Mahkamah Tinggi Malaysia Lanjut Injunksi Kes Tanah Adat Orang Asli Kelantan

Injunksi sementara yang dilanjutkan itu melarang daripda melakukan pelbagai aktiviti di atas tanah yang dituntut sehingga 25 April.
Noah Lee
2021.04.07
Kuala Lumpur
Mahkamah Tinggi Malaysia Lanjut Injunksi Kes Tanah Adat Orang Asli Kelantan Orang Asli Batek dengan burung kesayangannya bernama "Toek" di Kampung Aur, Taman Negara, Pahang, 30 Ogos 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Tinggi Malaysia pada Rabu telah melanjutkan arahan sekatan sementara terhadap semua aktiviti perlombongan dan pembalakan oleh kerajaan negeri Kelantan dan syarikat swasta di dua buah perkampungan Orang Asli di negeri itu sehingga hujung bulan ini, sebelum mendengar permohonan injunksi dibawa penduduk kampung yang mendakwa bahawa tanah adat mereka telah diceroboh pihak-pihak terbabit.

Perintah injunksi sementara yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu adalah lanjutan kepada perintah sama yang dikeluarkannya pada 15 Mac lepas, dan terpakai bagi semua pihak termasuk kerajaan negeri Kelantan serta syarikat-syarikat yang dibenarkannya untuk membuat aktiviti diatas tanah terbabit, yang terletak di Kampung Kelaik dan Kampung Cabil, di daerah Gua Musang.

Rajesh Nagarajan, peguam yang bertindak bagi pihak tiga penduduk yang mewakili kira-kira 50 keluarga Orang Asli dari suku Temiar yang tinggal di perkampungan berkenaan berkata, keputusan pada Rabu itu dibuat oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh semasa sesi pengurusan kes secara maya dan turut dihadiri kesemua pihak yang terbabit.

"Sesi pendengaran kes hari ini adalah secara interparte (melibatkan kedua belah pihak) kerana kami telah mendapat perintah injunksi secara interim pada 15 Mac lepas. Semasa di mahkamah, pihak di sebelah sana (defendan) menyuarakan kekhuatiran bahawa mereka tidak sempat untuk menyelesaikan afidavit-afidavit buat masa ini. Mereka juga tidak bersetuju dengan permohonan kami untuk mendapatkan ad interim stay (lanjutan injunksi).

"Tetapi mahkamah telah membenarkannya, dan kini kami telah mendapat perintah lanjutan untuk sekatan itu. Ini bermakna kami mempunyai injunksi sehingga 25 April, di mana satu prosiding interparte akan dibuat dengan sebetulnya," kata beliau ketika dihubungi BeritaBenar pada petang Rabu.

Pada 10 Mac lalu, tiga Orang Asli iaitu Ahak Uda, 54; Aziz Angah, 33; dan Anjang Uda, 30, telah membuat permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan bersama satu saman sivil yang difailkan bagi pihak penduduk Kampung Kelaik dan Kampung Cabil.

Penduduk dua kampung berkenaan mendakwa kawasan tanah adat mereka telah dicerobohi oleh banyak pihak untuk menjalankan kegiatan perlombongan dan pembalakan serta penanaman durian dan kelapa sawit sejak enam tahun lalu.

Selain kerajaan negeri Kelantan, defendan lain yang disaman ialah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta 10 syarikat lain yang turut didakwa mencerobohi tanah tersebut.

Dalam saman sivil tersebut, Orang Asli mahu mendapatkan deklarasi bahawa penduduk dua kampung itu adalah pemegang hak adat dan pemilik tanah pusaka yang terdapat di sekeliling kampung berkenaan selain pengeluaran lesen dan/atau memberi kebenaran kepada pihak penceroboh adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka juga menuntut ganti rugi am daripada kerajaan negeri bagi semua kerosakan dan kemusnahan serta pencerobohan yang berlaku di tanah pusaka mereka, yang merangkumi sebahagian besar daripada tanah Orang Asli seluas 70 hingga 100 ekar.

Kejayaan buat Orang Asli

Menurut Rajesh, ketika sesi pengurusan kes pada Rabu, enam peguam telah hadir bagi mewakili sembilan defendan dalam kes tersebut, termasuk peguam dari Pejabat Penasihat Undang-undang Kelantan yang mewakili kerajaan negeri, Pejabat Tanah dan Galian, serta Jabatan Perhutanan.

