Pekerja Pusat Peranginan Didakwa Milik Imej & Video Keganasan
2017.04.17
Kuala Lumpur

Seorang pekerja di sebuah pusat peranginan di daerah Johor pada Isnin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tuduhan memiliki 29 keping gambar dan 240 video berkaitan kumpulan militan Negara Islam (IS) yang disimpan di dalam telefon bimbitnya semasa beliau ditahan pada 21 Mac lepas.
Mohd Firdaus Saibi, 24, didakwa memiliki kesemua bahan itu di dalam telefon bimbitnya berjenama Samsung, di sebuah pusat peranginan di Kampung Sedili Kechil, Kota Tinggi Johor.
Firdaus adalah diantara sembilan individu yang telah ditahan oleh polis Malaysia dalam serbuan di lima negeri pertengahan bulan lalu, termasuk seorang pekerja restoran yang dipercayai terlibat dalam plot untuk mengebom sebuah balai polis, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada masa itu.
Kesemua mereka ditahan semasa operasi antara 15 Mac hingga 21, demikian menurut kenyataan Khalid.
Semasa prosiding di mahkamah majistret pada Isnin, Firdaus mengangguk mengaku kepada semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya, mahkamah tidak merekodkan pengakuan tersebut kerana kes keganasan jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin meminta penangguhan kes tersebut untuk mendapatkan laporan pakar dan juga meminta izin supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, demikian menurut laporan media tempatan.
Magistret Mazana Sinin kemudian menetapkan Mei 21 untuk sebutan semula kes dan menasihatkan tertuduh untuk melantik seorang peguam, sementara pemindahan kesnya berlangsung.
Firdaus dituduh bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, di mana jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum tujuh tahun, atau denda, dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan terbabit.
Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 294 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang mana 66 telah pun dibebaskan, menurut angka terkini yang diperolehi BeritaBenar.
Sementara itu, Khalid dalam satu ceramah di Universiti Malaysia Sabah pada Isnin berkata hampir 50 rakyat Malaysia yang menyertai IS sedang merancang untuk pulang ke Malaysia.
Lapan daripadanya telah kembali manakala 49 lagi sedang merancang untuk pulang ke negara itu, katanya seperti laporan berita akhbar berbahasa Inggeris The Star.
“Ada diantara mereka yang suami telah terbunuh dalam pertempuran telah berkahwin semula dengan militan IS yang lain. Anak mereka pula dibawah jagaan keluarga militan lain,” katanya.
Tambahnya, pelajar harus berwaspada apabila menerima pandangan agama di media sosial apabila berhubung dengan segelintir kumpulan seperti kumpulan Al-Islamiah yang menggunakan platform media soaial untuk menyebarkan ideologinya.
Tambahnya, kebanyakan kumpulan itu menggunakan Sabah sebagai transit untuk bergerak ke negara jiran untuk terlibat dalam aktiviti keganasan.
Antara militan IS Malaysia yang berada di Syria adalah Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang berada di negara bergolak itu bersama isteri dan anaknya.
Wanndy, baru-baru ini diisytiharkan oleh Amerika Syarikat sebagai Pengganas Global Tentuan Khas.
Jabatan Perbendaharaan AS berkata Wanndy, berserta seorang lagi warga Indonesia Bahrun Naim, yang juga merupakan dalang serangan bom di Jakarta tahun lalu, menguruskan hal ehwal kewangan dan operasi bagi perekrutan IS dan turut merancang melakukan serangan di kedua negara terbabit, dan tempat-tempat lain di Asia Tenggara.
Wanndy juga telah dikenalpasti oleh pihak Polis Diraja Malaysia sebagai dalang disebalik serangan bom di kelab malam Movida di Puchong, pada Jun tahun lalu.
Serangan itu merupakan yang pertama oleh IS di Malaysia, yang mencederakan lapan pelanggan kelab malam berkenan.
Dua orang lelaki - Wahyudin Karjono dan Jonius Ondie, masing-masing telahpun dihukum penjara baru-baru ini, atas dakwaan melakukan serangan bom tangan tersebut.
Dalam satu temu bual Facebook dengan BeritaBenar pada September 2015, Wanndy berkata dia tidak kesal meninggalkan Malaysia untuk menyertai perjuangan IS.
Kehadiran Wanndy dikalangan pengganas IS mula dikesan pada bulan Februari 2015 selepas dia muncul dalam sebuah video pemenggalan kepala seorang lelaki Syria.