Jho Low Berusaha Pastikan Kapal Layar Mewah Berada Di Luar AS - Dokumen Mahkamah

Staf BeritaBenar
2018.03.28
Washington DC
180326-MY-IN-yacht-620.jpg Pihak berkuasa Indonesia menunggu untuk menaiki kapal layar mewah ‘Equanimity’ di Teluk Benoa di Bali, Indonesia, 28 Februari, 2018.
[AFP]

Seorang hartawan Malaysia yang sukar ditahan setelah dituduh terlibat dalam menyelewengkan berbilion-bilion dolar daripada dana negara Malaysia, didapati terus berusaha memastikan kapal layar mewah miliknya tidak dirampas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), demikian menurut dokumen mahkamah AS.

Ahli perniagaan, Jho Low, memberikan arahan supaya kapal mewah ‘Equanimity’ bernilai $250 juta mengelak daripada memasuki perairan wilayah sekutu AS yang diketahui, seperti Australia dan Singapura, sebaik sahaja mengetahui tentang perintah supaya kapal mewah itu dirampas yang dikeluarkan sebuah mahkamah California pada Jun tahun lepas, kata peguam AS.

Pihak berkuasa Indonesia dan AS menahan ‘Equanimity’, kapal yang megibarkan bendera Kepulauan Cayman, ketika ia sedang berlabuh di perairan pulau Bali, Indonesia bulan lalu. Jabatan Kehakiman (DOJ) AS mendakwa bahawa Low membeli kapal mewah itu dengan wang yang dicuri daripada dana negara Malaysia iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dalam beberapa bulan selepas pengeluaran [perintah rampasan] oleh mahkamah, terdapat keterangan yang ketara bahawa Low telah mengarahkan supaya memastikan Equanimity tidak dapat dikesan oleh kerajaan dan ditempatkan  di luar Amerika Syarikat," menurut dokumen yang difailkan oleh DOJ di sebuah mahkamah California pada Isnin.

Empat syarikat telah dinamakan dalam dokumen Mahkamah Persekutuan sebagai pihak dituntut yang mewakili Jho Low, yang nama penuhnya adalah Low Taek Jho.

Seorang peguam bagi satu daripada pihak dituntut itu berkata, pihak berkuasa AS sedang merancang untuk membawa kapal mewah itu berlayar ke Amerika Syarikat dengan hanya lapan orang kru.

DOJ berusaha melayarkan kapal mewah itu ke Amerika Syarikat, di mana ia akan dirampas dan dijual, tetapi pihak dituntut memberitahu bahawa lapan orang kru tidak mampu mengendalikan kapal itu dengan selamat, yang mempunyai 55 orang kru bertugas secara bergilir.

"Berdasarkan pemahaman saya daripada maklumat para profesional industri, jumlah kru yang kurang boleh menjejaskan keselamatan mereka serta akan menjejaskan pemeliharaan aset itu," kata peguam Naeun Rim, menurut dokumen mahkamah tersebut.

Pada 15 Jun, 2017, Amerika Syarikat memfailkan tuntutan saman rampasan sivil terhadap kapal itu, dengan mendakwa Low membelinya dengan dana "yang dicuri dan diselewengkan" daripada 1MDB.

Selepas tersebarnya berita mengenai sebuah mahkamah California mengarahkan rampasan kapal mewah itu, pihak dituntut menyembunyikan Equanimity di beberapa lokasi asing, yang menyukarkan usaha kerajaan untuk merampas aset itu di Amerika Syarikat, menurut dokumen mahkamah yang baru difailkan itu.

Ejen Khas FBI, Justin McNair, dalam satu kenyataan yang difailkan di mahkamah, mendakwa bahawa Low telah mengeluarkan arahan kepada kapten kapal mewah itu melalui aplikasi pesanan WeChat supaya mematikan Sistem Identifikasi Automatik (AIS) Equanimity selepas tersebarnya berita mengenai kapal mewah itu menjadi sasaran penyitaan pihak berkuasa.

"Walaupun kadang-kala kapal boleh mematikan AIS untuk 'menyembunyikan dirinya’ apabila berada di wilayah berisiko tinggi dengan  ancaman lanun yang serius, namun Equanimity tidak berada di wilayah berisiko tinggi apabila ia mematikan AIS sejurus selepas berita (tentang kemungkinan penyitaan kapal itu) dikeluarkan, " kata McNair.

Beliau berkata, arahan lain daripada Low adalah supaya kapten itu mengelak "masalah utama" dengan tidak memasuki perairan wilayah AS dan wilayah yang tertentu, tetapi sebaliknya memastikan kapal layar itu berada di "tempat selamat" seperti di Vietnam dan Kemboja.

Tetapi pihak dituntut membantah dakwaan ejen FBI itu dengan menyatakan dalam dokumen mahkamah itu bahawa kapal berkenaan itu menggunakan sistem identifikasi dan pengesanan jarak jauh yang tidak pernah dimatikan dan berbeza dengan AIS.

Dalam usaha memelihara nilai kapal mewah itu dan melindungi hak pihak ketiga, sebuah mahkamah California pada Isnin memerintahkan kapal layar itu kekal berada di Indonesia "sehingga mahkamah mengeluarkan perintah yang sebaliknya."

Melaksanakan tindakan terhadap penjenayah

Pada Ogos 2017, DOJ mengumumkan bahawa ia sedang berusaha melaksanakan tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam menyalah guna dan menyeleweng dana 1MDB, entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

Jabatan itu meminta mahkamah untuk mengetepikan tuntutan sivilnya di mahkamah bagi mendapatkan lebih $1.7 bilion dalam bentuk hartanah dan aset lain kerana ia cuba melindungi bukti dan saksi dalam siasatan jenayahnya.

1MDB, yang menjadi tumpuan siasatan kes pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Switzerland dan Singapura, ditubuhkan pada 2009 bagi mendapatkan projek-projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi penerbitan sekuriti pinjaman, kata AS.

Wang daripada dana itu telah digunakan untuk membiayai gaya hidup mewah mereka yang berkuasa sepanjang tempoh lima tahun iaitu antara 2009 dan 2014, menurut dokumen mahkamah itu.

Low, yang telah dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai penasihat berhubung penubuhan TIA, entiti pendahulu 1MDB, secara terbuka menafikan sebarang penglibatannya dengan dana negara itu selepas ia ditubuhkan. Pada masa ini, beliau tidak diketahui berada di mana.

Dana negara itu juga dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang membelenggui Perdana Menteri Najib Razak, yang mengasaskan 1MDB. Beliau telah menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan deposit di dalam akaun bank peribadinya yang berjumlah hampir AS$700 juta yang dikaitkan dengan dana itu.

Jho Low tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam dana negara itu tetapi beliau "bagaimanapun melaksanakan kawalan ketara terhadap 1MDB" semasa pengambilalihan Equanimity, menurut dakwaan DOJ.

Kapal mewah itu, yang dibina pada 2014 di Rotterdam, Belanda, dilengkapi dengan pad pendaratan helikopter, gimnasium, pawagam, bilik urut, sauna dan kolam renang, menurut dokumen mahkamah itu.

Dana yang digunakan untuk membeli Equanimity telah dialihkan dari 1MDB dan disalurkan melalui akaun bank yang dikawal oleh Low "dengan cara yang bertujuan untuk menyembunyikan asal, sumber, dan pemilikan hasil jenayah," kata DOJ dalam tuntutan samannya.

"Low tahu bahawa dana itu telah disalahgunakan dari 1MDB," kata jabatan tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.