Jurutera Wanita Mengaku Tidak Bersalah Sokong IS Melalui Google+
2017.11.14
Kuala Lumpur

Seorang jurutera wanita di sebuah kilang di Johor, didakwa di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur pada Selasa kerana memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) menggunakan aplikasi Google+ sejak tahun lalu.
Irma Julyanti Buang, 32, seorang jurutera sokongan teknikal di sebuah kilang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Mohd Sofian Abd Razak.
Irma didakwa menyokong kumpulan pengganas IS itu atas nama Celestica-Irma Julyanti Binti Buang dengan menggunakan aplikasi media Google+ miliknya di Johor Bahru.
Irma yang merupakan ibu kepada seorang anak didakwa melakukan kesalahan itu di bilik kejuruteraan Kilang Celestica (AMS), Jalan Seelong, Johor antara Januari 2016 hingga 20 April 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohd Sofian menetapkan 29 November ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan djalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam tempoh empat tahun lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 349 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuklah IS. Enam puluh enam daripada suspek tersebut telah dibebaskan, menurut data kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.
Malaysia, yang mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawa-pegawai keselamatan.
Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.
Pihak berkuasa Malaysia baru-baru ini memberitahu, negara itu sedia menerima semula 53 orang rakyatnya yang menyertai IS tetapi terkandas di Timur Tengah selepas kejatuhan khalifah diiktiraf oleh IS sendiri di bandar Raqqa,
Malaysia juga akan membenarkan suspek militan itu, yang pasport mereka telah dibatalkan, untuk kembali tetapi dengan satu syarat, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun kepada BeritaBenar pada 7 November lepas.
"Sekiranya mereka sanggup menyerah diri, beritahu kami, dan kami akan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan," kata Fuzi.
"Jika kami boleh bantu, kami akan bantu. Tugas kami ialah untuk membantu orang,” katanya.
Pada 23 Okt, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Parlimen bahawa 53 rakyat Malaysia bersembunyi di medan pertempuran Iraq dan Syria, selepas pihak tentera yang disokong Amerika Syarikat mengesan para pejuang IS dan merampas Raqqa, yang dikenali sebagai ibu negeri de facto kumpulan ekstremis itu. Beliau berkata, 34 rakyat Malaysia juga telah terbunuh dalam pertempuran di kedua-dua negara tersebut.
Fuzi berkata 53 rakyat Malaysia itu – yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak - masih berada di Syria dan mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana pertempuran sengit berlaku. Pegawai-pegawai lain sebelum itu mendakwa bahawa rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem di sempadan Jordan dan Turki.