Imigresen Mahu Kerajaan Kenakan Hukuman Sebat Terhadap Majikan Pekerja Asing
2017.08.18
Kuala Lumpur

Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] yang telah menahan lebih 224 majikan dalam tindakan gempur ke atas pekerja asing haram sejak bulan lalu minta kerajaan mengenakan hukuman lebih berat serta mahkamah khas untuk mempercepatkan pendakwaan.
Mustafar Ali, Ketua Pengarah JIM berkata jabatannya itu mahu kerajaan mengenakan hukuman sebat terhadap majikan yang didapati bersalah mengambil pekerja asing tanpa dokumen di negara itu.
“JIM mahu berbincang mengenai penguatkuasaan sebat dalam usaha memastikan hukuman lebih berat diambil terhadap majikan yang menggaji pendatang tanpa izin dengan Jabatan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara. Pertemuan itu akan diadakan pada minggu hadapan, dan selain itu, penubuhan sebuah mahkamah khas membicarakan kesalahan berhubung pekerja tanpa izin turut akan dibincangkan pada pertemuan itu,” katanya kepada media di Putrajaya pada Jumaat.
Beliau berkata, hukuman sebat sememangnya terdapat di bawah Akta Imigresen atas kesalahan menggaji warga asing tetapi hukuman itu selalu tidak dilaksanakan oleh Hakim ketika proses jatuh hukuman.
“Seksyen 55B Akta Imigresen telah menetapkan bahawa mana-mana majikan yang didapati bersalah menggaji pendatang asing tanpa permit yang sah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan sementara majikan menggaji lebih 5 pekerja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan 6 sebatan,” tambahnya lagi.
Tiada hukuman sebat diberikan
Mustafar berkata jabatannya hanya boleh membuat pendakwaan dan walaupun aspek hukuman berdasarkan merit bagi setiap kes, jabatan itu berharap majikan dikenakan hukuman yang lebih berat.
“Jadi kita akan bincang dengan ketua hakim negara mengenai perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, hukuman sebat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) tidak dilaksanakan, sebaliknya majikan hanya dikenakan kompaun RM5,000, selain denda dan penjara bagi kes tertentu.
Malaysia telah menamatkan kempen permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad pada hujung Jun lepas, dimana E-Kad itu telah diberikan secara percuma, yang bertindak sebagai pengesahan sementara untuk menggantikan dokumen perjalanan sah daripada pejabat kedutaan warga asing berkenaan.
“Proses permohonan E-Kad tamat pada 30 Jun, selepas itu gerak kerja kita memburu pendatang tanpa izin dijalankan kerana sasaran kita antara 400,000 hingga 600,000 pendatang asing yang dijangkakan masih berkeliaran tanpa permit di luar sana, berbanding 164,808 yang sudah memohon E-Kad,” katanya.
Sejak tarikh itu, pihak berkuasa Malaysia telah melancarkan operasi besar-besaran untuk menahan pekerja asing tanpa dokumen di seluruh negara.
Setakat Jumaat, Mustafar berkata, seramai 8,886 orang telah ditahan iaitu melibatkan 8,662 pekerja asing tanpa dokumen dan 224 majikan.
Berpuluh ribu rakyat Bangladesh, Myanmar, Indonesia serta rakyat dari negara Asia lain telah berhijrah ke Malaysia untuk mengambil peluang pekerjaan berisiko tinggi dan berbahaya demi membina kehidupan lebih baik, kerana pekerjaan sektor itu tidak mendapat sambutan daripada penduduk tempatan.
Lebih 2 juta pekerja asing bekerja secara sah di Malaysia, namun para pegawai menganggarkan terdapat lebih 1 juta pekerja tanpa izin yang membanjiri negara itu.
Mahkamah khas
Mustafar juga berkata, pertemuan dengan Ketua Hakim Negara Md Raus Shariff juga membincangkan mengenai mahkamah khas untuk membolehkan lebih banyak perbicaraan pelbagai kes berkaitan pendatang tanpa izin dapat dijalankan berbanding hanya sekali seminggu yang dilaksanakan kini di depoh tahanan.
"Perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelak kesesakan berlaku di depoh tahanan berikutan kekerapan operasi dan bilangan
pendatang asing tanpa izin yang ditahan ketika ini," tambahnya lagi.
Jabatan berkenaan juga memberi tempoh sehingga 31 Disember depan kepada pendatang untuk menyerah diri dengan dikenakan bayaran RM400 untuk pulang ke negara asal mereka melalui Program Serah Diri Sukarela.
“Mereka datang serah diri kepada kita dan tunjuk tiket pulang ke negara mereka, kita akan lepaskan mereka,” katanya sambil menambah pekerja tersebut boleh kembali ke Malaysia selepas tamat tempoh lima tahun berada dalam senarai hitam.
Penggubal undang-undang Asia Tenggara sebelum ini telah mendesak Malaysia menghentikan tindakan gempur terhadap pekerja asing di negara itu.
"Tindakan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan," kata Emmi De Jesus, seorang anggota parlimen Filipina, kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas mangadakan lawatan untuk mendapatkan fakta selama emoat hari ke negara itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia memetik De Jesus sebagai berkata, tindakan keras yang berterusan di Malaysia telah menyebabkan ramai pendatang hidup dalam ketakutan.
"Layanan buruk oleh pihak berkuasa, termasuk penahanan tanpa syarat dalam keadaan yang buruk, merupakan kebimbangan utama kami," katanya.
Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia telah dicemari dengan dakwaan bahawa pekerja asing tidak dilayani dengan sewajarnya termasuk tidak dibayar gaji setimpal selain pergerakan mereka disekat majikan yang turut menyimpan pasport mereka.
Gaji minima di Malaysia berbeza mengikut negeri-negeri dengan kadar minima RM1,000 [AS$233] di Semenanjung Malaysia dan RM920 [AS$214] di Sabah dan Sarawak. Bayaran gaji minima itu berkuatkuasa pada 1 Julai tahun lepas untuk pekerja tempatan dan pekerja asing di negara ini.