Malaysia Bersedia Lancar Rondaan Laut Bersama dengan Indonesia dan Filipina
2017.04.06
Kota Kinabalu, Kuala Lumpur & Jakarta

Selepas hampir setahun, Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju untuk melancarkan rondaan laut bersama bagi menghentikan kegiatan lanun dan penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf, pegawai pertahanan Malaysia dan Indonesia berkata, operasi tiga hala itu akan bermula bulan ini - mungkin seawal Selasa depan.
Pegawai Malaysia telah mengeluarkan jemputan kepada media ke Pangkalan Tentera Laut di Sandakan, Sabah, di mana mereka dijangka melancarkan rondaan bersama pada 11 April.
Walaupun para pegawai Angkatan Tentera Indonesia (TNI) berkata tarikh pelancaran belum ditetapkan lagi, seorang pegawai pertahanan mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa lima wartawan akan ke Malaysia untuk acara yang akan diadakan pada Selasa depan.
"Setakat ini, Malaysia masih belum menerima apa-apa pemberitahuan penangguhan. Malah, kami telah menerima senarai pemberita Indonesia untuk mengiringi menteri pertahanan mereka, seorang pegawai di Kementerian Pertahanan Malaysia, yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu BeritaBenar.
Sebelum ini, jurucakap Indonesia Army Maj. Gen. Wuryanto berkata TNI telah mencadangkan supaya rondaan bersama bermula pada 20 April di Tarakan, di wilayah Kalimantan Utara, kerana ramai daripada mangsa penculikan Abu Sayyaf di laut terdiri daripada warga Indonesia.
"Kami sudah bersedia, jika ia masih berada di Sandakan (Sabah, Malaysia) atau berpindah ke Tarakan. Kami hanya menunggu keputusan daripada menteri pertahanan," Wuryanto memberitahu BeritaBenar.
Kelewatan Siri
Kawasan perairan yang memisahkan selatan Filipina dan Borneo kini menjadi sarang pengganas Abu Sayyaf (ASG) dan kumpulan pelampau yang aktif melakukan rampasan kapal sepanjang tahun 2016, di mana berpuluh-puluh pelayar Indonesia dan Malaysia telah diculik dan dijadikan tebusan oleh puak militan.
Sepanjang tahun lepas, ASG menculik sepuluh rakyat Malaysia dan 25 kelasi Indonesia di laut, dan pada 18 Jan, tiga lagi warga Indonesia diculik dari sebuah bot nelayan Malaysia bersama-sama empat lagi warga Indonesia yang diculik oleh ASG, demikian menurut Kementerian Luar. Semua rakyat Malaysia telah dibebaskan
Pegawai Kementerian Pertahanan dan Luar dari ketiga-tiga negara telah mula berunding tahun lepas untuk mewujudkan rondaan bersama di rantau itu bagi menghentikan perbuatan lanun dan penculikan oleh Abu Sayyaf, yang punya kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) yang berpangkalan di Timur Tengah.
Pada Mei 2016, Menteri-menteri Luar dari ketiga-tiga negara telah bersetuju untuk melancarkan rondaan, diikuti sebulan kemudian mesyuarat oleh menteri pertahanan dalam usaha untuk berbicang mengenai rancangan tersebut, termasuk memberi tumpuan kepada penyelarasan rondaan udara-laut.
Pada November lepas, seorang jurucakap Indonesia berkata usaha untuk menghalang berlakunya kegiatan jenayah itu sudahpun menampakkan usaha walaupun dengan perlahan.
Pada Rabu, Bebeb Djundjunan, seorang pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia, berkata rancangan sementara yang dirancang adalah untuk mengarah kapal daripada ketiga-tiga negara yang terlibat dalam rondaan untuk berkumpul di Tarakan, Kalimantan Utara, dan belayar ke Sandakan, Malaysia, dan seterusnya ke Bongao di Filipina.
"Ketiga-tiga lokasi adalah pangkalan tentera laut di setiap negara yang telah dikenal pasti sebagai pusat arahan dan diberi kuasa untuk mengeluarkan notis kepada pelaut jika terdapat serangan," Bebeb memberitahu BeritaBenar.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana memberitahu akhbar Financial Times bahawa beliau berharap kempen tiga hala yang sudah lama tertangguh itu akan "menjaga pelayar dengan selamat dan juga menghalang pergerakan pengganas dari satu tempat ke tempat lain."
Seorang pegawai Kementerian Pertahanan Malaysia berkata butiran mengenai rondaan termasuk kapal-kapal yang terlibat dan protokol itu belum dimuktamadkan lagi dan dijangka diumumkan pada majlis pelancaran di Sabah nanti.
Shafie Apdal, ahli parlimen Malaysia, yang mewakili kawasan Semporna di Sabah, menyokong rondaan bersama.
"[Saya] mengalu-alukan apa juga perancangannya selagi ia membantu membendung kegiatan jenayah, sama ada keganasan, penculikan, penyeludupan atau pemerdagangan manusia. Semporna khususnya, di pantai timur Sabah, telah menjadi sarang untuk aktiviti haram tersebut, "katanya kepada BeritaBenar.
"Kita perlu mengetatkan usaha keselamatan kita, dan rondaan bersama akan menjadi satu kelegaan. Kita juga perlu untuk melindungi nelayan kita yang pergi menangkap ikan di sekitar perairan yang bersempadan dengan Malaysia tetapi telah menjadi sasaran kumpulan yang melanggar undang-undang. "
Di Jakarta, pakar keganasan Sidney Jones, yang merupakan Pengarah Institut Dasar Analisis Konflik (IPAC), sebuah badan pemikir tempatan, memberitahu BeritaBenar bahawa rondaan berkenaan adalah hanya sebahagian daripada usaha untuk menghentikan ASG.
"Rondaan sahaja tidak mencukupi. ASG adalah sebuah organisasi yang kompleks yang meliputi 13 puak, sebahagian besar daripada mereka sebati dengan struktur kerajaan dan keselamatan tempatan. Rondaan boleh membantu mengurangkan insiden lanun, tetapi ianya tidak akan dapat dengan sendirinya meneutralkan ASG, " kata Jones.