Tiga Suspek IS Mengaku Tidak Bersalah Terhadap Tujuh Pertuduhan Berasingan

Hata Wahari
2017.04.27
Kuala Lumpur
170427-my-IS-tangkap-620.jpg Polis Malaysia mengaburkan wajah dalam gambar yang menunjukkan pegawai anti-keganasan menangkap suspek yang dipercayai memberi sokongan kepada militan Negara Islam di antara 15 hingga 21 Mac lalu di satu lokasi rahsia.
[Ihsan PDRM]

Pendakwa Raya Malaysia pada Khamis mendakwa seorang pengawal keselamatan wanita serta seorang tukang masak lelaki dan seorang pelajar lelaki di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi tujuh pertuduhan melibatkan diri dalam kegiatan militan Negara Islam (IS).

Ketiga-tiga tertuduh, yang ditahan pasukan anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia di beberapa negeri sebelum ini, mengaku tidak bersalah selepas didakwa secara berasingan di mahkamah itu.

Pengawal keselamatan, Zilah Tajuddin, 44,  didakwa bagi dua pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada kumpulan militan tersebut dan menggalakkan sokongan terhadap kumpulan itu melalui aplikasi Telegram.

Telegram Negara Tauhid

Tertuduh didapati memberi sokongan melalui “chat group” Telegram bernama Negara Tauhid, yang diciptanya.

Zilah didakwa di bawah Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, dan Seksyen 130 G (a) kanun yang sama yang membawa hukuman maksimum 30 tahun dan denda.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di  Jalan Cenderawasih, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Kinta, Perak pada 5 Julai tahun lepas.

Hakim Azman Abdullah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 18 Mei ini.

Tukang masak, Rosnizam Che Din, 29, pula didakwa bagi dua kesalahan iaitu mendapatkan sokongan IS melalui aplikasi Telegram dan menyokong kumpulan militan tersebut dengan menggunakan bahan letupan.

Dia didakwa  mengikut Seksyen 130 J (1) (a) Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu di No. 73 Jalan USJ 6/3B Subang Jaya dari 25 Mac hingga hingga 29 Jun tahun lepas.

Hakim Nordin Hassan menetapkan 1 Jun untuk  sebutan semula kes tersebut.

Dalam satu temu bual eksklusif BeritaBenar,  Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas PDRM Ayob Khan Mydin Pitchay pada Februari lalu, berkata, IS telah meningkatkan jumlah ahli barunya dengan lebih cepat menerusi aplikasi Telegram.

Pelajar, Hasrianto Matan, 21, pula didakwa dengan tiga pertuduhan mendepositkan wang berjumlah RM300 ke dalam akaun seorang juruteknik untuk melaksanakan aktiviti keganasan.

Dia dituduh mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun Bukhori Che Noor, 35,  masing-masing sebanyak RM100 pada 4 April, 1 Mei dan 5 Jun tahun lepas dengan pengetahuan bahawa wang tersebut akan digunakan untuk melakukan kegiatan keganasan.

Hasrianto didakwa mengikut Seksyen 130 N (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari tujuh tahun dan maksimum 30 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Pesuruhjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman menetapkan kes tersebut disebut semula pada 26 Mei.

Pada 10 April lalu, Bukhori dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Hakim Azman Abdullah  kerana memberi  sokongan kewangan bagi kegiatan keganasan  di bawah Seksyen 130 Q(1)(b) Kanun Keseksaan.

Bukhori didakwa bagi pertuduhan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun Maybank miliknya untuk manfaat pengganas Muhammad Wandy di Maybank cawangan Jalan Chain Ferry, Butterworth, Pulau Pinang di antara November 2015 hingga 30 Jun 2016.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 294 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS dengan 66 orang daripada mereka telah pun dibebaskan, menurut angka terkini yang diperoleh BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.