Kesatuan Parlimen Sedunia Hantar Wakil Ke Kuala Lumpur

Hata Wahari
2017.04.07
Kuala Lumpur
170407-my-anwar-620.jpg Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar(kanan)yang juga anak sulung bekas Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama poster Anwar semasa Persidangan Kesatuan Parlimen Sedunia [IPU] Ke-136 di Dhaka, Bangladesh, 2 April 2017.
[Ihsan Nurul Izzah]

Kesatuan Parlimen Sedunia (Inter- Parliamentary Union) [IPU] akan menghantar wakilnya ke Kuala Lumpur dalam usaha untuk menangani kebimbangan serta persoalan pertubuhan itu mengenai kes pemenjaraan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Badan dunia itu telah menyatakan hasrat berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Dhaka selepas berakhirnya Persidangan IPU Ke-136 yang berlangsung selama lima hari dan berakhir pada Rabu lepas.

IPU dalam kenyataan itu menegaskan bahawa Anwar masih kekal dalam penjara dengan diberikan rawatan perubatan yang tidak mencukupi atas kesalahan yang diragui.

“Kesatuan IPU mengulangi saranannya untuk melepaskan Anwar Ibrahim dari penjara dan pengembalian semula jawatannya sebagai Ahli Parlimen. Pertubuhan menganggap bahawa lawatan susulan ke Malaysia diperlukan untuk mendapatkan jawapan dalam menangani kebimbangan tertunggak dan persoalan mengenai kes Anwar,” kata kenyataan yang dikeluarkan di akhir persidangan yang diperolehi BeritaBenar pada Jumaat.

Anwar yang merupakan bekas ketua pembangkang dan seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat [PKR] kini sedang menjalani hukuman penjara yang kedua di Penjara Sungai Buloh, untuk tempoh lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pemimpin pembangkang itu sudah 24 bulan berada di penjara berkenaan manakala hukuman penjara terdahulu selama enam tahun atas pertuduhan yang sama adalah pada tahun 1998.

Selain Anwar, kesatuan itu juga berasa amat bimbang dengan keadaan merosot bagi beberapa ahli parlimen di dunia seperti di Venezuela, Filipina, Turki dan Cambodia, demikian menurut kenyataan IPU itu.

Dalam pada itu, Nurul Izzah, yang merupakan anak sulung Anwar semasa dihubungi memberitahu bahawa IPU amat bimbang dengan penahanan dan pemenjaraan ayahnya.

"Saya amat bersyukur kerana mereka (IPU) prihatin  dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia, khususnya pemenjaraan Anwar," katanya yang merupakan ahli parlimen Lembah Pantai kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau menegaskan, Parlimen Malaysia merupakan ahli IPU tetapi sehingga kini tidak ada tindakan yang dibuat oleh parlimen untuk menuntut pembebasan Anwar.

Katanya, usul yang dibawa  oleh Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran pada Rabu lepas berkaitan dengan gesaan badan dunia [IPU] itu  juga tidak dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bukan Anwar sahaja


Menurut Nurul Izzah, selain Anwar terdapat ahli Parlimen lain sepert Rafizi Ramli yang merupakan ahli parlimen Pandan yang turut berhadapan dengan tekanan dari kerajaan.

Rafizi didapati bersalah kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Beliau yang juga Naib Presiden dan Setiausaha PKR, didapati bersalah kerana memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac tahun lepas.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan yang memungkinkan dia kehilangan jawatan sebagai Ahli Parlimen sekiranya Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

Sementara itu,  Profesor Undang-undang Universiti Malaya, Dr. Azmi Sharom ketika diajukan persoalan sama ada Parlimen boleh mengambil tindakan dan gesaan dari tekanan IPU untuk membebaskan Anwar menegaskan bahawa Parlimen tidak mempunyai harus mematuhi gesaan IPU dari segi undang-undang.

“Tidak, parlimen tidak ada kewajipan dibawah undang-undang untuk mematuhi atau mengambil tindakan untuk membebaskan Anwar dari penjara atas gesaan IPU,” katanya ringkas kepada BeritaBenar.

Bidang kuasa terhad

Jawatankuasa mengenai Hak Asasi Ahli Parlimen yang membentangkan laporan mengenai Anwar di persidangan IPU itu mendapati masalah yang sering kali dihadapi Anwar adalah bidang kuasa terhad Peraturan 137  Akta Mahkamah Persekutuan di mana keupayaan mahkamah adalah terhad dan ini tidak termasuk penilaian semula kes tersebut mengikut merit.

Laporan yang dibuat oleh Mark Trowell, Peguam Diraja (QC) (Australia) dalam kesimpulannya mendapati bahawa rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan merupakan satu persendaan terhadap keadilan.

“Perbicaraan itu bukan sahaja dibuat secara tergesa-gesa dimana prosedur telah disenaraikan dan ditetapkan, malahan terdapat kecacatan dan penghakiman sempit yang dibuat oleh hakim yang mendengar kes tersebut dan Anwar mempunyai sebab untuk merasa terkilan dengan keputusan tersebut,” jelas laporan itu lagi.

Laporan itu juga menyebut bahawa Anwar  akan menjalani hukuman penjara lima tahun sepenuhnya memandangkan permohonan pengampunan dari Yang diPertuan Agong telah ditolak.

Pada Mac 2015, Lembaga Pengampunan menolak petisyen Anwar untuk mendapatkan pengampunan Diraja, tetapi pada Jun tahun yang sama, Anwar, isterinya Wan Azizah dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.

Anwar turut memohon kebenaran untuk mencabar dan membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan sambil mendesak lembaga itu supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memberi pengampunan dan membebaskannya.

Lembaga berkenaan menolak petisyen beliau untuk mendapatkan pengampunan Diraja dalam usaha untuk membebaskannya dari penjara.

Tetapi pada 18 Januari lepas, panel tiga hakim memutuskan dengan sebulat suara bahawa pengasas PKR yang juga musuh politik Perdana Menteri Najib Razak boleh meneruskan tindakan undang-undang terhadap keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan pada Mac 2015.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.