Istana Negara: Parti-parti Malaysia mesti selesaikan jalinan gabungan, bentuk kerajaan menjelang petang Isnin

Yang di-Pertuan Agong menetapkan tempoh akhir bagi parti-parti mengemukakan cadangan nama perdana menteri pilihan berikutan keputusan hampir sama yang diperoleh dalam pilihan raya umum Sabtu.
Staf BenarNews
2022.11.20
Kuala Lumpur
Istana Negara: Parti-parti Malaysia mesti selesaikan jalinan gabungan, bentuk kerajaan menjelang petang Isnin Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri Malaysia dan pengerusi gabungan Perikatan Nasional, melambai semasa beliau beredar selepas pilihan raya umum di Shah Alam, Malaysia, 20 Nov. 2022.
[Lai Seng Sin/Reuters]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Ahad menetapkan petang Isnin sebagai tempoh akhir bagi gabungan parti-parti untuk memaklumkan kepada Seri Paduka sama ada sudah mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan menamakan calon perdana menteri setelah pilihan raya umum pada Sabtu tidak menghasilkan pemenang yang jelas.

Ikon pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang gabungan mereka masing-masing memenangi jumlah kerusi yang hampir sama dalam pilihan raya umum ke-15 itu, mendakwa beberapa jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan bahawa mereka telah memperoleh sokongan majoriti mudah Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengundian untuk 220 kerusi dengan jumlah pengundi yang mencatatkan rekod, menunjukkan bahawa kedua-dua gabungan mereka tidak memenangi 111 kerusi yang diperlukan, dan mereka perlu menjalinkan sekutu dengan parti atau gabungan lain untuk mencapai jumlah itu. Barisan Nasional, yang telah lama memerintah negara, tersingkir daripada saingan itu kerana mengalami kekalahan yang amat teruk.

Ketika perebutan kuasa dan usaha mendapatkan kuasa mula digerakkan, penentu gabungan itu di Sarawak telah mengumumkan pada Ahad bahawa ia akan menyokong dan sedia bergabung dengan blok Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin dan Barisan Nasional yang kalah bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Pada masa yang sama, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa beliau mendapat sokongan daripada gabungan parti-parti Sarawak yang sama dan Ahli Parlimen lain untuk dinamakan sebagai perdana Menteri, tetapi beliau tidak menamakan Barisan Nasional.

Di Malaysia, apabila keputusan pilihan raya hampir sama diperoleh, Yang di-Pertuan Agong menjadi penentu muktamad bagi kumpulan parti politik yang mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata pihak Istana Negara telah menerima keputusan rasmi pilihan raya pada awal petang Ahad, dan ia "jelas menunjukkan bahawa tiada satu parti pun memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu."

Berikutan titah Seri Paduka itu, "Istana Negara telah meminta kerjasama Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun untuk meminta semua ketua parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak supaya memaklumkan kepada Istana Negara mengenai kerjasama mereka dengan gabungan lain untuk membentuk kerajaan baharu," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat akan meminta parti-parti berkenaan mengemukakan nama Ahli Parlimen, yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen lain dalam gabungan yang menjalin kerjasama, untuk menjadi Perdana Menteri ke Istana Negara sebelum 2 petang, 21 November ini.”

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong "bertitah mengingatkan semua bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara."

Menjelang pilihan raya umum ke-15, Malaysia menyaksikan tiga perdana menteri memegang jawatan dalam tempoh empat tahun lalu, dengan dua daripadanya tidak dipilih menerusi pilihan raya.

221120-MY-PRU15-2.jpg

Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memeriksa perbarisan kawalan kehormat semasa satu istiadat sambutan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 31 Januari 2019. [Lai Seng Sin/Reuters]

Calon-calon perdana menteri yang disarankan hasil daripada keputusan pilihan raya umum pada Sabtu iaitu Anwar dari Pakatan Harapan dan Muhyiddin dari Perikatan Nasional mahu mendapatkan gabungan yang boleh menjanjikan kerjasama bagi penggal penuh lima tahun. Kedua-duanya telah menolak untuk bekerjasama dengan satu sama lain. Mereka juga berkongsi sejarah yang tidak menyenangkan sebelum ini.

Pakatan Harapan yang diterajui Anwar memenangi 82 kerusi manakala Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin memenangi 79 kerusi.

Pada lewat Ahad, parti-parti dilihat cuba menghalang Anwar, calon perdana Menteri sejak sekian lama, daripada mempunyai cukup kerusi untuk mengetuai kerajaan dan menjadi perdana Menteri.

Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan parti-parti di negeri Sarawak di Borneo, yang berkata bahawa ia sedia bersekutu dengan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, telah memenangi 22 kerusi manakala Barisan Nasional memenangi 30 kerusi.

Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh kesemua gabungan ini adalah berjumlah 131 iaitu bilangan yang lebih berbanding majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Pemimpin GPS dan Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata Malaysia dan seluruh dunia bakal menghadapi cabaran ekonomi, dengan keadaan itu dijangka bertambah genting pada tahun depan.

“Justeru itu, demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara, maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sehubungan dengan itu, GPS membuat keputusan untuk mengukuhkan kerajaan dan kesejahteraan rakyat dengan membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh ditubuhkan demi kepentingan rakyat.”

"Fokus dan tanggungjawab utama kami adalah untuk memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

221120-MY-PRU15-3.jpg

Pemimpin pembangkang Pakatan Harapan Anwar Ibrahim (tengah) dan rakan-rakannya mengadakan sidang media mengenai keputusan pilihan raya umum di Subang Jaya, Malaysia, 20 Nov. 2022. [Hasnoor Hussain/Reuters]

Pada Ahad, Muhyiddin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin GPS pada pagi itu "untuk membincangkan mengenai pembentukan kerajaan persekutuan."

“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas,” katanya dalam catatan di laman media sosial beliau.

Dalam respons kepada kenyataan Premier Sarawak itu, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa gabungan parti yang dipimpinnya itu bersetuju untuk bersekutu dengan GPS dan Perikatan Nasional.

“Barisan Nasional tidak pernah berunding atau bersetuju dengan Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan dengan Perikatan Nasional,” kata Zahid dalam satu kenyataan.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa tiada rundingan dengan Perikatan Nasional yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman dalam membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan," katanya sambil mengingatkan bahawa semua Ahli Parlimen Barisan Nasional yang memenangi kerusi dalam pilihan raya umum itu bahawa mereka telah menandatangani dokumen akujanji, yang memberinya kuasa tertinggi dalam semua keputusan yang berkaitan dengan pembentukan gabungan dengan pihak lain.

Zahid, presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang menaungi Barisan Nasional, turut berdepan gesaan keras supaya meletakkan jawatan sebagai ketua Barisan Nasional dan UMNO susulan kekalahan teruk dalam pilihan raya umum itu.

Zahid, yang sedang dibicarakan bagi pertuduhan rasuah, adalah penggerak utama di sebalik keputusan Perdana Menteri dan ahli UMNO Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya umum hampir setahun lebih awal daripada jadual yang sepatutnya.

Zahid juga hanya memperoleh majoriti tipis iaitu 348 undi dalam perebutan kerusi Parlimen Bagan Datuk, yang disandangnya sejak sekian lama.

Bekas Ahli Parlimen UMNO Halimah Sadique berkata Zahid mesti segera meletakkan jawatan.

“Jangan cemarkan kesucian UMNO lagi dengan pemikiran dangkal, tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada Zahid menerusi catatannya di Instagram.

Para pengkritik telah berkata bahawa Zahid mahu pilihan raya umum disegerakan supaya kerajaan dapat membantu beliau dalam kes mahkamahnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.