Lima daripada defendan telah menyatakan hasrat mereka untuk membantah permohonan injunksi yang dibuat kumpulan Orang Asli tersebut, kata Rajesh, manakala sebuah syarikat -- Ladang Kelantan -- pula memohon kepada mahkamah supaya mereka dibenarkan untuk menjalankan kerja-kerja menjaga tanaman yang telah diusahakan di tanah yang menjadi pertikaian itu sebelum tarikh injunksi bermula.

Tiga lagi entiti yang terlibat tidak menyatakan apa-apa selain memperkenalkan diri mereka dan hanya membuat hantaran mesej e-review untuk menetapkan tarikh-tarikh pendengaran, tambah peguam itu.

"Mahkamah tidak membuat sebarang keputusan mengenai bantahan yang dinyatakan. Perkara ini kemudiannya telah ditetapkan untuk pendengaran interparte secara bersemuka pada jam 10.30 pagi 25 April ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu," kata Rajesh.

Pendengaran pada tarikh tersebut akan menyaksikan mahkamah mendengar hujah dari kesemua pihak dalam kes itu, sebelum ia membuat keputusan samada untuk memberikan satu injunksi bagi menghalang sebarang aktiviti di tanah yang menjadi pertikaian sehingga kes saman yang dibawa Orang Asli diselesaikan sepenuhnya di mahkamah.

Peguam itu memberitahu bahawa Orang Asli yang diwakilinya berasa amat gembira dengan pelanjutan arahan sekatan sementara itu, kerana ia merupakan satu lagi kejayaan buat kumpulan berkenaan setelah sekian lama berjuang untuk hak tanah mereka.

"Mereka berasa amat gembira kerana kes Orang Asli seperti ini susah untuk mendapatkan perintah injunksi dan sebagainya," kata Rajesh.

Berdasarkan data kerajaan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli, terdapat 18 etnik Orang Asli di Malaysia yang dibahagikan kepada tiga suku kaum utama iaitu Negrito (Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq, dan Lanoh), Senoi (Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Meri), dan Melayu Proto (Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kuala, Orang Seletar, dan Orang Kanaq).

Taburan masyarakat Orang Asli terdapat di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia, kecuali di Perlis dan Pulau Pinang, dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menyatakan bahawa negeri yang mempunyai bilangan Orang Asli teramai di Semenanjung adalah Pahang, diikuti oleh Perak dan Kelantan.

Walaubagaimanapun, masyarakat Orang Asli telah sekian lama berdepan dengan masalah mendapatkan pengiktirafan terhadap hak mereka kepada tanah adat, dan menyaksikan banyak kawasan penempatan mereka diceroboh.

Masalah itu turut mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang telah membuat beberapa cadangan kepada kerajaan mengenai isu tersebut.

"Kadar pengiktirafan tanah adat masih di tahap amat rendah selepas 60 tahun merdeka dan laporan siasatan SUHAKAM telah membuat 18 cadangan mengenai hak tanah tetapi kerajaan menerima 17 sahaja. Tetapi, proses bagi usaha mendapatkan pengiktirafan tanah adat akan mengambil masa panjang. Hanya pada akhir tahun lalu, kerajaan memulakan proses untuk menyusuli beberapa saranan secara sistematik,” kata Jerald Joseph, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia SUHAKAM kepada BeritaBenar pada bulan lalu.

SUHAKAM dalam laporannya pada 2013 telah membuat 18 saranan kepada kerajaan berdasarkan enam isu utama yang dibawa kepada perhatian mereka berhubung masalah Orang Asli.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor memerintahkan kerajaan negeri supaya membayar sekumpulan Orang Asli dari suku Seletar sebanyak RM5.2 juta (AS$1.26 juta) sebagai pampasan kerana mengambil tanah adat milik mereka sejak lebih 20 tahun lalu.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan negeri itu supaya mewartakan kembali sebidang tanah yang dianggap sebagai tempat kediaman menjadi penempatan Orang Asli.

Menurut satu laporan kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, aktivis dan peguam isu tanah adat sering menjadi mangsa ugutan, ancaman malah ditangkap polis.

Kematian turut berlaku, menurut laporan itu, yang memetik kes tembakan pada 2016 yang mengorbankan penduduk Sarawak, Bill Kayong, yang semasa hayatnya sering memperjuangkan isu tanah masyarakat Dayak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.