Filipina: Abu Sayyaf Memenggal Kepala Seorang Lagi Rakyat Kanada

Amir Hadi Azmi
2016.06.13
Kuala Lumpur
160613-my-canadian-executed620 Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau semasa sidang media di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, 22 April, 2016. Pada Isnin, beliau mengumumkan maklumat yang belum lagi disahkan mengenai pemenggalan kepala seorang lagi rakyat Kanada, Robert Hall oleh militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.
AFP

Kumpulan militan yang berpangkalan di selatan Filipina, Abu Sayyaf  dipercayai memenggal kepala seorang lagi warga Kanada selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan berlalu, Perdana Menteri Kanada mengumumkan pada Isnin.

“Dengan rasa amat sedih saya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa seorang warga Kanada, Robert Hall, yang dijadikan tebusan di Filipina sejak 21 September 2015, telah dibunuh penculik," kata Justin Trudeau dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam talian.

"Sementara pegawai Kanada bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di Filipina untuk mengesahkan kematian Hall secara rasmi, kita mempunyai sebab yang kuat untuk mempercayai laporan ini, malangnya adalah benar," kata Perdana Menteri.

Di Jolo, di selatan Filipina, ketua polis tempatan memberitahu The Philippine Inquirer, yang polis pada malam Isnin menemui satu kepala yang dipancung dalam beg plastik.

Hall, 50, telah dipenggal kepalanya sejurus selepas pukul 3 petang pada Isnin, iaitu tarikh akhir untuk pembayaran wang tebusan sebanyak 600 juta peso Filipina (AS $ 13 juta) yang diminta untuk membebaskan lelaki berkenaan bersama-sama dengan dua lagi tebusan yang juga rakan-rakannya, warga Norway, Kjartan Sekkingstad, 56, dan wanita tempatan Filipina Marites Flor, 40, menurut laporan Agence France-Presse [AFP]. Nasib mereka tidak diketahui.

Pemenggalan kepala kedua sejak akhir April

Pemenggalan kepala itu, dilaporkan berlaku tujuh minggu selepas Abu Sayyaf memancung kepala seorang lain tebusan warga Kanada John Ridsdel, 68, bekas eksekutif perlombongan, pada 25 April lepas. Beliau dibunuh lima jam selepas tempoh akhir pembayaran wang tebusan  berlalu. Ridsdel, Hall, Sekkingstad dan Flor diculik dari sebuah resort di Samal Island, di wilayah Davao, Filipina, pada September lepas.

Pada November lalu, kumpulan militan Islam itu memancung kepala Bernard Then, seorang rakyat Malaysia yang diculik dari sebuah restoran tepi laut di Sabah pada Mei 2015, selepas rundingan pembayaran tebusan gagal.

Pemenggalan kepala Hall itu berlaku hanya beberapa hari selepas Abu Sayyaf, yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pelampau Negara Islam (IS), membebaskan empat anak kapal Malaysia yang diculik sejak 1 April lalu, dengan pegawai Malaysia berkata tidak ada wang tebusan dibayar, sambil menambah bahawa perunding dari Malaysia dan Filipina telah memperolehi pembebasan kesemua mereka minggu lalu, selepas beberapa pusingan rundingan dengan kumpulan militan itu.

Sebelum ini, Abu Sayyaf membebaskan 10 kelasi Indonesia pada 1 Mei lalu, selepas menahan mereka selama 36 hari. Pemilik kapal tunda mereka bersetuju untuk membayar wang tebusan bagi pembebasan kesemua mereka, tetapi para pegawai tidak berkata sama ada wang tebusan dibayar terhadap pembebasan mereka itu.

Salah satu daripada pelayar yang dilepaskan itu kemudiannya memberitahu BeritaBenar bahawa dia melihat anggota militan kumpulan berkenaan membawa guni yang, beliau percaya, mengandungi wang tebusan untuk pembebasan mereka.

Trudeau: Kanada tidak akan bayar wang tebusan

"Dengan kehilangan dua rakyat Kanada yang menyayatkan itu, saya ingin mengulangi sekali lagi bahawa tebusan pengganas hanya akan menjana lebih banyak keganasan dan ketidakstabilan. Kanada tidak berganjak dengan taktik yang cuba menakut-menakutkan serta sikap keji terhadap penderitaan orang lain, "kata Perdana Menteri Kanada.

"Inilah mengapa Kerajaan Kanada tidak akan dan tidak boleh membayar wang tebusan kepada penculik dan kumpulan pengganas, kerana jika berbuat demikian ia akan membahayakan nyawa lebih ramai rakyat Kanada."

Trudeau juga berjanji untuk bekerja rapat dengan kerajaan Filipina dan sekutunya yang lain dalam membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu, ke muka pengadilan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.