Warga Indonesia Dipenjara 2 Tahun Miliki Bahan Keganasan
2016.04.20
Kuala Lumpur

Mahkamah Tinggi Malaysia pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang warga Indonesia kerana memiliki bahan berunsurkan kegiatan keganasan manakala tiga lagi lelaki tempatan didakwa di beberapa buah mahkamah berasingan kerana terlibat dengan militan Negara Islam (IS).
Warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Ihsan, 32 mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki bahan berunsurkan keganasan seperti imej dan video kegiatan kumpulan pengganas IS, Al-Qaeda dan Mujahideen Indonesia Timur
di dalam telefon bimbitnya, hujung tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Nordin Hassan berkata, hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 1 Disember di sebuah rumah kongsi di Pontian, Johor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki telefon bimbit yang mengandungi 165 imej termasuk imej Abu Sontoso, seorang pengganas di Indonesia serta 211 video berunsurkan perbuatan keganasan berkaitan kesemua kumpulan berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan berkenaan.
Pada 28 Jan lalu, Ihsan telah dihadapkan ke mahkamah tetapi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut, namun menukar pengakuan kepada bersalah pada hari ini selepas pertuduhan dibacakan terhadap beliau.
Nordin berkata, sekiranya kesemua bahan yang ditemui itu disebarkan, ia boleh mempengaruhi golongan muda di Malaysia untuk melakukan perkara sama.
Sementara itu, tiga rakyat tempatan yang ditahan pada Mac lepas telah didakwa di tiga mahkamah berasingan di tiga buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Selangor kerana terlibat dengan aktiviti militan IS.
Mereka adalah antara lima belas yang ditahan dalam serbuan di seluruh negara, dengan enam telahpun didakwa di beberapa negeri pada Selasa. Enam lagi masih menunggu untuk didakwa.
Rekrut sertai pengganas
Mohamad Azmin Shah Sharifudin, 22 yang bekerja di kampong didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Siput, Perak atas tiga pertuduhan iaitu memiliki bahan aktiviti militan, menggalakkan dan merekrut seorang lelaki sebagai ahli kumpulan pengganas IS sejak Jun tahun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa memiliki barangan mempunyai kaitan kumpulan militan IS di Kampung Tersusun Salak Baru, Sungai Siput, manakala pertuduhan kedua, beliau didapati bersalah atas kesalahan menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas di lokasi sama pada Jun 2015.
Pertuduhan ketiga pula berkaitan dengan dakwaan merekrut seorang individu lain Ahmed Shahir Johari sebagai ahli kumpulan militan IS di perkarangan Hentian Sebelah Salak, Sungai Siput.
Sementara itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, seorang pelajar institusi kemahiran pula didakwa dengan pertuduhan memiliki barangan berkaitan perbuatan pengganas di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana, Petaling Jaya pada 24 Mac lalu.
Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang pula mendakwa seorang lelaki, Muhammad Hanif Ismail, 31 yang bekerja sendiri di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zin atas kesalahan memiliki barangan berkaitan keganasan di Kampong Baru Bukit Lada Awah pada 26 Mac lepas.
Kesemua mahkamah di tiga buah negeri itu telah menetapkan sebutan semula terhadap ketiga-tiga kes berkenaan iaitu pada 4 dan 25 Mei serta 9 Jun untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tiada pengakuan direkodkan dan kesemua mereka tidak dibenarkan diikat jamin.