Warga Net Malaysia Pertikai Poster JAKIM Berkaitan Larangan Hina Sultan
2021.06.03
Kuala Lumpur

Rakyat Malaysia meluahkan rasa kejelikan terhadap satu hantaran di laman Facebook oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Khamis yang mengingatkan rakyat supaya tidak mengundang kemurkaan Tuhan terhadap perbuatan “menghina” Sultan, selepas berlakunya peningkatan luahan kekecewaan rakyat yang beranggapan raja dan sultan tidak mengambil tindakan memadai membantu rakyat semasa pandemik COVID-19.
Muat naik poster larangan menghina Sultan disertakan dengan petikan sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman yang didakwa diucapkan oleh Nabi Muhammad oleh JAKIM itu bagaimanapun mendapat reaksi Menteri Hal-ehwal agama Islam Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menafikan beliau mempunyai kaitan dengan status tersebut.
“Saya tidak pernah arahkan apa-apa. Menjadi kelaziman JAKIM untuk buat hantaran hadis-hadis. Alhamdulillah, saya suka apabila semakin ramai mula ingin mengenali hadis, termasuk memahami hadis daripada sudut ilmu dirayah dan ilmu riwayah, tidak cherry-picking,” jawab Zulkifli dalam ciapan di Twitternya.
Sejak kebelakangan ini tular di laman media sosial dengan pelbagai hantaran mengenai kekecewaan rakyat yang mengharapkan pembesar negara untuk menjadi pembela mereka, selepas kegagalan kerajaan berbuat demikian dalam situasi negara dilanda pandemik.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mengulas mengenai situasi terkini negara yang masih dalam proklamasi darurat dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada Khamis berkata sepucuk surat telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Mei lepas, meminta perkenan Seri Paduka untuk campur tangan dalam menangani masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.
"Sebab itu kita telah tulis rayuan kepada raja untuk ambil berat tentang penderitaan rakyat. Kita percaya bahawa Raja menjadi pelindung, payung kepada rakyat. Jadi apabila rakyat kecewa mereka tak dapat layanan termasuk kerajaan, maka kita pandang kepada raja-raja untuk selesaikan masalah kita.
“Kalau tidak raja-raja atau kerajaan, siapa lagi? Jadi apakah negara kita ini boleh benarkan satu kerajaan yang zalim terus berjalan tanpa pembelaan oleh sesiapa pun?” ujar Mahathir pada sidang media secara maya dan menjawab soalan wartawan mengenai rayuan meminta Yang di-Pertuan Agong campur tangan untuk menamatkan perintah darurat bagi negara itu.
Pada 20 April lalu, Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda supaya perisytiharan darurat ditamatkan, yang menurut Ahli Parlimen Langkawi itu sehingga kini pihaknya masih belum mendapat jawapan dari Istana Negara.
Untuk rekod, pada Januari lalu Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau hingga suatu tarikh yang lebih awal sebaik penularan jangkitan COVID-19 dapat dibendung.
Muat naik poster oleh JAKIM itu membuatkan orang ramai menggunakan media sosial untuk mempertikaikan mengenai motif jabatan berkenaan membuat hantaran tersebut dengan rata-rata meminta jabatan berkenaan memberi tumpuan terhadap fungsinya sebagai agensi kerajaan dan bukannya alat politik.
“Jangan jadikan platform kerajaan (baca hak rakyat) sebagai tempat politik dan kepentingan sesuatu pihak. Rakyat ada hak untuk menegur jika pemimpin tidak adil,” ujar salah seorang warga net di ruangan komen hantaran tersebut.
Malahan, ada juga yang mempertikaikan tindakan JAKIM menggunakan hadis yang disahkan sebagai dhaif (hadis lemah) oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2018.
“JAKIM main ceduk kitab tafsir yang tidak tergolong dalam enam kitab sahih,” komen seorang lagi pengunjung laman Facebook rasmi JAKIM.
Tindakan terhadap pengkritik Agong
Pada Isnin, Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di akaun Facebook miliknya pada Sabtu lepas.
Iswardy didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut pertuduhan, Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui profil Facebook Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum itu, pada April polis telah menahan aktivis Fahmi Reza bagi membantu siasatan berhubung dakwaan satu hantaran berbaur penghinaan membabitkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman media sosial.
Siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran dibuatnya menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza membabitkan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Dia dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan polis selepas kenyataannya dirakamkan bagi membantu siasatan.