Kerajaan Malaysia Nafi Jemput Diplomat Israel ke Kuala Lumpur

Hata Wahari
2018.02.15
Kuala Lumpur
180215-MY-Israel-620.jpg Bekas Timbalan Duta Israel ke PBB David Roet ketika berada di Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 - 13 Februari, 2018 lepas.
(Ihsan media sosial David Roet)

Kerajaan Malaysia pada Khamis menafikan bahawa ia telah menjemput diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia Ke-sembilan (WUF9) anjuran agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB] yang berlangsung dari 7-13 Februari di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Menteri Luar, Anifah Aman menegaskan bahawa diplomat Israel tersebut dijemput oleh PBB melalui agensi Program Penempatan Manusianya (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

“Adalah ditekankan bahawa tidak seperti surat jemputan kepada negara-negara yang lain, surat jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia,” kata Anifah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, UN Habitat turut mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa Forum WUF8 terbuka kepada semua negara anggota badan itu.

“Prosedur PBB dalam menganjurkan persidangannya dalam bentuk terbuka kepada semua negara anggota PBB,” tambah kenyataan agensi berkenaan.

Kehadiran bekas Timbalan Duta Israel ke PBB David Roet dan delegasi rasmi negara itu ke WUF9 Kuala Lumpur telah mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan badan bukan kerajaan dan pembangkang.

Roet dilaporkan memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel dan turut mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan Malaysia.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi untuk hubungan yang baik bagi kedua-dua negara di masa akan datang,” kata Roet melalui akaun laman Twitternya pada 12 Feb.

Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sejak ia ditubuhkan pada 1948 dan sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin. Sehingga kini Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan Malaysia jelas menyatakan bahawa pasport rakyatnya  tidak sah digunakan ke Israel.

Kedua-dua negara Palestin dan Israel adalah negara anggota PBB.

Anifah sementara itu menegaskan bahawa tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran Forum itu adalah tidak benar.

“Kedudukan Malaysia dengan Israel tidak berubah,” dan apa juga kenyataan yang membayangkan sebaliknya membuktikan niat jahat dan satu tanggapan bahaya, tambahnya lagi.

Katanya, surat jemputan kepada Israel, ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif UN-Habitat, adalah selaras dengan Perjanjian Negara Penganjur (Host Country Agreement) yang ditandatangani di antara organisasi itu dan Malaysia.

Sambil menegaskan bahawa Artikel III dari perjanjian tersebut diantaranya menyatakan, bahawa penyertaan dalam forum itu terbuka kepada semua anggota PBB dan mana-mana Agensi Khusus (Specialized Agencies).

Jelasnya Perjanjian Negara Penganjur ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada.

Beliau juga memberitahu pelbagai pihak telah memuji bahawa WUF9 telah dikelolakan dengan jayanya.

“Forum ini telah berjaya meningkatkan profil Malaysia dan mempamerkan pencapaian Malaysia untuk mempromosi, menyuara dan melaksanakan New Urban Agenda,” tambah Menteri Luar itu lagi.

Anifah memberitahu, WUF9 Kuala Lumpur juga menyaksikan penyertaan lebih daripada 25,000 orang dan perwakilan peringkat menteri dari 69 negara.

Beliau berkata, rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan Forum yang berprestij dan penting itu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu Raja Kamarul Bahrin Ahmad yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata tindakan Putrajaya membenarkan diplomat Israel itu  masuk ke Malaysia membuktikan mereka mempunyai hubungan dengan negara Zionis itu.

“Rakyat marah dan amat kecewa dengan kerajaan yang pernah mengajak rakyat berdemonstrasi mengutuk Israel untuk kepentingan mencari populariti dan menaikkan saham politiknya,” kata beliau.

Tambahnya, secara senyap-senyap kerajaan membenarkan pegawai tertinggi Israel memasuki Malaysia untuk seminggu dan apabila di soal bagaimana ini boleh berlaku, kerajaan Najib membisu.

“Adakah Malaysia telah menukar sikapnya terhadap Israel? Rakyat ingin tahu atau kerajaan Perdana Menteri Najib Razak tidak ada polisi yang jelas berhubung isu antarabangsa?,” tambahnya lagi.

Sementara BDS Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan anti-apartheid terhadap Israel turut mempersoalkan keputusan kerajaan Malaysia membenarkan diplomat Israel masuk ke Malaysia.

"Adakah kerajaan Malaysia serius untuk memperjuangkan hak Palestin dan bersolidarati dengan penduduk Palestin.

“Apa yang membimbangkan ialah media Israel telah mencanangkan bahawa lawatan diplomat Israel itu dan usaha untuk mengadakan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh NGO berkenaan.

Akhbar The Times of Israel melaporkan jurucakap Kementerian Luar negara itu Emmanuel Nahshon telah mengesahkan kunjungan diplomat terbabit ke Kuala Lumpur untuk persidangan tersebut.

Menurut laporan itu, delegasi dari negara berkenaan diketuai oleh Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet dan mereka menyertai persidangan yang dianjurkan UN-Habitat.

Pada 2015, kerajaan Malaysia enggan memberikan visa kepada pasukan pelayar Israel untuk menyertai kejohanan kapal layar dunia di Langkawi yang mencetuskan kecaman dari ramai pihak.

Malaysia bagaimanapun,dilaporkan membenarkan lawatan keagamaan terhad ke Israel oleh penganut agama tertentu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.