Mahkamah Malaysia Bebaskan Remaja Atas Pertuduhan Bunuh 23 Penghuni Tahfiz

Ray Sherman & Nisha David
2020.01.28
Kuala Lumpur, Malaysia
200128-MY-Madrassa-Fire900.jpg Seorang remaja Malaysia meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan bapanya melambai kepada sepasukan jurugambar selepas mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017, di Jalan Duta, Kuala Lumpur, 28 Januari, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia pada Selasa membebaskan seorang remaja tetapi memerintahkan seorang lagi untuk membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni sebuah pusat tahfiz dalam satu kejadian kebakaran di Kuala Lumpur tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azman Abdullah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah menunjukkan fakta yang cukup untuk membuktikan kesnya terhadap salah seorang daripada dua defendan, kedua-dua tertuduh kini berusia 19 tahun.

"Mahkamah telah membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan hanya dapat membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama atas semua pertuduhan.

Sementara itu, tertuduh kedua dibebaskan, tanpa perlu membela diri," kata Azman ketika membacakan keputusannya itu sambil berkata "Dengan ini, saya memerintahkan tertuduh pertama untuk membela diri terhadap kesemua 23 pertuduhan pada 2 dan 3 Mac depan."

Kedua-dua defendan sebak dan menangis teresak-esak selepas mendengar keputusan tersebut.

Sementara itu, remaja yang dibebaskan melahirkan rasa "terkejutnya" dengan pembebasan oleh Hakim itu dan semasa ditemui pemberita diluar ruang mahkamah beliau berkata "Saya tidak mempunyai rancangan tetapi saya bersyukur dengan keputusan ini. Saya agak kecewa yang rakan saya tidak dibebaskan.”

Kebakaran tersebut berlaku sebelum subuh pada 14 September, 2017, di bangunan tiga tingkat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, sebuah madrasah di mana pelajar lelaki belajar pengetahuan agama Islam dan menghafal Al-Quran yang terletak di Jalan Keramat, di tengah-tengah ibunegara Kuala Lumpur.

Dua guru dan 21 pelajar, berusia 6 hingga 17 tahun, terbunuh dalam kebakaran itu kerana terperangkap dalam bilik asrama yang tingkapnya berjeriji dan pintunya berkunci, kata para pegawai. Para pegawai bomba berkata, mereka mendapati kesemua mayat yang ditemui bertindih atas satu sama lain, rentung dan tidak dapat dikenali.

Kebakaran berkenaan juga telah menyebabkan kemarahan di laman media sosial sehingga memanggil kepada pengawalan sekolah agama yang lebih baik, yang kebanyakannya dijalankan secara persendirian dan tidak diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam masa beberapa hari kejadian itu berlaku, pihak berkuasa Malaysia mengumumkan penangkapan tujuh suspek dan mengisytiharkan motif kejadian itu adalah balas dendam.

Motif yang menyebabkan kebakaran, bukan untuk membunuh. Ia adalah sebagai mengejek," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh ketika itu pada sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen. "Ini adalah juga berkemungkinan bahawa mereka berada di bawah pengaruh apabila mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut."

Singh tidak mengulas lanjut. Polis kemudiannya memfailkan tuduhan membunuh terhadap dua remaja tersebut.

Bapa bersyukur

Sekiranya mahkamah mendapati tertuduh membunuh, remaja yang berdepan dengan perbicaraan bela diri itu boleh menghadapi hukuman penjara seumur hidup. Di Malaysia, pertuduhan pembunuhan membawa hukuman mati mandatori, tetapi kanak-kanak bawah umur hanya boleh dihukum penjara seumur hidup.

Juriani Tumin, bapa remaja yang dibebaskan, mengucapkan terima kasih selepas mendengar keputusan hakim itu.

"Saya berterima kasih kepada Allah yang anak saya dibebaskan. Mungkin selepas ini, anak saya akan meneruskan pengajiannya," kata Juriani kepada media di luar ruang mahkamah. "Saya mahu dia menjadi orang yang lebih baik."

Ibu kepada seorang lagi remaja yang dituduh, yang meminta namanya tidak disiarkan menyatakan kekecewaan ketika beliau bercakap dengan BeritaBenar di luar ruang mahkamah.

"Saya tidak mengharapkan keputusan ini," katanya. "Sudah tentu, saya kecewa bahawa anak saya tidak dibebaskan dari penjara manakala rakannya bebas."

Keputusan pada Selasa juga membawa perasaan bercampur-baur bagi ibu salah seorang mangsa.

Ahli perniagaan Hartini Abd Ghani, di mana beliau kehilangan anak lelaki berusia 12 tahun, Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan, dalam kebakaran itu berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah atau memohon untuk dibicarakan semula.

"Harus ada sebab bagi mahkamah untuk membuat keputusan itu, tetapi saya akan berbincang dengan peguam saya untuk melihat sama ada ada ruang untuk merayu atau perbicaraan semula," katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Selasa.

"Mereka bertanggungjawab terhadap kehilangan 23 nyawa dan mesti bertanggungjawab. Itu faktanya - 23 nyawa telah hilang, tetapi kejadian itu tidak akan berlaku jika seseorang tidak memulakan kebakaran tersebut," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.