Penderaan Seksual, Sime Darby Siasat Dakwaan Laporan Agensi Berita Antarabangsa
2020.11.19
Kuala Lumpur, Malaysia

Sime Darby, konglomerat Malaysia yang mengeluarkan kelapa sawit terbesar di dunia pada Khamis berkata syarikat itu telah melancarkan satu siasatan dalaman terhadap dakwaan berlakunya penderaan seksual dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja ladangnya seperti dilaporkan sebuah agensi berita antarabangsa minggu ini.
Sime Darby Plantation [SDP], iaitu satu cabang di dalam Sime Darby Group dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur menyatakan bahawa organisasi itu komited dalam mematuhi polisi dan peraturan yang ditetapkan bagi memelihara hak-hak pekerja.
"SDP memandang serius dakwaan yang dikemukakan di dalam artikel oleh AP berkenaan operasi syarikat kami. Seandainya ia adalah benar, dakwaan itu menggambarkan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang negara, dan juga polisi, prosedur serta garis panduan syarikat kami.
"SDP telah memulakan satu siasatan dalam terhadap dakwaan tersebut dan akan mengambil segala langkah yang perlu, sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran undang-undang atau perbuatan yang tidak beretika, atau bertentangan dengan polisi dan garis panduan kami," kata Sime Darby.
Konglomerat perladangan Malaysia itu mengeluarkan kenyataan berkenaan di laman sesawang syarikat, sebagai maklum balas terhadap sebuah artikel oleh agensi berita Amerika Syarikat yang berpangkalan di New York, ‘The Associated Press’ [AP] yang disiarkan pada Rabu di mana laporan itu mengetengahkan isu penderaan dan gangguan seksual yang dikatakan banyak berlaku di ladang-ladang kelapa sawit di Indonesia dan Malaysia.
Laporan itu turut mendakwa bahawa syarikat-syarikat pengusaha kecantikan ternama dunia adalah antara pelanggan hasil dari ladang yang menyaksikan penderaan dan gangguan seksual kepada pekerja wanita.
SDP dalam kenyataannya juga memberitahu yang syarikat itu akan menyiarkan butiran lanjut mengenai progres siasatan ke atas isu tersebut pada masa yang sesuai, dan menggesa mana-mana pekerja dan pemegang taruh yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan jenayah serta pelanggaran hak asasi manusia di dalam operasi atau rantaian bekalan SDP supaya tampil membuat laporan secara terus kepada syarikat atau pihak berkuasa.
“Pekerja dan pemegang taruh juga digalakkan untuk menggunakan saluran 'whistleblowing' (penyalur maklumat) yang disediakan syarikat, serta talian bantuan 'Suara Kami' yang disediakan untuk pekerja bagi menyampaikan sebarang isu dihadapi, tanpa perlu berasa bimbang dan SDP menjamin kerahsiaan mereka.”
Gangguan seksual
Di dalam artikel penyiasatan oleh agensi berita bertajuk 'Rape, abuses in palm oil fields linked to top beauty brands' (Rogol, dera di ladang-ladang kelapa sawit berkaitan jenama kecantikan terkemuka), telah mendakwa buruh wanita sering dieksploitasi dan menghadapi ancaman termasuk dirogol di ladang-ladang kelapa sawit di Indonesia dan Malaysia.
AP telah menamakan SDP dalam laporannya yang memetik kisah bagaimana seorang pekerja ladang wanita yang dikenali sebagai Indra, 27 tahun yang dibesarkan di ladang, dan berhenti sekolah pada usia remaja untuk bekerja di ladang sering diganggu secara seksual oleh orang atasannya dengan mengajaknya tidur bersama.
Laporan itu juga menceritakan bagaimana sukarnya bagi pekerja untuk keluar dari kehidupan di ladang kerana tidak mempunyai kelulusan pendidikan, dan buruh-buruh dikatakan terpaksa bergantung hidup dan tidak boleh meninggalkan rumah yang disediakan syarikat.
Selain daripada SDP, agensi berita itu turut turut menamakan sebuah lagi pegeluar utama kelapa sawit Malaysia, yang kerajaan juga mempunyai kepentingan sahamanya iaitu Felda dalam artikelnya itu dengan dakwaan yang sama.
FGV Holdings Berhad yang berkait rapat dengan Felda, pernah menghadapi tindakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) kerana didakwa menggunakan buruh paksa.
Kebodohan konsep perniagaan
Agensi penguatkuasa AS itu pada Oktober lepas telah mengenakan sekatan ke atas produk minyak sawit keluaran FGV Holdings dan Menteri Sumber Manusia M. Saravanan semasa mengulas mengenainya berkata para pegawai kementerian itu telah memantau situasi di syarikat berkenaan dan akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar undang-undang buruh.
Sementara itu, Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, sebuah badan bukan kerajaan hak asasi manusia Malaysia, Adrian Pereira berkata laporan AP itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, dengan beliau turut menyelar pengusaha-pengusaha produk kecantikan terkemuka yang sering menggunapakai kempen hak manusia di dalam perniagaan mereka.
"Rantaian perniagaan di peringkat global telah menipu seluruh dunia berkenaan isu 'sustainability' (kemapanan) bagi membuatkan jenama mereka kelihatan bagus. (Padahal) mereka hanya mempunyai mekanisme yang lemah dan bersifat superfisial di sepanjang rantaian perniagaan mereka.
"Malahan, mereka ini tidak dapat mengenalpasti rantaian perniagaan mereka sendiri dan ini adalah antara kebodohan mereka dalam merekacipta konsep perniagaan yang kononnya berada dalam kerangka hak manusia," katanya kepada BeritaBenar.
Pereira berkata bahawa masalah dihadapi pekerja-pekerja ladang juga adalah disebabkan ketiadaan kesatuan kerja yang kuat untuk memastikan semak dan imbang di dalam industri berkenaan.