Mahathir: Malaysia Bawa Pulang Jet Peribadi ‘Milik’ Jho Low

Noah Lee
2018.08.13
Kuala Lumpur, Malaysia
180813-MY-Jet-Mahathir-620.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad di satu sidang media di Putrajaya, 13 Ogos, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Selepas berjaya mendapatkan kapal layar mewah The Equanimity, kerajaan Malaysia kini berusaha untuk membawa pulang sebuah jet peribadi bernilai AS$35 juta (RM122 juta) dimiliki ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata pada Isnin bahawa kerajaan Malaysia akan membawa pulang pesawat itu "sebaik sahaja ia boleh diterbangkan".

Jet Bombardier Global 5000 itu dilaporkan dibeli oleh ahli perniagaan berkenaan, yang lebih dikenali dengan nama panggilan Jho Low, pada tahun 2010. Jet itu ditahan pihak berkuasa Singapura pada Februari tahun lalu, dan berada dalam simpanan negara itu hingga kini bagi membantu siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) ke atas 1MDB.

"(Kita akan membawa pulang) jet itu sebaik sahaja ia boleh diterbangkan. Ia telah disimpan untuk tempoh yang agak lama, dan pesawat yang telah lama tidak terbangkan perlu diselenggara dan diperiksa. Jadi, kita akan membawanya pulang sebaik sahaja pemeriksaan dibuat ke atas jet itu," kata Mahathir ketika sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah di Putrajaya pada petang Isnin.

Perdana Menteri berkata demikian apabila diajukan soalan mengenai perkembangan terkini usaha mendapatkan jet itu dari kerajaan Singapura.

"Kita akan melakukannya (bawa pulang jet) secepat yang mungkin," tambahnya.

Menurut sumber tertinggi kerajaan, usaha sedang dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan jet peribadi tersebut dari kerajaan Temasik.

“Proses dokumentasi sedang dilakukan. Kita akan dapatkan melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (Mutual Legal Assistance),” kata sumber tersebut.

Beliau turut berkata, kos untuk menyelenggara jet peribadi itu tentunya akan melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi ‘ianya perlu’ kerana ia akan dijual kelak selepas siasatan ke atas kes 1MDB selesai.

“Nak tak nak, kita terpaksa menyelenggarakan jet peribadi itu kerana ia akan dijual nanti. Berapa? Semestinya ia akan mengambil kos yang banyak.  Tidak dapat dinyatakan lagi buat masa ini,” kata sumber tersebut.

Sebelum ini, Mahathir ketika ditanya wartawan pada Ahad adakah kerajaan akan cuba mendapatkan jet berkenaan selepas berjaya membawa pulang Equanimity dari Indonesia, beliau berkata: "Ya, pada pendapat saya. Kita perlu membawa jet itu pulang."

Minggu lepas, kerajaan Malaysia membawa pulang Equanimity yang bernilai AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) selepas ia diserahkan pihak berkuasa Indonesia yang menyita semula kapal buatan syarikat perkapalan terkenal Oceanco terbabit pada Julai.

Sitaan kali kedua itu dibuat selepas mahkamah Indonesia membatalkan sitaan pertama dibuat pihak berkuasa negara itu pada 28 Februari atas permintaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Kedua-dua aset mewah itu adalah antara yang mempunyai nilai berbilion ringgit dan  disenaraikan oleh DOJ sebagai aset yang dibeli menggunakan wang yang digelapkan dari 1MDB.

Jho Low, seorang ahli perniagaan yang berasal dari Malaysia, dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak, adalah antara beberapa orang yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan ke atas 1MDB.

Sejak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib kalah kepada Pakatan Harapan pimpinan Mahathir dalam Pilihanraya Umum Ke-14 negara itu pada Mei lalu, Jho Low telah disenaraikan secara rasmi sebagai orang dikehendaki dalam Notis Merah Interpol. Dia melarikan diri dan usaha mengesannya masih dijalankan hingga hari ini.

Jho Low perlu bertanggungjawab

Sementara itu, Najib ketika ditanya wartawan mengenai kaitan Jho Low dengan Equanimity dan tuduhan kerajaan Malaysia terhadap lelaki itu, berkata Jho Low perlu bertanggungjawab.

"Semua perkara yang hendak dilakukan, mestilah dilakukan berdasarkan undang-undang. Saya selalu berkata bahawa tiada sesiapa di atas undang-undang, dan sesiapa yang melakukan apa-apa kesalahan, pelaksanaan undang-undang mesti berjalan," katanya ketika ditemui wartawan di Parlimen pada Isnin.

Namun, ketika ditanya adakah Jho Low patut kembali ke Malaysia untuk menuntut kembali kapal layarnya, Najib berkata: "Selagi apa yang dilakukan (rampasan kapal) berlandaskan undang-undang, dan jika kapal itu didapatkan secara salah iaitu menggunakan wang yang bukan miliknya (Jho Low) seperti didakwa, dia mesti bertanggungjawab."

Bekas menteri kabinet dan ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam laman Twitter beliau pada Ahad turut berkata parti Melayu tertua di Malaysia itu tidak boleh bergerak ke hadapan dan melepaskan beban isu 1MDB dan membina semula parti tersebut jika Jho Low tidak menyerah diri.

“Balik ke Malaysia dan jawab pertuduhan. Kalau anda tidak bersalah, berhenti menghilangkan diri kerana selagi anda melarikan diri, semua kes mahkamah seperti SRC akan tergantung, parti saya tidak boleh bergerak maju dan membina semula parti  jika ini berterusan,” kata beliau dalam Twitter @Khairykj.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.