Malaysia Bebas Isa Samad Dari Pertuduhan Pecah Amanah, Minta Bela Diri

Hadi Azmi
2020.06.16
Kuala Lumpur, Malaysia
200616-MY-IsaSamad1000.jpg Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Mohd Isa Abdul Samad memasuki perkarangan komplek Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Jun 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia pada Selasa membebaskan bekas pengerusi agensi pembasmi kemiskinan milik negara FELDA, Mohd Isa Abdul Samad daripada tuduhan pecah amanah berhubung pembelian sebuah hotel di Sarawak, tetapi memerintahkannya membela diri bersabit sembilan pertuduhan yang melibatkan pertuduhan mengambil rasuah sebanyak RM3.09 juta (AS$722,000) melalui perjanjian pembelian 2014 itu.

Hakim Nazlan Ghazali dalam hujahnya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan tersebut setelah mengambil kira minit mesyuarat Felda Investment Corp (FIC) yang jelas membuktikan pembelian Merdeka Palace Hotel bernilai RM160 juta (AS$37 juta) telahpun mendapat kelulusan lembaga pengarah.

“Tertuduh tidak pernah meluluskan penggunaan dana syarikat untuk tujuan pelaburan tersebut lantas pertuduhan yang menuduh tertuduh mengesahkan arahan penggunaan dana syarikat tersebut tidak dapat dibuktikan.

“Atas dasar ini semata-mata, pertuduhan pecah amanah ini tidak dapat diterima,” kata hakim itu semasa membacakan keputusannya itu.

Tambahnya lagi, pihak pertuduhan gagal mengemukakan bukti dan mewujudkan kes prima facie yang Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) itu mempengaruhi atau meminta pengarah-pengarah lain untuk meluluskan pembelian tersebut.

“Minit berkaitan mesyuarat berkenaan juga tidak merekodkan sebarang perbincangan mengenai perkara itu. Setiausaha syarikat yang merekodkan minit mesyuarat juga tidak mendengar apa-apa yang menjerumus ke arah itu,” tambah Hakim itu lagi.

Beliau bagaimanapun diperintahkan membela diri terhadap sembilan pertuduhan menerima rasuah yang bersangkut dengan transaksi pembelian hotel tersebut.

“Kes prima facie telah dibuktikan. Dengan ini saya memerintahkan Isa membela diri terhadap sembilan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," tambah Hakim itu.

Isa, bekas Naib Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu UMNO pernah digantung oleh parti itu kerana "politik wang", juga merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah semasa Barisan Nasional memerintah Malaysia.

“Melihat kepada bukti penerimaan wang oleh tertuduh, saya dengan ini memetik anggapan berkanun di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah untuk pihak pembelaan menafikan dan membuktikan bahawa ganjaran yang diterima dalam bentuk wang tidak diterima secara haram dan ia tidak diterima sebagai habuan kepada penglibatan tertuduh mempengaruhi kelulusan Lembaga Pengarah FIC untuk pembelian Merdeka Palace Hotel,” kata Hakim Nazlan dalam menyampaikan keputusan beliau.

Memandangkan itu adalah keputusan Lembaga Pengarah FIC, Hakim Nazlan berkata, tuduhan bahawa Isa meluluskan pelupusan wang berkenaan untuk pembelian hotel tidak dapat disahkan.

“Atas faktor ini… tuduhan pecah amanah yang dikenakan tidak boleh kekal," tambahnya lagi.

Sesi mahkamah pada Selasa itu hanya mengambil masa selama 30 minit dam tamat pada jam 11 pagi.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Isa yang kelihatan tenang berkata beliau akan membela diri melalui keterangan bersumpah di kandang saksi.

“Saya telah dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, jadi saya akan bela diri terhadap sembilan lagi pertuduhan. Saya memilih untuk memberi keterangan bersumpah,” kata Isa yang temani oleh anak dan isteri beliau di mahkamah itu.

Isa dituduh menerima wang ganjaran sebanyak RM3.09 juta (AS$722,000) secara haram daripada penama Ikhwan Zaidel, ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties melalui Muhammad Zahid Md Arip untuk mempengaruhi kelulusan pembelian hotel tersebut oleh FIC yang berjumlah RM160 juta.

