Pekerja Resort Dipenjara Tiga Tahun Miliki Gambar dan Video IS
2017.11.27
Kuala Lumpur

Seorang pekerja resort berusia 24 tahun dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin kerana memiliki gambar dan video dalam telefon bimbitnya berkaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Hakim Mohd Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman tersebut setelah Mohd Firdaus Saibi mengaku bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan aset-aset berkaitan kesalahan itu boleh dirampas.
Mohd Sofian ketika menjatuhkan hukuman itu memberitahu tertuduh, kesalahan yang dilakukan itu adalah berat dan ia membabitkan keselamatan negara dan mengarahkan hukuman penjara itu berjalan pada tarikh Mohd Firdaus ditahan, iaitu pada 21 Mac tahun ini.
"Sejak beberapa tahun lepas, telah ramai yang dijatuhkan hukuman kerana terlibat memiliki gambar dan video berkaitan IS, tujuannya untuk memberi kesedaran dan peringatan kepada orang ramai bahawa adalah satu kesalahan berat memiliki apa-apa barangan berkaitan dengan IS,” katanya.
Kata Mohd Sofian, dia bimbang jika perbuatan menyimpan gambar dan video IS dilakukan orang awam mungkin akan bersimpati ataupun terjerumus di dalam aktiviti kumpulan militan tersebut.
Mohd Firdaus ketika membuat rayuan, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengetahui bahawa memiliki gambar dan video berkaitan dengan IS merupakan satu kesalahan.
Ketika ditahan di sebuah resort di Kampung Sedili Kecil, di Kota Tinggi, Johor, Mohd. Firdaus memiliki 29 keping gambar dan 240 video IS di dalam telefon bimbit jenis SM-J111F/ DS.
Pendakwaan dijalankan oleh Munirah Shamsudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam tempoh empat tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 349 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, termasuk IS. Enam puluh enam orang daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 34 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 53 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.