Sepuluh Yang Ditahan Rancang Serangan Ganas Di Timur Tengah - Ketua Polis Negara
2018.09.14
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis Malaysia pada Jumaat telah mengumumkan penahanan sepuluh suspek militan, termasuk lima yang didakwa terlibat dalam plot keganasan yang menyasarkan sebuah negara Timur Tengah dan yakin bahawa mereka sedang menyahut panggilan untuk berjihad.
Lima individu terbabit menganggotai kumpulan yang mengelarkan diri mereka sebagai ‘Asoib’, atau Pemuda dari Timur, manakala lima lagi suspek dipercayai anggota kumpulan militan yang dikenali sebagai Ar Rayah, kata Ketua Polis Malaysia dalam satu kenyataan.
Kesemua sepuluh lelaki itu ditahan semasa serbuan oleh pegawai unit antikeganasan di negeri Selangor, Johor, Pahang, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang yang dijalankan antara 10 Ogos dan 31 Ogos, demikian menurut Mohamad Fuzi Harun.
Kelima-lima anggota kumpulan Asoib itu, berusia lingkungan 39 hingga 53 tahun, "merancang untuk bergabung dengan sebuah kumpulan pengganas di Timur Tengah bagi melancarkan serangan ke atas sebuah negara yang bersempadan dengan negara tersebut," kata Mohamad Fuzi menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam Bahasa Melayu.
Pengumuman itu merupakan yang pertama dilakukan oleh polis Malaysia untuk memaklumkan kehadiran penyokong kedua-dua kumpulan pengganas di negara berkenaan. Menurut pegawai, kedua-duanya tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang berpangkalan di Timur Tengah dan dikenali sebagai Negara Islam.
Sel Asoib dari Malaysia akan dibekalkan dengan senjata oleh kumpulan pengganas terbabit semasa mereka tiba di Timur Tengah, kata Mohamad Fuzi.
"Seorang anggota Asoib sudah berada di negara Timur Tengah terbabit dan sedang membuat persiapan serta menyelaraskan serangan itu," kata ketua polis tanpa mendedahkan negara yang menjadi destinasi sel pengganas itu.
Arab Saudi adalah negara yang menjadi sasaran dalam plot pengganas itu, menurut sumber dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan Malaysia kepada BeritaBenar dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
"Ya, ia adalah Arab Saudi," kata sumber itu.
Sumber dari Timur Tengah memberitahu ChannelNews Asia yang berpangkalan di Singapura bahawa suspek merancang untuk melakukan perjalanan ke Yaman sebelum ke Arab Saudi, yang terletak berhampiran.
Akhir Zaman
Menurut Mohamad Fuzi, kumpulan Asoib telah memutar-belitkan hadis Nabi Muhammad dan percaya bahawa hari kiamat kian menjelang serta seorang penyelamat, iaitu Iman Mahdi, akan muncul di Mekah pada tahun ini.
"Kumpulan itu seterusnya akan bergabung dengan tentera Iman Mahdi untuk melancarkan serangan terhadap negara-negara sekular dan Dajjal," kata ketua polis itu.
Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua cawangan khas antikeganasan PDRM berkata kepercayaan wujudnya Imam Mahdi dan perjuangan menentang kejahatan (dajjal) telah wujud selama bertahun-tahun.
Terdapat satu kes di Malaysia pada 1980-an, apabila sebuah kumpulan yang mendakwa pengikut Imam Mahdi menyerang sebuah balai polis di negeri Johor, kata Ayob.
"Satu-satunya perbezaan yang ada sekarang ialah konsep dan kepercayaan itu telah diuji oleh keadaan semasa di dunia Islam, terutama apa yang berlaku di Syria," katanya kepada BeritaBenar.
"Menyentuh konsep dajjal, kepada golongan ini mereka ada di mana-mana, dan ia bukanlah dalam bentuk lain, atau binatang atau makhluk hidup. [Apa sahaja] yang tidak selari dengan ajaran Islam – pada pemahaman mereka - dianggap sebagai dajjal. Oleh itu, matlamat mereka adalah melawannya. Bagaimana? Melalui serangan," katanya.
Plot serangan sasar Melaka, Pulau Pinang
Kumpulan kedua terdiri daripada lima suspek dari kumpulan Ar Rayah, berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun, kata polis.
Siasatan awal menunjukkan bahawa anggota sel itu merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan dan tempat-tempat yang mempunyai kaitan dengan maksiat sekitar Melaka dan Pulau Pinang, termasuk lokasi yang sering dikunjungi golong transgender, kata Mohamad Fuzi. Polis merampas lima bom asap semasa melakukan serbuan yang dikaitkan dengan kumpulan Ar Rayah.
Anggota tertua sel itu, antara lima suspek yang ditahan, adalah seorang warga asing yang bekerja di sebuah restoran tempatan. Dia dipercayai menganggotai sebuah kumpulan pengganas di Asia Tenggara yang telah menyebarkan ideologi kumpulan itu menerusi platform mesej WhatsApp, kata Mohamad Fuzi tanpa memberikan butiran lanjut mengenai kumpulan itu.
Suspek itu juga ditugaskan untuk mempengaruhi anggota kumpulan agar menyumbangkan wang bagi membeli senjata api dan peluru," kata ketua polis negara.
Warga asing itu “adalah anggota sebuah kumpulan militan di selatan Thailand," lapor ChannelNews Asia memetik kenyataan sumber perisikan.
Pemberontakan puak pemisah yang dilancarkan oleh pemberontak berbangsa Melayu selama beberapa dekad telah mencengkam kawasan selatan Thailand yang didominasi penduduk beragama Islam, yang terletak di sepanjang sempadan utara Semenanjung Malaysia.
Kesemua sepuluh suspek itu yang ditahan dalam serbuan bulan lalu kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Malaysia (SOSMA) bagi kesalahan berkaitan pengganas, kata Mohamad Fuzi.