Pasangan Suami Isteri Dihukum Mati Bunuh Warga Kemboja

Staf BeritaBenar
2015.10.30
151030-MY-KEMBOJA620 Kelihatan parut pada muka dan telinga seorang pembantu rumah Indonesia, Siti Hajar, 33, dari Jawa Barat, yang dipercayai didera oleh majikannya. Semasa temubual beliau menceritakan kisah penderaannya dari tempat perlindungan di Pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.23 Jun 2009.
AFP

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Jumaat mengembalikan hukuman mati ke atas sepasang suami isteri dari Pulau Pinang atas kesalahan membunuh pembantu rumah warga Kemboja tiga tahun lepas.

Panel tiga hakim mahkamah itu yang diketuai oleh Hakim Tengku Maimun Tuan Mat menjatuhi hukuman mati itu selepas mendapati Soh Chew Tong, 46, dan isterinya, Chin Chui Ling, 43 bersalah kerana mendera, gagal memberi makan dan menafikan hak rawatan perubatan sehingga menyebabkan kematian mangsa Mey Sichan, 24 tahun pada ketika itu.

Jenayah ke atas Mey Sichan mendapat liputan meluas media tempatan dan menarik perhatian media asing pada April 2012 apabila mangsa dijumpai mati dalam keadaan menyayat hati dengan berat badan hanya 26 kilogram (57 paun) selepas tujuh bulan mula berkerja dengan pasangan itu.

Hakim Zakaria Sam seperti yang dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), semasa menyampaikan keputusan sebulat suara panel hakim berkata, Mahkamah Rayuan mendapati rayuan balas pihak pendakwa mempunyai merit.

Beliau kemudian mengenepikan sabitan pasangan itu atas tuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat dan hukuman penjara, serta menggantikannya dengan hukuman mati kerana membunuh.

Panel hakim, yang juga dianggotai oleh Hakim Ahmadi Asnawi turut menolak rayuan pasangan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.

Sebelum itu, panel tiga hakim mahkamah berkenaan telah membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk mengembalikan pertuduhan asal membunuh ke atas pasangan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 16 Mei 2013, Soh dan Chin, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas tuduhan pindaan membunuh tanpa niat.

Pasangan itu dituduh membunuh Mey Sichan di rumah mereka di Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 1 Januari dan 1 April, 2012 tetapi Mahkamah Tinggi meminda tuduhan itu dan mensabitkan mereka kerana membunuh tanpa niat.

Mengikut fakta kes, mangsa mula bekerja dengan pasangan itu pada 22 Julai 2011 dan dijumpai mati di rumah kedai pasangan itu dengan kesan kecederaan lama dan baru pada badannya selain mengalami dehidrasi dan keadaan pipinya yang cengkung.

Mahkamah juga dimaklumkan sebelum ini, bahawa Mey Sichan pernah mengadu kepada wakil agensi pekerjaannya yang dia (mangsa) tidak diberi makanan secukupnya sepanjang bekerja dengan pasangan itu.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa konsultan pakar patologi Dr Zahari Noor yang menjalankan autopsi ke atas mangsa menemui 29 kesan luka lama dan baru pada mayat Mey Sichan dan merumuskan mangsa mati akibat gastrik ulser akibat daripada tidak diberi makan dan pengabaian.

Ketika prosiding di Mahkamah Rayuan pada 24 Februari tahun ini, pihak pendakwa berhujah bahawa Mey Sichan bukan saja tidak diberi makan tetapi dia juga didera dan mengalami kecederaan fizikal di seluruh badan akibat dipukul, selain terpaksa makan sisa makanan dari tong sampah.

Peguam pasangan berkenaan K. Kumaraendran berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan pada hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Hukuman mati ke atas pasangan Soh dan Chin adalah yang kedua melibatkan majikan Malaysia selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam di Selangor pada Mac tahun lalu menjatuhkan hukuman gantung ke atas sepasang suami isteri dari Petaling Jaya setelah didapati bersalah membunuh pembantu rumah rakyat Indonesia.

Hakim Noor Azian Shaari dalam penghakimannya memutuskan Fong Kong Meng, 58, dan isterinya, Teoh Chin Yen, 56, bersalah membunuh mangsa, Isti Komariah, 26 tahun di di rumah No. 90 Jalan SS2/6 Sea Park, Petaling Jaya, dekat sini antara 14 Mei 2010 dan 5 Jun 2011.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.