Keganasan: Saudara Pemimpin Serantau IS yang Terbunuh Antara 20 Ditahan
2017.12.22
Kuala Lumpur

Sepupu Isnilon Hapilon, yang digelar "emir" bagi militan Negara Islam Asia Tenggara dan pemimpin kumpulan pengganas Indonesia, Jamaah Ansharut Daulah (JAD), adalah antara 20 suspek militan yang ditahan dalam serbuan di seluruh Malaysia bulan ini, kata pihak berkuasa negara itu pada Jumaat.
Seorang daripada suspek itu yang merupakan warga Filipina dan berusia 50 tahun telah ditahan di Kuala Lumpur pada 6 Disember lepas, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan
"Saya boleh mengesahkan suspek warga Filipina yang ditangkap itu adalah sepupu Isnilon," sumber perisikan Malaysia memberitahu BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Isnilon, pemimpin militan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang telah membuat janji setia kepada Negara Islam, juga membantu mengetuai dan menyokong pengepungan bandar Marawi oleh militan IS di selatan Filipina. Dia terbunuh pada Oktober lalu dalam pertempuran dengan pasukan kerajaan Filipina di bandar itu yang berlangsung selama lima bulan, kata tentera Filipina.
"Suspek itu sedang merekrut rakan senegaranya di kawasan Kepong untuk menyertai Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina," kata Fuzi mengenai lelaki Filipina berusia 50 tahun yang berada dalam tahanan polis itu.
Dalam mengumumkan penangkapan itu, Fuzi tidak menamakan suspek tetapi mengenal pasti mereka sebagai tujuh warga tempatan, tujuh rakyat Filipina, lima lagi adalah warga Indonesia, dan seorang rakyat Afrika utara. Beliau berkata mereka ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Selangor antara 30 November dan 15 Disember.
Ketua Polis itu turut mengesahkan pemimpin JAD berusia 24 tahun yang disyaki itu, sebagai dalang dalam percubaan untuk menyerang sebuah kafe terkenal dengan pelancong dan penduduk tempatan di Bandung, Indonesia pada Julai lepas. Percubaan itu bagaimanapun gagal, kerana bom buatan sendiri meletup terlalu awal. Suspek ditangkap di negeri Johor pada 30 November.
"Suspek terlibat dalam kejadian pengeboman di Bandung itu telah menyelinap masuk ke Malaysia kerana mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia," kata Fuzi, sambil menambah bahawa lelaki dalam tahanan itu juga telah mengumpul dana dan merancang untuk melakukan perjalanan ke Syria dan bergabung dengan IS.
JAD adalah sebuah kumpulan militan yang melakukan serangan pengganas di Jakarta pusat pada Januari 2016, di mana lapan orang, termasuk empat yang terlibat dalam pengeboman itu, terbunuh, kata polis Indonesia. Serangan itu merupakan kejayaan pertama di Asia Tenggara oleh IS.
Bekas guru ditangkap
Empat warga Indonesia berusia antara 31 dan 38 tahun telah ditangkap di Sandakan, Sabah pada 4 Disember, menurut polis.
"Keempat-empat mereka memasuki Malaysia secara haram dari Tarakan dan Nunukan, di Kalimantan, Indonesia dan merancang untuk menyelinap masuk ke selatan Filipina melalui Sabah untuk bergabung dengan kumpulan pengganas di sana," kata Fuzi.
Antara suspek lain yang ditahan dalam serbuan itu, yang polis mengenal pastinya sebagai seorang bekas guru merupakan rakyat tempatan berusia 46 tahun dari Kuching, Sarawak, yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Disember.
"Suspek merupakan sebahagian daripada ahli kumpulan aplikasi Whatsapp - The Rise of Jundullah, yang terlibat dalam perancangan untuk menyerang Festival Beer Better 2017. Tiga anggota sel pengganas itu, telah ditangkap pada awal Oktober di Pasir Puteh, Kelantan, " kata Fuzi sambil menambah suspek merancang untuk menuju ke selatan Filipina untuk menyertai sel pengganas di sana.
Sambutan perayaan itu dibatalkan selepas pihak berkuasa menafikan permit terhadap penganjurnya. Polis berkata festival itu diharamkan atas kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya serangan militan.
Pada 10 Disember, enam rakyat Malaysia dan lima orang Filipina berusia antara 16 dan 47 ditangkap di Sandakan.
"Semua suspek merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di selatan Filipina," kata Fuzi.
Pada hari yang sama, seorang lagi warga Filipina ditahan di Johor kerana didakwa terlibat dalam kegiatan keganasan.
"Suspek berada dalam senarai hitam oleh pihak berkuasa Filipina," kata Fuzi.
Kemudian, seorang lelaki dari Afrika Utara berumur 31 tahun yang dikaitkan dengan IS ditangkap di KLIA pada 15 Disember, selepas dia memasuki Malaysia dari sebuah negara jiran yang tidak di namakan pada awal bulan ini. Polis tidak menyatakan kewarganegaraannya.
"Suspek telah ditangkap oleh pihak berkuasa Turki pada September 2016 kerana penglibatannya dengan IS di Iraq dan Syria," kata Fuzi, sambil menambah pernahanan lelaki itu adalah hasil daripada perkongsian maklumat perisikan dengan agensi antarabangsa.
Ratusan orang ditangkap
Dalam tempoh empat tahun yang lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan kira-kira 370 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuk IS. Seramai 66 orang daripada suspek itu telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan BeritaBenar.
Selain itu, seramai 34 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria manakala 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana berlaku pertempuran. Para pegawai berkata, rakyat Malaysia itu mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem yang berada di sempadan Jordan dan Turki.
Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013, kata pegawai keselamatan. Satu serangan berkaitan IS berlaku di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016 yang menyebabkan lapan orang cedera.