran kewangan. Biar saya tegaskan sekali lagi bahawa kita tidak akan melindungi sesiapa yang telah melakukan kesalahan itu, " kata beliau sambil menambah," Malah, kita mahu tindakan diambil terhadap mereka.

"Perisikan yang dikumpul oleh polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan bahawa sindiket itu mula melanggar prosedur jabatan berkenaan antara enam bulan sehingga dua tahun melalui pembocoran data, termasuk nombor kod, Zahid berkata seperti dilaporkan Bernama.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah tangkapan terbaru di Thailand, di mana dua individu bukan rakyat Malaysia ditahan kerana didakwa menggunakan pasport palsu Malaysia.

Sabotaj sejak 2010

Tanpa memberi maklumat jelas mengenai skop bagaimana sabotaj itu berlaku itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Sakib Kusmi mendedahkan bahawa ia bermula sejak enam tahun lepas.

"Biar polis buat siasatan terlebih dahulu. Apabila selesai, nanti baru tahu jawapannya," kata Sakib kepada BeritaBenar.

Terdahulu, Sakib memberitahu Bernama bahawa tindakan tegas dan serta-merta sangat diperlukan kerana aktiviti sabotaj itu telah sampai ke tahap serius, dengan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan termasuk dipecat.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu Jabatan Imigresen mempertingkatkan kawalan di pintu masuk negara sehingga myIMMs ditambahbaik.

"Kita akan bantu Imigresen ketatkan kawalan di pintu masuk negara manakala risikan akan dipertingkatkan," katanya kepada Bernama yang enggan mengulas lanjut apabila ditanya kemungkinan terdapat warga asing yang dikehendaki telah menyelinap masuk ke dalam negara itu.

Zahid memberitahu media bahawa siasatan memberi tumpuan terhadap KLIA, tetapi pintu masuk lain negara juga akan disiasat.

Pada Selasa, satu pasukan petugas khas yang diketuai oleh Ketua Setiuasaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim telah dibentuk untuk mengkaji kelemahan dalaman sistem imigresen berkenaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 mendapati bahawa sistem MyIMMs yang dibina untuk menyokong sistem operasi utama Jabatan Imigresen di dapati tidak berfungsi dengan baik yang menyebabkan objektif penggunaan sistem itu tidak berjaya.

Laporan itu memberi contoh bagaimana kemudahan sistem biometrik bernilai RM10.3 juta [AS$2.5 juta] yang direka untuk menyaring dan mengenalpasti warga asing dan juga rakyat Malaysia di pintu masuk utama negara, didapati tidak dipasang dan digunakan.

Sistem imigresen dan pasport Malaysia menjadi tajuk berita sejak beberapa hari lepas, apabila seorang warganegara China ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok kerana didakwa cuba menggunakan pasport palsu Malaysia.

Wang Jianghua, yang ditahan Polis Imigresen Thailand, mengaku membayar AS$6,000 untuk membeli pasport palsu melalui Internet, menurut laporan.

Penahanan lelaki itu berikutan kejadian pada 14 Mei apabila seorang warga Sri Lanka ditahan di Lapangan Terbang Chiang Mai kerana didakwa melancong ke negara itu, dengan menggunakan pasport palsu Malaysia.

Penyiasat mendapati bahawa pasport itu milik seorang wanita warga Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.