Exco Negeri Johor Ditahan SPRM
2017.03.09
Kuala Lumpur

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis menahan anggota exco kerajaan negeri Johor, Abdul Latif Bandi dalam satu siasatan membabitkan skandal hartanah.
Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata Exco Perumahan dan Kerajaan Tenpatan Negeri Johor Abdul Latif ditahan di pejabat SPRM negeri itu kira-kira jam 10.50 pagi Khamis semasa dipanggil untuk soal-siasat.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
"SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan telus," menurut kenyataan itu.
Abdul Latif, telah bercuti dari tugasnya bermula 1 Mac lalu, untuk membersihkan nama ahli keluarga dan pegawainya selepas skandal itu mula dilaporkan oleh pihak media.
Pagi Khamis juga, anak Abdul Latif dan tiga lagi individu yang sebelum ini telah ditahan berkenaan skandal yang sama telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, selepas 14 hari berada dalam tahanan reman.
Skandal hartanah melibatkan status Bumiputera
Pada 25 Februari lalu, tujuh lelaki termasuk anak dan pegawai khas Abd. Latif ditahan oleh SPRM dalam satu serbuan kerana dipercayai terlibat dalam rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.
SPRM turut merampas 21 buah kereta mewah, lima motorsikal berkuasa tinggi, wang tunai bernilai kira-kira RM500,000, serta menyita 45 akaun bank yang mengandungi simpanan bernilai RM15.5 juta.
Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menukar status hartanah yang dikhaskan untuk bumiputera kepada bukan bumiputera.
Dua pemaju perumahan yang turut ditahan bersama mereka bulan lepas, telah dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 Mac lalu.
Penangkapan itu dilaporkan telah mengundang kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang sebelum ini bertitah exco berkenaan menghadap baginda.
MB Johor 'bersimpati'
Sementara itu, Menteri Besar Johor Khaled Nordin dilaporkan berkata oleh portal berita Malaysiakini yang beliau berasa "simpati" ke atas penahanan Abdul Latif, namun akan menyerahkan hal itu kepada SPRM.
Beliau enggan mengulas lanjut semasa ditanya sama ada penangkapan Abdul Latif akan menjejaskan kepimpinan UMNO Johor.
Khaled pada Rabu telah mengumumkan bahawa Md Jais Sarday akan memangku jawatan yang disandang oleh Abdul Latif, sehingga siasatan SPRM selesai.
Jais adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pemba¬ngunan Usahawan dan Koperasi negeri. Dengan pelantikan itu, portfolio Pendidikan dan Penerangan yang disandang Jais akan diletakkan bawah seliaan Ayub Rahmat.
"Saya percaya Jais akan mengumumkan beberapa langkah radikal untuk memastikan portfolio terbarunya akan dipertambahbaik dan selari dengan penyeliaan yang telus," Khaled berkata dalam satu kenyataan Rabu.
Manakala di tiga Mahkamah Seksyen berasingan di Kuala Lumpur lapan anggota polis mengaku tidak bersalah atas pelbagai tuduhan rasuah melibatkan dorongan untuk menyelesaikan saman trafik , tidak menahan pekerja warganegara asing serta tidak menahan orang yang dikehendaki polis.
Kesemua nilai rasuah membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota itu adalah diantara RM1,500 hingga RM2,000 yang berlaku di antara 2013 dan 2016 di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.
Malaysia turun dalam indeks rasuah
Malaysia pada Januari telah dilaporkan turun ke tangga 55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 Transparency International-Malaysia (TI-M).
Malaysia mendapat skor 49 daripada 100, penurunan satu tangga daripada tangga ke-54 pada tahun 2015.
Walaubagaimanapun, agensi pencegahan rasuah di Malaysia baru-baru ini telah mendapat reputasi yang lebih baik di bawah penerajuan Ketua Pesuruhjaya baru Dzulkifli Ahmad.
Beberapa penangkapan dan pendakwaan individu berprofil tinggi telah dibuat.
Semasa awal pelantikannya, Dzulkifli berkata fokus utamanya selepas menerajui SPRM adalah untuk memastikan sektor perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat menjalani kehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya.