Malaysia Buang Kerja 15 Pegawai Imigresen Terlibat Sabotaj Sistem
2016.05.31
Putrajaya

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan membuang kerja 15 orang pegawainya selepas didapati terlibat bekerjasama dengan sindiket yang menggodam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs), dengan Ketua Polis Negara memberitahu BeritaBenar bahawa siasatan salah laku sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita [Polis] sedang menyiasat salah laku mereka [15 pegawai] dan jika ada bukti terlibat dalam jenayah, kita [Polis] akan mengesyorkan tindakan pertuduhan terhadap mereka,” kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa dihubungi dari Washington pada Selasa.
Terdahulu itu, Ketua Pengarah JIM, Sakib Kusmi pada sidang media selepas melawat kaunter Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur memberitahu, selain tindakan dibuang kerja, tindakan tatatertib turut diambil terhadap 14 orang lagi yang digantung kerja manakala lapan orang lagi dihentikan pergerakan gaji mereka sejak Feb lepas.
Katanya, kesemua yang didapati terlibat adalah dari perkhidmatan peringkat sokongan yang bertugas di pintu-pintu masuk utama negara, termasuk beberapa pegawai teknologi maklumat serta pegawai yang bekerja dengan vendor sistem itu.
“Aktiviti sabotaj itu dipercayai bermula sejak tahun 2010, melibatkan rangkaian yang didalangi oleh warga asing dengan menggunakan rakyat tempatan serta pegawai Imigresen, yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit bagi pihak kerajaan.
“Mereka ini menggodam sistem myIMMs dan mendapat kerjasama pegawai Imigresen dalam mengawal pergerakan keluar atau masuk sesiapa saja ke dalam negara, yang sekaligus mengancam keselamatan negara” kata Sakib.
Beliau turut memberitahu, dalam usaha untuk memantapkan lagi sistem jabatan berkenaan, kerajaan Malaysia akan memperkenalkan penggunaan barisan giliran pemeriksaan atau lebih dikenali sebagai “snake queue” di balai ketibaan dan balai berlepas di pintu masuk negara.
"Langkah memasang “snake queue” itu adalah sangat penting bagi menyaring kemasukan warga asing ke dalam negara terutama bagi mengekang kegiatan pemerdagangan manusia dan pengganas, selain mengekang penyalahgunaan kuasa dikalangan pegawai imigresen " katanya kepada Berita Benar pada Selasa.
‘Pertukaran tempat’
Beliau berkata, siasatan mendapati ada pegawai yang terlibat ketika baru saja enam bulan bertugas dengan jabatan itu, manakala yang paling lama, 15 tahun.
Katanya, jabatan berkenaan juga sedang dalam proses membuat pertukaran tempat bertugas bagi 63 pegawai dan kakitangan di pelbagai peringkat, manakala 20 lagi yang dipercayai terlibat secara langsung atau tidak langsung sedang dipantau oleh bahagian risikan jabatan,” tambah beliau.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen ditahan dan disiasat kerana dipercayai terlibat dalam mensabotaj sistem myIMMs.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim pula memberitahu media tempatan, satu pasukan petugas khas telah dibentuk untuk mengkaji kelemahan dalaman sistem berkenaan selepas Laporan Ketua Audit Negara 2015 mendapati bahawa sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik.
Menurut laporan itu lagi, kemudahan sistem biometrik bernilai RM10.3 juta [AS$2.5 juta] yang direka untuk menyaring dan mengenalpasti warga asing dan juga rakyat Malaysia di pintu masuk utama negara, didapati tidak dipasang dan digunakan.