Lelaki Indonesia Hadapi Tuduhan Keganasan Di Malaysia

Hata Wahari
2015.10.22
151022-MY-INDONIS620 Seorang warga Indonesia yang dipercayai memiliki bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Al Qaeda Semenanjung Arab (AQAP) di tahan polis di Kuala Lumpur. 24 September 2015.
Ehsan Polis Diraja Malaysia

Seorang warga Indonesia, Hani Yahya Assagaf, 39 tahun yang merupakan juruperunding sebuah syarikat minyak, dan gas di dakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis, kerana memiliki bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Al Qaeda Semenanjung Arab (AQAP).

Beliau didakwa dibawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan jika sabit kesalahan.

Hani yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun, tidak membuat sebarang pengakuan ketika tuduhan dibacakan terhadap beliau di hadapan Majistret Zura Syazween Hamizan, dengan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Rafidah Raja Zaharudin.

Beliau yang merupakan keturunan Arab Indonesia, merupakan salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada 25 September lepas, setelah disyaki terlibat dalam perancangan untuk melancarkan serangan di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan sasaran-sasaran di negara-negara barat.

Penahanan Hani bersama seorang warga Syria dan rakyat tempatan itu, berkaitan dengan nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Australia sehari sebelum itu, tentang kemungkinan berlakunya serangan pengganas di Jalan Alor berdekatan dengan Bukit Bintang yang merupakan kawasan popular di kalangan pelancong serta juga para pegawai dari negara Barat.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada kira-kira pukul 9 malam, 24 September lalu, di perkarangan Kondominium Casa Mutiara, Jalan Hang Isap, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Majistret menetapkan 11 Dis depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

'Militan AQAP'

AQAP merupakan sebuah kumpulan militan yang ditubuhkan pada Januari 2009 melalui cawangan Al-Qaeda Semenanjung Arab dan Yemen serta kumpulan itu juga berkaitan dengan pejuang-pejuang militan di Afghanistan yang berjuang menentang Kesatuan Soviet (Russia) pada awal tahun 1990.

Kumpulan militan ini merupakan kumpulan Al-Qaeda yang paling merbahaya dengan melakukan serangan di Yemen malahan banyak menyasarkan sasaran barat.

Operasi kumpulan itu telah menyaksikan banyak gangguan ke atas infrastruktur diplomatik AS terutama di Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan disamping mengalakkan serangan terus ke atas AS dan Eropah.

Kumpulan serpihan AQAP yang dikenali sebagai Al-Qaeda Yemen (AQY) melakukan serangan ke atas kapal perang AS, USS Cole pada Oktober 2000 yang menyaksikan 17 anggota tentera AS terbunuh.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay memberitahu, seorang lagi suspek yang ditahan bersama Hani ialah warga Syria, Mohamad Al-Halki, 30, yang didakwa di bawah peraturan Jabatan Imigresen kerana menyalahgunakan visa pelajar untuk tujuan perniagaan.

Manakala suspek rakyat tempatan telah dibebaskan.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara tujuh bulan terhadap seorang anggota tentera selepas mengaku bersalah memuat turun imej bendera kumpulan militan Negara Islam (IS) ke dalam telefon bimbitnya

Hakim Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut kepada tertuduh Koperal Mohd Azidi Said, 28, dari Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan selepas didakwa memiliki gambar mengandungi imej lambang IS di bilik maklumat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada jam 10.05 pagi, 19 Ogos lalu.

Dua hari sebelum itu, lima lelaki telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai mahu ke Syria dari Turki.

Pengesahan penangkapan kelima-lima lelaki berkenaan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau yang menjawab pertanyaan pada sidang dewan itu berkata, Polis tidak mempunyai niat untuk menyekat mereka untuk melanjutkan pelajaran ke Turki, sebaliknya tindakan polis itu adalah hasil maklumat yang diperolehi daripada agensi perisikan antarabangsa.

Ahmad Zahid juga memberitahu sidang dewan yang sama, seramai 132 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan elemen keganasan terutama kumpulan militan IS termasuk tangkapan lima suspek di KLIA pada Ahad.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 123 telah ditangkap kerana terlibat dengan elemen IS yang menyaksikan 22 dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), 38 dibebaskan, 48 didakwa, 14 diusir dan seorang lagi masih dalam siasatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.