Juruteknik, Tukang Cat Dan Kerani Didakwa Menyokong Keganasaan
2016.06.08
Kuala Lumpur

Juruteknik kapal terbang, tukang cat kereta dan kerani adalah antara tiga yang di dakwa di tiga mahkamah berasingan bagi empat pertuduhan berkaitan keganasan termasuk mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Negara Islam pada Rabu.
Ketiga-tiga mereka yang didakwa itu adalah sebahagian daripada 15 suspek yang ditahan semasa operasi menjejaki anggota IS di Malaysia oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, selama tiga hari pada Mac lepas.
Menurut kertas pertuduhan yang dilihat BeritaBenar, Nor Hafizy Che Meh, 39, juruteknik kapal terbang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas dua tuduhan iaitu menggalakkan keanggoataan dalam kumpulan pengganas IS dan membenarkan perjumpaan diadakan di rumahnya di Kampong Melayu Subang, Selangor,* bagi menyokong aktiviti kumpulan itu antara Disember 2013 hingga Oktober 2015.
Beliau berdepan dengan tuduhan pertama, di bawah Seksyen 130 G (b) Kanun Keseksaan kerana menggalakkan perlakuan perbuatan pengganas manakala pertuduhan kedua, di bawah Seksyen 130 H (a) Kanun yang sama atas kesalahan menyediakan kemudahan untuk menyokong tindakan keganasan.
Nor Hafizy, yang merupakan bapa kepada tiga anak, dan tidak diwakili peguam boleh berhadapan hukuman penjara lebih 30 tahun serta denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan sebutan semula kes itu telah ditetapkan pada 28 Julai depan. Roslan Mat Nor bertindak sebagai timbalan pendakwa raya bagi kes berkenaan.
Sementara itu, sebuah lagi mahkamah di Selangor – Mahkamah Majistret Petaling Jaya membicarakan kes melibatkan tukang cat kereta Muhammad Aizam Mat Zin, 39, atas dakwaan memiliki 65 keping kertas berukuran A3 dan tiga keping kertas berpelekat berukuran A4 berkaitan kumpulan militan IS di Nombor 27, Jalan PUJ 1/14, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pada 6.20 pagi, 22 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas dan jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh berhadapan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya manakala Aizam diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob. Majistret Salamiah Salleh menetapkan sebutan semula kes itu pada 29 Julai depan.
Dalam pada itu di Perak, media tempatan melaporkan, seorang kerani wanita berusia 26 tahun itu, Rafidah Juma'at didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut, kerana memiliki pelbagai buku dan dokumen yang berkaitan dengan keganasan di rumahnya di Taman Bistari, Ayer Tawar pada 23 Mac lepas.
Dia didakwa memiliki bahan kegganasan itu di bawah Seksyen 130 JB (1) (a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada tujuh tahun atau denda.
Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan kes berkenaan manakala pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim. Rafidah tidak diwakili peguam.
Kementerian Dalam Negeri memetik sumber perisikan yang mendakwa lebih 130 rakyat Malaysia telah cuba untuk menyertai IS di Iraq atau Syria dengan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh semasa bertempur untuk IS di negara Timur Tengah itu.
Sejak tahun 2013, Polis DiRaja Malaysia telah menahan 193 suspek yang mempunyai hubungan dengan IS dan 58 daripada mereka telah didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.