Lagi Rakyat Malaysia Terbunuh Di Syria
2016.04.21
Washington

Polis Malaysia mengesahkan seorang lagi rakyatnya yang menganggotai kumpulan militan negara Islam (IS) terbunuh dalam pertempuran di Syria, menjadikan jumlah kesemua 19 orang telah mati di negara bergolak itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay semasa dihubungi BeritaBenar berkata, Abd. Ghani Yaacob, dipercayai maut selepas terkena tembakan di bahagian dada semasa bertempur dengan tentera Bashar Al-Assad di wilayah Al Khair pada Ahad lepas.
“Abd. Ghani, seorang duda menggunakan nama Abu Bashir Al Malazy atau ‘Abu Kedah’, berusia 31 tahun, berasal dari Pendang, Kedah,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
Beliau berkata, lelaki itu dipercayai telah ke Syria untuk menyertai kumpulan berkenaan dengan mengambil penerbangan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Disember lepas.
Sementara itu, abang Abd Ghani yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Shukron berkata, keluarga mereka terkejut apabila didatangi anggota polis ke rumahnya di Padang Pusing, di daerah Pendang, iaitu kira-kira 360 km (225 batu) dari Kuala Lumpur, memaklumkan mengenai kematian dan pembabitan Abd Ghani dengan IS pada Rabu.
Katanya, keluarga mereka tidak mengetahui mengenai pemergian Abd Ghani ke Syria untuk menyertai IS kerana menyangka beliau bekerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu pemandu kren.
“Adik saya sering pulang ke kampong tetapi beliau tidak begitu rapat dan jarang berkomunikasi, kali terakhir dia balik adalah pada Disember lepas,” katanya sambil menambah terdapat sedikit perubahan dapat dilihat terhadap adik kelima dari sebelas beradiknya itu.
Mat Shukron menambah, antara perubahan yang dapat dilihat ialah sering ke masjid atau surau untuk solat berjemaah, dan semua ahli keluarga telah dimaklumkan mengenai kematian Abd Ghani kecuali ibu mereka yang kini sedang sakit dan uzur.
Ayob dalam satu kenyataan seperti dilaporkan sebuah media tempatan berkata, berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, lelaki ini telah memasuki Syria melalui Turki dengan menggunakan laluan haram dengan mendapat bantuan seorang lagi rakyat Malaysia yang sudah berada di Syria, Mohammad Wanndy Mohamed Jedi.
Katanya, Abd Ghani juga dipercayai mempunyai jaringan dengan beberapa anggota militan IS dari Kedah seperti Ismail Ishak yang dilaporkan terbunuh pada September tahun lalu.
Berdasarkan maklumat, Abd Ghani dikatakan tertarik dengan pergolakan di Syria menerusi Facebook dan tertarik dengan fahaman Salafi Jihadi oleh kumpulan militan ber-kenaan pada Mei 2013.
Seramai 46 orang rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria dan Iraq masih berada di kedua-dua negara bergolak itu dan mereka adalah di antara 73 orang yang dikenal pasti menyertai kumpulan militan itu manakala lapan lagi sudah pulang ke tanah air.
Ayub berkata, tujuh daripada mereka mati akibat menjadi pengebom berani mati makala 12 lagi maut semasa bertempur dengan tentera Syria.
“Seramai 10 individu telah dituduh di mahkamah termasuk enam daripadanya disiasat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan,” tambah beliau.
S. Adie Zul dan Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.