Warga Indonesia Dipenjara Lebih Tiga Tahun Miliki Puluhan Gambar IS

Hata Wahari
2017.10.30
Kuala Lumpur
indonIS.jpeg Seorang warga Indonesia yang dipercayai memiliki bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Al Qaeda Semenanjung Arab (AQAP) di tahan polis di Kuala Lumpur, 24 September 2015.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan ke atas seorang warganegara Indonesia kerana memiliki 73 keping gambar berkaitan dengan militan Negara Islam (IS) pada tahun lalu.

Tahang Yuddin, 28 yang berkerja sebagai tukang kayu diarahkan menjalani hukuman itu bermula pada tarikh dia ditahan pada 8 Disember lalu.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Sofian Abd Razak pada Isnin atas  dakwaan memiliki kesemua gambar berkenaan di dalam telefon bimbitnya di pejabat pegawai kawalan Cawangan Khas, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor pada 1.45 tengah hari, 8 Disember 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak ke atas mana-mana bahan berkaitan.

Hakim Mohd Sofian, ketika menjatuhkan hukuman itu menegaskan, kesalahan yang dilakukan oleh Tahang merupakan satu kesalahan serius dan sekiranya tertuduh tidak ditahan, kemungkinan dia akan berjaya menyusup masuk ke Syria dan menyertai kumpulan militan IS.

“Mahkamah perlu membuat keputusan bahawa ia merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan keselamatan negara dan hukuman yang dijatuhkan adalah untuk memberi peringatan bahawa Malaysia tidak harus menjadi hub untuk melatih militan IS,” tegasnya.

Beliau memberitahu, sudah banyak tangkapan dan berita mengenai warganegara asing menjadikan Malaysia sebagai hub untuk berlatih sebagai militan dan menjadi negara itu sebagai transit untuk ke Syria bagi menyertai IS.

Tahang yang tidak diwakili peguam, semasa membuat rayuan memohon hukuman ringan dan berjanji tidak akan membuat kesalahan yang sama sambil menegaskan bahawa beliau akan pulang ke Indonesia selepas menjalani hukuman yang dijatuhi oleh mahkamah itu.

Pendakwaraya, Mohd Izhanudin Alis bagaimanapun meminta hukuman berat memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan serta melibatkan keselamatan negara.

Tambah Mohd. Izahudin, ini juga bagi membuktikan bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang bersekongkol dengan keganasan ataupun militan.

Menurut fakta kes, polis mendapati gambar-gambar tersebut dalam telefon bimbit tertuduh yang dengan jenama Iphone 6 berwarna perak ketika ditahan.

Polis Malaysia pada 13 Oktober tahun ini mengeluarkan senarai 45 rakyat asing yang ditahan sejak awal Januari kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan IS dan  kumpulan pengganas lain, dengan jumlah penahanan “pejuang pengganas asing’ mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara suspek berkenaan adalah rakyat Iraq, Turki, Albania, Yaman, Maldives dan China serta dari negara-negara berdekatan termasuk Bangladesh, Indonesia dan Filipina, kata Ketua Polis Polis Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan.

Dalam tempoh empat tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 349 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, termasuk IS. Enam puluh enam orang daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 34 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 53 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.