Tukang Jahit Warga Indonesia, Guru Kaunseling Didakwa Terlibat IS

Fairuz Mazlan & N. Natha
2017.07.07
Slim River & Kuala Lumpur
IS-620.jpg Tukang jahit warga Indonesia Rino Kaswara Kasmar dibawa oleh pegawai anti-keganasan Malaysia bagi menghadapi tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Slim River, 7 Julai, 2017.
[N. Natha/BeritaBenar]

Dua lelaki, seorang warga tempatan dan seorang lagi rakyat Indonesia didakwa di dua mahkamah berasingan di Perak dan Kuala Lumpur atas pertuduhan keganasan berkaitan  kumpulan militan Negara Islam [IS].

Tukang jahit warga Indonesia didakwa dengan tiga pertuduhan keganasan berkaitan IS di Mahkamah Majistret Slim River di Perak kerana menggalakkan keahlian kumpulan Mujahideen Indonesia Timur (MIT) dengan menggunakan aplikasi Telegram antara Mei dan Jun tahun lalu.

Rino Kaswara Kasmar, 34, yang ditangkap dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 pada 12 Jun di Slim River didakwa pada Jumaat di mahkamah berkenaan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Rino yang tidak diwakili peguam setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagi pertuduhan tersebut, Rino didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas MIT dan kumpulan IS melalui kumpulan Telegram atas nama Rijal Mujahideen Minangkabau di Medan Niaga, Slim River, antara 2 Mei hingga 12 Jun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130G(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda.

Rangkaian JI

MIT yang berpangkalan di Sulawesi merupakan kumpulan dari Indonesia yang paling rapat dengan IS.

Pada tahun 2015, polis Indonesia dalam siri operasinya telah melumpuhkan  MIT, menurut Rohan Gunaratna yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan, Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.

MIT dilihat sebagai sisa rangkaian Jemaah Islamiyah yang bertanggungjawab di dalam pengeboman di Bali pada 2002. Pada tahun 2016, pasukan keselamatan Indonesia telah berjaya mengurangkan jumlah keahlian kumpulan tersebut daripada kira-kira 30 orang yang bersembunyi di pergununan Poso kepada sembilan yang melarikan diri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan IS dengan menggunakan aplikasi media sosial Telegram “AnsharulKhilaafah Filibiin Indonesia-Filipina” yang diwujudkannya di tempat yang sama, 2 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Rino didakwa memiliki telefon bimbit jenis Lenovo yang mengandungi unsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan IS di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Jalan Pasar, Slim River, 12 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda serta boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan berkaitan.

Timbalan Pendakwa Raya Syalia Ain Zainuddin telah memohon tarikh sebutan kes baru kepada mahkamah sebelum ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majistret Intan menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes Rino yang tidak ditawarkan jaminan memandangkan dia ditahan dibawah SOSMA.

Tiada keluarga tertuduh hadir semasa prosiding.

Guru kaunseling didakwa

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seorang guru kaunseling mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan IS serta memiliki imej kumpulan pengganas di dalam telefon bimbit dan komputer ribanya.

Razis Awang, 31, didakwa memberi sokongan dengan berbaiah kepada kumpulan itu dengan menggunakan nama Razis dalam kumpulan aplikasi Telegram “Gagak Hitam di sebuah rumah di Kulim, di Kedah pada pagi 30 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, Razis didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan, jika sabit kesalahan.

Anggota kumpulan yang dikenali sebagai Gagak Hitam diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang pejuang IS yang berpangkalan di Syria, yang terbunuh di negara itu, tiga bulan lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Razis didakwa memiliki enam keping imej di dalam telefon bimbitnya dan tiga keping imej di dalam komputer ribanya berkaitan kumpulan pengganas di tempat sama pada malam, 28 September tahun lepas.

Razis didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksima penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Hakim Azman Abdullah menetapkan 26 Julai ini untuk tarikh sebutan semula kes dan 11 hingga 13 September bagi permulaan perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, sebanyak 66 telah dibebaskan, demikian menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, kata seorang pegawai atasan unit antikeganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.