Mahkamah Tolak Permohonan Kerajaan Tangguh Keputusan Kerakyatan Anak Kelahiran Luar Negara
2021.11.15
Kuala Lumpur

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin mengenepikan permohonan yang dibuat kerajaan negara itu untuk menangguhkan satu keputusan penghakiman yang memberikan wanita tempatan Malaysia mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak yang dilahirkan di luar negara bersama pasangan rakyat asing.
Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan mengenepikan permohonan kerajaan itu kerana katanya tidak timbul persoalan mengenai pindaan kepada Perlembagaan atas sebab mahkamah telah pun memutuskan bahawa para ibu mempunyai hak [mewariskan kerakyatan] di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu itu, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memberi alasan bahawa keputusan yang dibuat mahkamah pada 9 September lepas perlu ditangguhkan kerana kerajaan memerlukan masa untuk membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu tersebut.
"Mereka menyatakan bahawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan para ibu mendapat hak ini mesti terlebih dahulu diberikan kelulusan oleh Majlis Raja-Raja. Ini sekiranya pindaan tersebut adalah diperlukan.
“Namun, tidak timbul persoalan mengenai pindaan kepada Perlembagaan kerana mahkamah ini telah pun memutuskan bahawa para ibu mempunyai hak [mewariskan kerakyatan] di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Dan, sekiranya pindaan itu selesai dilaksanakan, tiada keperluan untuk menarik semula sebarang dokumen daripada ibu-ibu yang terlibat seperti diarahkan mahkamah," kata Hakim Akhtar dalam sesi pendengaran yang dilakukan melalui aplikasi Zoom.
Plaintif pula terdiri daripada Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Menurut Hakim Akhtar lagi, anak-anak yang dilahirkan oleh wanita tempatan dengan berbapakan warga asing berhak mendapat hak melalui pelaksanaan undang-undang menjadi rakyat Malaysia, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Tambah Hakim itu lagi, semua wanita yang terlibat sudah menunggu terlalu lama.
"Mereka tidak boleh menunggu selama-lamanya sehingga proses rayuan selesai. Ia akan menjadi prejudis terhadap para plaintif dan menyebabkan mereka terus berdepan dengan kesukaran hidup," katanya lagi.
Hakim Akhtar turut mengarahkan pihak kerajaan membayar RM5,000 (AS$1,021) kepada plaintif sebagai bayaran kos.
Tahun lepas, sekumpulan enam wanita warga Malaysia telah mencabar klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang didakwa secara tidak langsung menyatakan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak memperoleh kerakyatan Malaysia.
Susulan itu, pada 9 September lalu, Akhtar membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan berkenaan, selepas beliau mendapati bahawa kumpulan wanita berkenaan telah menjadi mangsa diskriminasi jantina kerana peraturan itu tidak terpakai terhadap lelaki tempatan Malaysia yang berada dalam situasi serupa.
Pada bulan yang sama, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan penangguhan keputusan yang dibuat oleh mahkamah tersebut, bagi mendapatkan masa bagi kerajaan membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bersama dengan Majis Raja-Raja.
Sementara itu, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin semasa ucapan di Parlimen memberitahu cadangan untuk pindaan Perlembagaan berhubung isu berkenaan akan dibawa kepada perhatian Majis Raja-Raja pada mesyuarat majlis berkenaan yang dijadualkan pada minggu hadapan.
"Anggota Jemaah Menteri dalam satu mesyuarat pada 22 September telah bersetuju supaya Peguam Negara membawa perkara ini kepada perhatian Raja-Raja semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang akan bersidang pada 23 dan 24 Nov ini, bagi mendapatkan kebenaran.
"Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuaan memerlukan kebenaran Raja-Raja dan mendapat sokongan majoriti dua pertiga sebelum ia boleh diluluskan di Parlimen," kata Wan Junaidi.
Tambah beliau, isu kerakyatan adalah satu perkara yang melibatkan kepentingan awam, dan ia memerlukan perhatian segera.
