Malaysia lancar operasi mencari dan menyelamat tiga lagi kru kapal tangki terbakar
2023.05.02
Kuala Lumpur

Malaysia pada Selasa memaklumkan yang negara itu telah melancarkan satu operasi mencari dan menyelamat tiga kru yang masih hilang selepas berlakunya kebakaran melibatkan kapal tangki MT Pablo yang didaftarkan di Gabon semasa berada di perairan di selatan negara berkenaan.
Kapal tangki tersebut yang membawa seramai 28 kru sedang dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura untuk mengambil muatan minyak mentah apabila berlakunya letupan dan kebakaran pada petang Isnin.
Susulan daripada kejadian itu, seramai 25 anak kapal telah berjaya diselamatkan oleh dua kapal lain yang berada berhampiran kapal malang itu dan juga sebuah bot penyelamat dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menurut kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa Malaysia.
Pemangku Ketua Pengarah APMM Saiful Lizan Ibrahim berkata agensi berkenaan menerima notis kecemasan mengenai kejadian pada sekitar jam 4 petang Isnin (waktu tempatan), di mana kapal MT Pablo yang berada kira-kira 37.5 batu nautika di timur laut Tanjung Sedili, di Johor dikatakan terbakar.
"Sejumlah 25 anak kapal telah berjaya diselamatkan oleh dua kapal yang berada berhampiran serta sebuah bot APMM semalam, bagaimanapun, tiga lagi masih hilang. Dua daripada mereka adalah warga India manakala seorang lagi warga Ukraine," kata Saiful semasa sidang media di Johor yang disiarkan di stesen televisyen pada Selasa.
Identiti ketiga-tiga orang kru yang hilang telah dikenalpasti sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, dari India, dan Sabit Shenderovskyi, 37, dari Ukraine.
"Operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan sejak semalam," kata Saiful sambil menambah sebuah pesawat milik APMM telah dikerahkan bersama sembilan buah kapal milik agensi itu, polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Marin, dan Pelabuhan Johor ke perairan kawasan kapal terbakar itu.
Beliau berkata seramai 136 orang pegawai dan kru pelbagai agensi keselamatan Malaysia terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran dan berjaya mengawal api dari marak tetapi masih terdapat asap tebal berwarna hitam yang menyukarkan usaha pencarian mangsa yang hilang.
Menurut laporan awal oleh APMM, kebakaran itu telah merebak sehingga 50 peratus kawasan kapal, dengan tiga kru yang hilang itu dipercayai masih berada di dalamnya.
Saiful memberitahu sidang media bahawa masih terlalu awal bagi pihak berkuasa mengklasifikasikan adanya elemen jenayah dalam kejadian itu, dengan siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kebakaran.
"Bagaimanapun, aset-aset kita sedang menjalankan pemantauan berterusan di lokasi kejadian. Kami akan memberikan perkembangan terkini mengenai insiden ini dari semasa ke semasa untuk pengetahuan umum," kata beliau.
Menurut laporan berita CNN, pegawai maritim Singapura telah mengeluarkan arahan kepada kapal-kapal berhampiran lokasi kejadian untuk membantu mencari mangsa yang hilang dari kapal tangki itu.
Splash247, sebuah portal berita mengenai penghantaran maritim bagi Asia yang berpangkalan di Singapura, dalam laporannya berkata, MT Pablo dibina pada 1997, merupakan sebuah kapal yang telah bertukar tangan sebanyak tiga kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dimiliki Palbo Union Shipping, sebuah syarikat tunggal persisir pantai dari Kepulauan Marshal, pemilihan Gabon sebagai negara kapal itu didaftarkan yang menurut laporan portal itu adalah kerana tiada sekatan antarabangsa yang berkuat kuasa terhadap negara itu selain merupakan negara pilihan popular pemilik kapal.
Sementara itu, kapten kapal MT Pablo, Lepyoskin Oleksandr berkata beliau percaya kru yang hilang itu masih hidup dan masih berlindung dalam salah sebuah kabin kedap udara, menurut laporan sebuah akhbar tempatan.
"Saya percaya tiga anak kapal saya itu masih hidup, mereka telah dilatih secukupnya. Saya percaya mereka telah mengunci diri dalam salah satu kabin kedap udara. Cuma yang saya risaukan adalah kabin itu terlalu kecil dan oksigen yang ada tidak akan dapat menampung keperluan mereka sekiranya berada dalam keadaan panik.
"Saya berharap pihak berkuasa Malaysia dapat mempercepatkan usaha mencari dan menyelamat," kata kapten yang berasal dari Ukraine itu.
Berdasarkan maklumat oleh pembekal data perkapalan Marine Traffic, MT Pablo yang merupakan sebuah kapal tangki minyak kelas Aframax telah berlepas dari Zoushan, China pada 18 April dan dijadualkan tiba di Singapura dua hari lalu.
Claire Jungman, ketua kakitangan badan United Against Nuclear Iran (UANI), dalam satu ciapan di Twitter berkata MT Pablo sebelum ini disyaki terlibat membawa bekalan minyak dari Iran dalam beberapa kejadian sejak sekatan dikenakan semula terhadap negara itu pada 2019.
Kata beliau, kapal itu beroperasi tanpa diketahui klasifikasi serta insuransnya.