SPRM Tahan Bekas Pengerusi Felda

Ray Sherman
2017.08.15
Kuala Lumpur
170815-MY-ISASAMAD620.jpg Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad Mohd Isa Abdul Samad berdoa di hadapan paparan digital selepas penyenaraian pertama Felda Global di Bursa Saham Malaysia di Kuala Lumpur, 28 Jun 2012.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa menahan Isa Samad, bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berhubung pembelian dua buah hotel di London dan di Kuching, Sarawak oleh salah sebuah anak syarikat lembaga berkenaan.

Isa, 67, ditahan selepas beliau hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar 2.40 petang, untuk memberi keterangan berkenaan dengan pembelian dua buah hotel antara tahun 2014 dan 2015, pada harga yang jauh melebihi harga asal oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Hanya Isa seorang dibenarkan masuk, walaupun  ditemani dua orang peguamnya, pejabat agensi anti-rasuah berkenaan untuk memberi keterangan. Beliau kemudian ditahan sekitar jam 4.30 petang, iaitu dua jam selepas sesi memberi keterangan bermula, menurut pegawai suruhanjaya berkenaan.

FIC ditubuhkan pada 2013 dan merupakan cabang pelaburan Felda untuk sektor hartanah, minyak dan gas. Pembelian dua hotel tersebut telah menyebabkan FIC kerugian jutaan ringgit Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki, mengesahkan penahanan tersebut sambil berkata, penahanan itu merupakan tindakan susulan daripada semua keterangan yang telah dirakam oleh pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut.

"Justeru itu, SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan dalam meneruskan dan melengkapkan siasatan kes berkenaan," katanya.

Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, sebelum ini pernah mempertahankan pembelian hotel mewah di London oleh FIC, dengan berkata pembelian tersebut tidak bertentangan dengan teras perniagaan perladangan terbabit.

Anak syarikat Felda itu, telah dilaporkan membeli sebuah hotel bertaraf empat bintang di Kensington, London dengan harga STG60 juta atau kira-kira RM330 juta pada Disember 2014, yang dikatakan jauh melebihi harga asal.

Pada Mei 2015, Paul Low, menteri yang bertanggungjawab di dalam hal ehwal integriti memberitahu Parlimen bahawa SPRM tidak menemui apa-apa kesalahan berhubung pembelian hotel berkenaan.

Walaubagaimanapun, pada 14 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, dalam satu kenyataan berkata bahawa beliau telah mengarahkan pembukaan semula kertas siasatan pembelian hotel itu, ekoran kemunculan maklumat baru.

Susulan itu, SPRM turut bertindak membuka kertas siasatan ke atas pembelian sebuah lagi hotel oleh FIC, di Kuching, Sarawak.

Ekoran daripada kedua-dua siasatan itu, SPRM menyerbu pejabat FIC dan merampas pelbagai dokumen. Beberapa tangkapan juga dibuat, tetapi tindakan terhadap Isa merupakan penahanan  yang paling penting.

Rumah Isa juga telah diserbu pada Selasa selepas beliau ditahan oleh suruhanjaya itu, di mana SPRM memohon perintah tahanan reman daripada mahkamah pada Rabu.

Terpalit dalam skandal

Felda, pengeluar kelapa sawit ketiga terbesar di dunia, sedang dipalit skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Ketua Pengarah Eksekutifnya Zakaria Arshad digantung kerja pada awal Jun lepas bagi membolehkan siasatan dalaman terhadap lembaga itu dibuat, dengan kerajaan bertindak menukar Isa ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), apabila beliau didakwa melarang usaha Zakaria untuk menghentikan salahurus tadbir di Felda Global Ventures.

Penukaran Isa ke SPAD dilihat sebagai langkah mengubati perasaan gelisah dikalangan peladang kelapa sawit serta pihak berkepentingan lain, disamping memulihkan imej syarikat yang dipersoalkan.

Kerajaan turut melantik Anggota Parlimen Johor Bahru Abdul Shahril Samad sebagai pengerusi baharu Felda menggantikan Isa.

Isa adalah ahli politik veteran dalam parti Umno dan beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan antara tahun 1982 dan 2004, dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan selepas memenangi jawatan Naib Presiden UMNO pada 2004.

Beliau bagaimanapun digantung jawatan dan keahliannya dalam parti itu selama dua penggal atau enam tahun selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Penangkapan berprofil tinggi

Penahanan Isa dikatakan antara yang paling berprofil tinggi di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya baru Dzulkifli.

Semasa awal pelantikannya, Dzulkifli berkata fokus utamanya selepas menerajui SPRM adalah untuk memastikan sektor perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat mempunyai kehidupan mewah melebihi pendapatan serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya.

Malaysia pada Januari lepas telah dilaporkan turun ke tangga 55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 Transparency International-Malaysia (TI-M).

Malaysia mendapat skor 49 daripada 100, penurunan satu tangga daripada tangga ke-54 pada tahun 2015.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.