Malaysia Haramkan 10 Terjemahan Al-Quran Pelbagai Bahasa

Ray Sherman
2017.10.03
171003-my-kdn-book-1000.jpg Seorang budak lelaki Islam Malaysia membaca al-Quran semasa sesi pengajian Al-Quran di sebuah masjid di Ampang, di pinggir bandar Kuala Lumpur, 30 Julai 2013.
AFP

Kerajaan Malaysia telah mengharamkan beberapa buku ilmiah berkaitan Islam, termasuk 10 terjemahan Al-Quran daripada empat penerbitan dalam pelbagai bahasa serta buku terbitan penulis tempatan dan Turki, demikian menurut warta kerajaan persekutuan yang ditandatangai oleh Menteri Dalam Negeri.

Warta kerajaan persekutuan yang bertarikh 28 September dan ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, selaku Menteri Dalam Negeri,  menyenaraikan sepuluh terjemahan yang diharamkan itu yang dikatakan “mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang”.

Antara terjemahan Al-Quran yang diharamkan termasuk versi penterjemah terkemuka kelahiran India Abdullah Yusuf Ali, iaitu di bawah tajuk “Al-Quran Translation” terbitan Knowledge Inbound Sdn Bhd, “The Quran Modern English Translation” oleh SAM Synergy Media, dan “Translation of the Quran” oleh Multiracial Reverted Muslims.

Selain itu, warta itu juga turut menyenaraikan “Terjemahan Al-Quran” dalam Bahasa Melayu oleh penerbit Knowledge Inbound Sdn Bhd, “The Meaning of The Glorious Qur’an” edisi Korea dan “The Meaning of the Holy Quran” edisi Cina terbitan Persatuan Kebajikan Khawaja Moinuddin Chisti (Kuala Lumpur & Selangor).

Satu lagi penerbitan terjemahan Al-Quran  yang diharamkan adalah oleh Muhammad Farooq-i-Azam Malik, “The Meaning of Al-Quran (The Guidance for Mankind)” terbitan A.S. Noordeen.

Terjemahan Al-Quran oleh Abdullah Yusuf Ali di dalam Inggeris adalah antara yang paling popular di dunia Islam, sejak edisi pertama diterbitkan pada 1930-an.

Warta yang dikeluarkan pada hari sama itu turut mengharamkan empat lagi buah buku, di mana tiga daripadanya diterbitkan oleh Islamic Renaissance Front (IRF).

Buku Mustafa Akyol yang diterbitkan pada tahun 2011, bertajuk "Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty", berserta terjemahan Bahasa Melayunya: "Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan" yang diterbitkan oleh badan pemikir Malaysia, IRF tahun lalu, diharamkan kerana dikatakan "mencetuskan keresahan dalam kalangan orang ramai" dan "menggugat kepentingan awam".

Juga tergolong dalam senarai pengharaman adalah dua buku oleh pengerusi IRF, Dr Ahmad Farouk Musa, yang bertajuk "Wacana Pemikiran Reformis 1" dan "Wacana Pemikiran Reformis 2", yang masing-masing diterbitkan pada 2012 dan 2014.

Manakala buku “Aku _____, Maka Aku Ada!” adalah buku ke-7 karya novelis Faisal Tehrani yang diharamkan setakat ini.

“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam jadual yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” menurut warta itu yang boleh diakses di laman web Peguam Negara Malaysia.

Minggu lalu, Mustafa ditahan oleh polis Malaysia kerana didakwa menyampaikan khutbah agama tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Beliau hadir untuk memberi ceramah di sebuah forum anjuran IRF.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Isnin selepas tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke Rom, dan dibebaskan selepas 18 jam, pada hari Selasa.

Mustafa, yang tinggal di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat bersama-sama keluarganya, berkata, beliau sudah lima kali mengunjungi Malaysia untuk menyampaikan ceramah dan tidak pernah ditahan sebelum ini.

Waran tangkap mahkamah syariah


Mustafa ditahan selepas JAWI menerima aduan mengenai penyertaannya di dalam forum bertajuk " Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy” (Apakah kebebasan nurani membuka jalan kepada murtad?) di Royal Selangor Golf Club pada Ahad minggu lalu, kata Pengarah JAWI Abdul Aziz Jusoh dalam sebuah kenyataan selepas penahanannya.

JAWI telah menghubungi Mustafa bagi memintanya hadir untuk disoal siasat kerana didakwa melanggar Seksyen 11 Akta Tatacara Jenayah Syariah berhubung dengan menyampaikan ajaran agama tanpa tauliah yang sah, tetapi  memandangkan Akyol tidak mengendahkan arahan jabatan tu, JAWI telah memohon kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran bagi penangkapannya.

Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan itu, beliau boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 (US$1,188), penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mustafa berkata, beliau dibebaskan pada petang Selasa selepas JAWI berpuas hati bahawa beliau tidak mengetahui tentang peraturan itu.

Pada Isnin lalu juga, Mustafa membatalkan ceramahnya yang dijadualkan di kampus Universiti Nottingham di Kuala Lumpur mengenai "“The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims", pada saat-saat akhir, atas tekanan pihak berkuasa Malaysia.

Ahmad Farouk, penganjur forum tersebut dan pengerusi IRF, mendedahkan berita mengenai penahanan Mustafa melalui Twitter beberapa minit selepas ia berlaku.

"Tetamu kami & penulis antarabangsa terkemuka sedang ditahan di KLIA. Kami mengesyaki ia mungkin ada kaitan dengan JAWI.  Talibanalisasi yang menakutkan," kata IRF dalam Twitter.

Ahmad Farouk telah diarahkan oleh JAWI untuk hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 4 Disember untuk menjawab tuduhan "bersubahat" dengan sarjana Turki itu.

Kritikan terhadap penahanan


Penahanan Mustafa menerima kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Amnesty International Malaysia (AIM).

Melalui tulisannya dalam akhbar The New York Times selepas pembebasannya dari tahanan,  Mustafa menceritakan bagaimana dia ditahan di KLIA, kemudian dibawa ke dua balai polis dan pejabat JAWI. Beliau kemudian dibawa ke mahkamah syariah dan disoal siasat selama beberapa jam.

Tulisan itu juga, antara lain, mengingatkan penguasa agama bahawa semakin mereka cuba mengawal pemikiran orang awam mengenai agama Islam dengan tujuan melindungi kesucian agama, semakin orang ramai hilang rasa hormat terhadap penguasa agama.

Menurut Mustafa, pembebasannya hasil rundingan dan jaminan oleh kedutaan Turki, bekas presiden Turki Abdullah Gul dan seorang kerabat diraja Malaysia yang tidak dinamakan.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Mustafa tidak ditahan oleh pihak berkuasa atas sebab keselamatan.

"Saya tidak fikir dia menjadi ancaman sangat", katanya bila ditanya apakah sebab Mustafa menjadi ancaman.

Manurut Fuzi lagi, operasi menahan Mustafa dibuat oleh JAWI dan pihak polis, "hanya setakat membantu".

Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, pada Jun lepas telah mengharamkan buku terbitan kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan termasuk diplomat, G25 bertajuk “Breaking the Silence –Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” (Memecah Kesunyian: Suara Kesederhanaan – Islam dalam Demokrasi Perlembagaan).

Buku yang terbit lebih kurang 18 bulan sebelumnya itu diharamkan dengan alasan memudaratkan ketenteraman awam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.