"Bermula dari hari ini sehingga Julai 2022, satu siri pindaan akan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan, iaitu membabitkan undang-undang anti-lompat parti, undang-undang untuk mengehadkan tempoh khidmat perdana menteri; saya telah dimaklumkan untuk sekurang-kurangnya membawa cadangan pindaan ini ke parlimen tahun depan, isu kritikal dan perkara berkaitan kerakyatan akan diberikan pertimbangan dan saya yakin bahawa ahli Dewan Rakyat akan menyokong pindaan ini kerana ia membabitkan kepentingan awam," tambah beliau.
Gembira keputusan mahkamah
Family Frontiers Malaysia, kumpulan yang memperjuangkan isu diskriminasi jantina dan hak samarata bagi wanita mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara, berkata bahawa kumpulan tersebut begitu gembira dengan keputusan mahkamah.
"Asas perundangan dalam keputusan hakim berkenaan telah diberikan secara jelas, dan kami tidak sabar untuk melihat keputusan itu dilaksanakan secepat mungkin," ahli jawatankuasa eksekutif Family Frontiers Chee Yoke Ling.
Myra Eliza Mohd Danil, salah seorang daripada enam plaintif dalam kes berkenaan berkata, beliau berasa lega apabila mendengar keputusan terkini mahkamah itu.
"Saya berasa seperti satu beban yang besar atas bahu saya telah diangkat. Saya berharap kerajaan akan akur dengan keputusan mahkamah tinggi dan tidak akan menyusahkan kami para ibu lagi selepas ini.
“Saya mahu anak saya untuk merasai atau mengetahui bahawa dirinya juga adalah seorang rakyat Malaysia sama seperti adiknya, dan beliau bukannya seorang warga asing dalam negara ibunya sendiri," Myra memberitahu BenarNews.
Myra berkahwin dengan pasangan warga Zambia. Anak mereka yang dilahirkan di Zambia tidak diberikan kerakyatan Malaysia, tidak seperti anak lelaki mereka yang dilahirkan dua tahun kemudian di Malaysia.
Beberapa orang wanita yang mempunyai anak yang dilahirkan di luar negara dilihat telah berkongsi kegembiraan mereka mengenai keputusan itu di aplikasi TikTok. Mereka menggunakan platform media sosial tersebut untuk berkongsi kepayahan mereka dalam usaha mendapatkan kerakyatan untuk anak mereka.
Sementara itu, Joshua Andran, peguam yang mewakili keluarga terlibat, memberitahu BenarNews bahawa Hakim Akhtar telah mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh ibu rakyat tempatan, anak mereka dan keluarga, yang akan berterusan sekiranya permohonan penangguhan oleh kerajaan itu dibenarkan.
"Salah seorang anak yang terlibat dalam kes ini sudah berusia 17 tahun. Dia telah dinafikan hak kerakyatan seumur hidupnya. Berapa lama lagi harus keluarga Malaysia ini menunggu?
"Selain itu, terdapat juga keluarga yang mempunyai anak kecil, bayi yang menghadapi kesukaran untuk memasuki Malaysia. Ramai keluarga yang terpisah disebabkan oleh sekatan perjalanan," katanya kepada BenarNews.
BenarNews telah berusaha menghubungi pasukan pendakwa raya dalam kes ini bagi mendapatkan komen mereka namun tidak berjaya.
Pakar undang-undang dan perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Khairil Azmin Mokhtar berkata keputusan mahkamah itu akan menyaksikan penghakiman mengenai hak mewariskan kerakyatan dilaksana serta merta, kecuali jika kerajaan memfailkan rayuan terhadap penolakan permohonan penangguhan mereka.
"Sekiranya tidak ada sebarang rayuan dibuat, [penghakiman dibuat Akhtar] akan kekal berkuatkuasa. Kecualilah jika mahkamah rayuan menukar keputusan tersebut,” katanya lagi.