Ahli Perniagaan Buruan Malaysia Diarah Tampil Bantu Siasatan 1MDB
2018.06.07
Kuala Lumpur, Malaysia

Peguam ahli perniagaan Malaysia yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho, berkata pada Khamis bahawa beliau akan membantu badan pencegahan rasuah negara dalam siasatannya terhadap skandal besar-besaran 1MDB, selepas ia mengarahkannya supaya tampil segera untuk disoal siasat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan kenyataan yang mengarahkan Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah anak syarikat 1MDB, SRC International, supaya segera menghubungi badan itu bagi membantu siasatannya.
Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menyedari dirinya dikehendaki menerusi laporan media tentang SPRM mengarahkannya supaya menghubungi agensi itu.
"Berikutan itu, Encik Low segera mengarahkan para peguamnya untuk menghubungi SPRM hari ini berhubung tawaran bagi memberi bantuan sedemikian," kata Robin Rathmell, seorang peguam dengan firma undang-undang antarabangsa Kobre & Kim, dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, BeritaBenar difahamkan bahawa SPRM telah menyoal siasat seorang lagi pengarah SRC yang diminta tampil membantu siasatan terhadap skandal syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad.
Suboh Md Yassin, yang menghilangkan diri pada 2015, memberi keterangan bagaimana RM2.6 bilion (AS$650 juta) diselewengkan dari SRC untuk dimasukkan ke dalam dua akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak, kata seorang pegawai SPRM.
"Suboh berada di negara ini," kata Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada BeritaBenar. "SPRM telah menyoal siasatnya minggu lepas."
Jho Low, Nik Faisal dan Suboh dipercayai meninggalkan Malaysia selepas gagal tampil di pejabat SPRM pada 22 Ogos 2015 untuk membantu siasatan agensi itu.
Suboh dan Nik Faisal merupakan pemegang saham Gandingan Mentari Sdn Bhd, satu daripada dua syarikat yang didakwa digunakan untuk memindahkan dana SRC ke akaun Najib, menurut laporan.
Nik Faisal didakwa sebagai rakan rapat Jho Low dan orang tengah bagi syarikat pembinaan UBG Berhad, 1MDB dan Petro Saudi dalam menyalurkan $260 juta itu, yang diselewengkan daripada 1MDB pada 2010 untuk membeli saham-saham dalam UBG.
Siasatan awal terhadap SRC ditamatkan secara tiba-tiba pada 2015 selepas Najib memecat Peguam Negara Gani Patail yang sedang mempersiapkan kes itu untuk pendakwaan. Pengganti Gani, Mohamed Apandi Ali, yang dipilih Najib, telah membersihkan bekas perdana menteri itu daripada sebarang salah laku berhubung 1MDB pada Januari 2016.
Najib, yang kecundang dalam usahanya untuk mendapatkan penggal ketiga sebagai perdana menteri pada pilihan raya umum bulan lalu, dan isterinya, Rosmah Mansor, telah disoal siasat SPRM sejak Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan tertinggi itu.
Mereka tampil memberi keterangan selepas pihak berkuasa melakukan penggeledahan di rumah mereka, pejabat yang pernah digunakan Najib serta kediaman lain di mana polis memberitahu bahawa ia telah merampas beg-beg pakaian yang mengandungi hampir $29 juta dalam bentuk wang tunai dan barangan mahal selain 284 kotak yang mengandungi beg tangan mewah.
Bantuan Interpol
Malaysia telah meminta Polis Antarabangsa (Interpol) untuk membantunya menjejaki Jho Low dan Nik Faisal, yang masih tidak diketahui berada di mana. Perkhidmatan berita Bloomberg melaporkan pada Khamis bahawa SPRM telah mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.
"Mereka amat penting bagi siasatan kes itu," kata Azam sambil memberitahu bahawa siasatan itu dianggap tidak lengkap tanpa keterangan daripada mereka.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkata pihak berkuasa mempunyai maklumat yang mencukupi bahawa Jho Low adalah antara penjenayah utama di sebalik skandal 1MDB.
Para pegawai kehakiman AS menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi yang paling buruk sejak sekian lama", dengan menarik perhatian bahawa lebih $4.5 bilion (RM17.9 bilion) dicuri dari dana negara itu sejak ia ditubuhkan oleh Najib pada 2009 sehingga lembaga penasihatnya dibubarkan pada 2016 .
Di dalam dokumen mahkamah yang pernah dilihat oleh BeritaBenar, Jabatan Kehakiman AS menuduh Jho Low melakukan pengubahan wang terhadap lebih daripada $400 juta yang dicuri dari 1MDB menerusi pembelian hartanah di California, New York dan London, sebuah jet berharga $35 juta dan sebuah kapal layar mewah yang dianggarkan bernilai $250 juta.
"Ada yang bertanya kepada saya mengapa Jho Low tidak ditangkap kerana maklumat telah dikumpulkan. Saya katakan, marilah kita tunggu sekejap, tetapi ada pihak yang tidak mahu tunggu, mereka berharap tindakan tegas boleh diambil bukannya hari ini, tetapi semalam lagi," kata menteri dalam negeri itu.
"Bukannya saya tidak memberi keutamaan kepada peraturan dan undang-undang, tetapi dalam kes yang ternyata jelas, tindakan tegas mestilah diambil dengan serta-merta mengikut undang-undang kanun jenayah dan rasuah," katanya pada perhimpunan mingguan bersama-sama kakitangan Kementerian Dalam Negeri di di Putrajaya, iaitu pusat pentadbiran Malaysia.