Tuduhan Rasuah: Badan Pencegahan Rasuah Malaysia Selar Pembebasan Menteri Kewangan

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2018.09.03
Kuala Lumpur, Malaysia
180903-MY-Lim-1000.jpg Lim Guan Eng, ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Malaysia, melambaikan tangan semasa menghadiri sesi mahkamah pada permulaan perbicaraan kes rasuahnya di negeri itu, 26 Mac 2018.
[AFP]

Agensi anti-rasuah Malaysia melahirkan rasa terkejut pada Isnin berhubung satu keputusan mahkamah untuk membebaskan Lim Guan Eng, menteri kewangan dari pemerintahan kerajaan baharu negara itu, daripada pertuduhan berkaitan rasuah yang dihadapinya di bawah kerajaan terdahulu ketika beliau menjadi ketua menteri negeri Pulau Pinang.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum itu pada hari yang sama telah membebaskan Guan Eng dan ahli perniagaan wanita Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo dalam tahun 2015 di bawah nilai pasaran, lapor agensi berita rasmi Bernama serta media tempatan lain.

Beliau turut didakwa menyalah guna kuasa sebagai ketua menteri Pulau Pinang susulan penahanannya pada Jun 2016 bagi pertuduhan menukarkan status penggunaan tanah pertanian kepada kediaman.

Hakim Hadhariah Syed Ismail melepas dan membebaskan kedua-dua defendan, yang mula dibicarakan pada Mac tahun ini, susulan satu usul daripada peguam agar mereka dibebaskan sepenuhnya, lapor Bernama.

“SPRM amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo dan pertuduhan terhadap ahli perniagaan wanita Phang Li Koon,” menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan.

“SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik pertuduhan itu telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukan daripada SPRM,” kata suruhanjaya itu, merujuk kepada Peguam Negara baharu, Tommy Thomas.

Pada malam Isnin, BeritaBenar dimaklumkan bahawa pengurusan tertinggi SPRM telah berdepan pertengkaran yang hangat dengan Thomas berhubung kes itu.

“Kami tidak dimaklumkan atau diberikan sebarang penjelasan mengapa keputusan sedemikian telah dibuat,” kata satu sumber yang rapat dalam kes itu kepada BeritaBenar dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Susulan keputusan mahkamah pada Isnin, Guan Eng enggan mengulas mengenai pembebasan beliau, lapor sebuah akhbar di Malaysia iaitu Star.

Semasa beliau ditahan dua tahun lepas, beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada serangan politik yang bertujuan menghancurkan kerjayanya sebagai pemimpin pembangkang ketika itu.  

Sejak kerajaan baharu mengambil alih kuasa pada Mei 2018, Guan Eng telah menjadi seorang menteri berprofil tinggi dalam usahanya untuk menyiasat kes rasuah besar-besaran yang didakwa dilakukan oleh kerajaan bekas Perdana Menteri Najib Razak, terutama skandal kewangan membabitkan dana negara dikenali sebagai 1MDB.

Ketika memberi reaksi terhadap maklum balas MACC yang kritikal itu, Ramkarpal Singh, seorang peguam mewakili Guan Eng berkata “Saya terkejut apabila mengetahui bahawa SPRM terkejut dengan keputusan itu.”

“Sudah jelas bahawa perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan SPRM oleh AG (Peguam Negara),” kata Singh seperti yang dilaporkan oleh akhbar Star.

“Mereka (SPRM) jelas mempunyai pengetahuan dan telah dimaklumkan bahawa pertuduhan itu akan ditarik balik, kerana keseluruhan proses membabitkan SPRM,” katanya.

Bagaimanapun, ketua sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang berusaha membongkar kes rasuah mempertikai pembebasan menteri kewangan itu oleh mahkamah.

Dalam satu kenyataan, Cynthia Gabriel, pengarah eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) merujuk bagaimana, pada 2016, Peguam Negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali telah muncul di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang untuk mengemukakan pendakwaan awal terhadap Guan Eng.

“Apandi amat yakin sehingga mengetuai sendiri pendakwaan terhadap Lim. Tetapi jika AG ketika itu amat yakin dengan kes tersebut, bagaimana ia boleh digugurkan dengan sewenang-wenangnya oleh Mahkamah Tinggi hari ini?” kata Gabriel.

“Sama ada AG yang terdahulu dipaksa untuk mengemukakan pendakwaan itu di mahkamah, atau sistem tersebut sentiasa memihak kepada kerajaan yang memerintah,” lapor media tempatan Free Malaysia Today yang memetik beliau sebagai berkata.

Beliau turut melahirkan kebimbangan “bahawa ahli politik yang sebenarnya telah mengkhianati kepercayaan awam mungkin sudah dibenarkan kembali ke dalam sistem itu, manakala yang lain mungkin terpaksa berdepan pertuduhan yang direka demi mempertahan kepentingan politik berbanding kepentingan awam.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.