Perdana Menteri: Semak Semula Hukuman Mati Lelaki Bekal Kanabis Perubatan

Ali Nufael
2018.09.19
Kuala Lumpur, Malaysia
180919-MY-Cannabis620.jpg Seorang wanita Kemboja menjual Marijuana di Pasar Toul Tom Poung, yang menjual herba dan rempah tradisional Kemboja, di Phnom Penh, 24 September 1991.
AFP

Hukuman mati ke atas seorang lelaki yang memiliki minyak kanabis untuk  tujuan perubatan perlu dikaji semula, demikian kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad, sementara jemaah menteri kabinet Malaysia membincangkan kes tersebut dalam mesyuaratnya pada Rabu.

Mahathir semasa diminta mengulas mengenai kes Muhammad Lukman Mohamad, 29, yang dijatuhi hukuman mati kerana membekalkan minyak diperbuat daripada kanabis untuk tujuan perubatan berkata terdapat keperluan untuk menyemak semula kes itu.

“Saya fikir kita patut semak semula perkara itu," kata Perdana Menteri.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang diminta mengulas mengenai perkara yang sama berkata, mesyuarat jemaah menteri ada membincangkan mengenai kes berkenaan bagaimanapun tiada keputusan yang dibuat berhubung perkara tersebut.

"Tunggulah pengumuman selanjutnya (jika ada)," kata beliau semasa ditanya tentang perkara berkenaan selepas mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di Kementerian Kesihatan seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Permatang Pauh yang juga pemimpin Pakatan Harapan Nurul Izzah Anwar semasa dihubungi BeritaBenar berkata beliau akan membuat rayuan kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Muhammad Lukman.

“Saya akan membuat rayuan kepada Peguam Negara untuk menggugurkan dakwaan keatas pengedar marijuana(kanabis) yang berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati kerana membantu pesakit kronik,” kata beliau.

Beliau sebelum ini dalam kenyataan kepada media berkata bahawa perkara yang paling utama adalah membuat rayuan supaya hukuman ke atas Muhammad Lukman dikurangkan atas dasar merit kes tersebut.

Muhammad Lukman ditahan tiga tahun lepas kerana memiliki 3.1 liter minyak kanabis, 279 gram kanabis mampat, 1.4 kg bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Isterinya yang ketika itu mengandung lima bulan turut ditahan tetapi kemudiannya dilepaskan.

Pada 30 Ogos, Muhammad Lukman dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952 oleh hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Petisyen gesa pembebasan

Menurut laporan media, peguam yang mewakili Muhammad Lukman, Farhan Maaruf berkata anakguamnya hanya mahu membantu pesakit yang mengalami penyakit yang boleh dirawat menggunakan THC, salah satu bahan aktif dalam kanabis.

Satu petisyen menggesa pembebasan Muhammad Lukman yang sekarang menular di laman media sosial sudahpun berjaya mengumpulkan 45,000 tandatangan pada Selasa.

Malaysia adalah sebuah negara yang masih menjatuhkan hukuman mati bagi jenayah bersabit dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, di mana individu yang ditangkap bersama dengan kanabis melebihi 200gram akan didakwa di bawah penyeludupan dadah yang membawa kepada hukuman mati.

Walaupun kerajaan Barisan Nasional pada 2017 mengumumkan pindaan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya, keputusan mahkamah masih tertakluk kepada hakim.

Muhammad Lukman bukanlah individu pertama yang berdepan dengan hukuman mati kerana menghasilkan minyak kanabis.

Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang dikenali sebagai Dr Ganja menghadapi 36 pertuduhan dan hukuman mati atas kesalahan yang sama.

Beliau walaubagaimanapun dilaporkan telah merawat lebih dari 800 orang di Klang termasuk pesakit kanser dan pesakit austistik.

Tahun lepas, bekas kapten tentera darat itu ditangkap kerana didakwa mencampurkan produk kanabis dengan madu, kek dan coklat atas dasar perubatan dan menjualnya secara maya kepada pembeli.

Beliau sehingga kini masih dipenjarakan menunggu perbicaraan mahkamah.

Peguam Amiruddin, Samantha Chong memberitahu BeritaBenar bahawa pengurusan kes itu akan didengar pada 27 Sept.

Walaupun Samantha berkata, Amirudin berada dalam keadaan tidak sihat kerana mengalami tumor di tulang belakang.

“Dia sudah berada di penjara selama setahun dan dia hanya mempunyai satu buah pinggang dan masih sakit akibat tumor di tulang belakang,” kata Samantha.

Rakan guaman Samantha akan menghantar sepucuk surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminta pertimbangan atas pertuduhan terhadap Amiruddin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.