Pada hari yang sama, Muhammad Zahid Md Arip yang merupakan bekas pegawai khas Isa dan juga pembantu kepada bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara sebagai lantikan baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada Oktober lalu mahkamah diberitahu bahawa Isa mengarahkan Ketua Pengarah Urusan FIC Zaid Abdul Jalil untuk menyemak semula pelan pembelian dengan memberitahu bahawa arahan itu datang daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Isa didakwa dengan sepuluh pertuduhan pada 14 Disember 2018 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas FGV pada 1 Januari 2011 dan kemudiannya meletakkan jawatan pada Jun 2017 selepas berjumpa dengan Najib berikutan kemelut dakwaan rasuah dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dijalankan terhadap beliau dan FELDA.

Keputusan Hakim pada Selasa menjadi perhatian umum ekoran pelucutan pertuduhan terhadap kes berprofil tinggi melibatkan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Riza Aziz, anak tiri Najib setelah peralihan kuasa pada Februari lalu yang menyaksikan parti UMNO kembali menjadi parti kerajaan melalui gabungan Perikatan Nasional.

Musa, 69, rakan politik rapat Najib dilepaskan dan dibebaskan dari kesemua 46 pertuduhan menerima rasuah dan penggubahan wang haram berjumlah RM386.45 juta (AS$90.4 juta) yang disabitkan terhadap beliau berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin selepas menerima permohonan dari pihak pendakwaan kes tersebut untuk menarik balik kesemua tuduhan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bagi kawasan Sungai Sibuga itu.

Pada 14 Mei, Riza Aziz, 43, dilepaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira AS$248.7 juta (RM1 bilion) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah bersetuju untuk memulangkan AS$107.3 juta (RM464.8 juta) daripada jumlah tersebut.

Kekalkan kerajaan

Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania, James Chin memberitahu BeritaBenar yang agak jelas bahawa kerajaan sekarang sedang mengambil langkah untuk mengugurkan semua pertuduhan terhadap ahli UMNO terutamanya pemimpin tertingginya.

“Tindakan itu perlu dibuat kerana adalah perlu untuk melindungi individu-individu ini yang kebanyakkannya adalah Ahli Parlimen dan kerajaan sekarang tidak mempunyai cukup Ahli Parlimen untuk kekal menjadi kerajaan.

“Masalahnya di bawah sistem perundangan Malaysia, dan ini juga suatu kebiasaan di negara-negara Komanwel, Peguam Negara mempunyai kuasa penuh untuk menggugurkan pertuduhan. Jadi, keputusan itu dibuat oleh satu individu. Tiada jalan lain dan ianya sah dari segi undang-undang, jika mereka mahu mengugurkan mana-mana pertuduhan terhadap semua atau sebahagian pemimpin.

“Saya fikir kebanyakkan orang ramai sudahpun menjangka ini akan berlaku jadi saya tidak fikir semua kita akan terkejut. Ini selalu terjadi di Malaysia di mana ‘ikan besar’ selalunya terlepas. Jadi ‘ikan kecil’ yang selalu akan terlibat dalam masalah terutamanya dalam kes rasuah besar,” kata beliau semasa dihubungi.

Sementara itu Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, terdapat perbezaan ketara antara budi bicara pendakwaan dan kebebasan perundangan.

“Dalam kes Riza dan Musa ia jelas merupakan tindakan budi bicara pendakwaan oleh Peguam Negara baharu. Pelantikan Peguam Negara secara umum merupakan pelantikan politik jadi kita boleh mengagak apakah motif di sebalik pengguguran kes-kes individu ini yang hampir dengan mereka yang baharu sampai ke tampuk kuasa.

“Dalam masa yang sama, kita belum melihat lagi satu corak timbul untuk meragui kebebasan badan kehakiman, memandangkan Isa tidak dilepaskan sepenuhnya daripada semua ataupun  majoriti perdakwaan yang dihadapinya,” tambah beliau kepada BeritaBenar semasa dihubungi.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.