Menteri Disiasat Langgar Perintah 14 Hari Kuarantin Wajib COVID-19

Noah Lee
2020.08.20
Kuala Lumpur, Malaysia
200820-MY-Khairuddin.jpg Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali semas bercakap kepada sidang media selepas mesyuarat bersama syarikat petroleum mengenai Isu Semasa dan Pelan Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di Putrajaya, 19 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang Menteri Malaysia dikritik hebat di media sosial kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak mematuhi perintah kuarantin wajib 14 hari setelah pulang dari luar negara, dengan pihak berkuasa kesihatan berkata sedang menyiasat mengenai dakwaan pelanggaran itu.

Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi turut dipercayai menghadiri sidang Parlimen, selepas seminggu pulang dari lawatannya ke Turki, pada 13 Julai lepas.

Anggota Parlimen daripada Parti Islam Se-Malaysia bagi kawasan Kuala Nerus, Terengganu itu pada Khamis telah mengeluarkan kenyataan media memaklumkan yang beliau akur dengan keputusan Kementerian Kesihatan yang sedang menjalankan siasatan terhadapnya dengan meminta orang ramai untuk menunggu keputusan berhubung pelanggaran arahan kuarantin tersebut.

"Tunggu sahaja keputusan rasmi ujian COVID-19 yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM]…. Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab akan akur dengan apa jua kenyataan dari pihak KKM,” kata beliau seperti dilaporkan media tempatan di Terengganu.

Mohd Khairuddin semasa dihubungi BeritaBenar pada Khamis bagaimanapun berkata yang beliau hanya akan memberi kenyataan lanjut selepas KKM mengeluarkan kenyataan hasil daripada siasatan terhadap kesnya itu.

"Tunggu selepas KKM keluarkan kenyataan mereka, kemudian saya akan beri kenyataan" katanya dalam mesej melalui Whatsapp pada Khamis.

Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kerajaan Malaysia mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus COVID-19.

Arahan itu sebelum ini membenarkan individu untuk kuarantin dilakukan di rumah, namun kerajaan menukarnya kepada kuarantin wajib di pusat kuarantin bermula 24 Julai selepas menerima aduan bahawa ada diantara yang pulang dari luar negara gagal mematuhi peraturan kuarantin di rumah itu.

KKM jalan siasatan

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah telah mengesahkan kepada portal berita tempatan Malaysia, bahawa KKM sedang menyiasat dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri berkenaan.

"Kami sedang menyiasat. Ia tempoh kuarantin di rumah pada ketika itu… Jika diuji positif, beliau akan dimasukkan ke hospital dan jika diuji negatif, beliau perlu melalui kuarantin di rumah mandatori selama 14 hari," kata Noor Hisham seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini pada Rabu.

Mohd Khairuddin mula menjadi sasaran kritikan selepas seorang ahli parlimen pembangkang mendedahkan bahawa beliau telah menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai walaupun baru tiba dari Turki pada 7 Julai.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Seputeh dari Parti Tindakan Demoratik (DAP), Teresa Kok Suh Sim semasa sesi persidangan Dewan Rakyat telah mempertikaikan mengenai tidakpatuhan arahan kuarantin oleh menteri berkenaan termasuk mempersoalkan samada beliau patut diambil tindakan kerana telah melanggar SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan negara itu.

"Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi telah pergi ke Turki pada 3 hingga 7 julai, tapi pada 13 Julai beliau datang ke Parlimen. Seperti yang kita semua tahu, mereka yang pergi ke luar negara mesti dikuarantin 14 hari apabila pulang, akan tetapi sekarang menteri kabinet sendiri tidak ikut," kata Kok, semasa mencelah sesi perbahasan oleh ahli parlimen Gopeng, Lee Boon Chye.

Pada Rabu, media tempatan Malaysia melaporkan seorang sumber dekat dengan Khairuddin berkata Khairuddin telahpun menjalani "ujian COVID-19 khas" selepas kembali dan didapati negatif terhadap virus tersebut dengan turut mendakwa bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah bersetuju dengan perjalanan ke Turki itu kerana ia adalah "zon hijau".

Semasa tarikh perjalanan menteri berkenaan dari 3 dan 7 Julai, Turki telah mencatatkan lebih daripada 5,600 kes baru dan 93 kematian dengan lebih 250,000 jumlah keseluruhan kes dan dan 6,061 kematian akibat pandemik COVID-19 di negara berkenaan.

Sehingga Khamis, Malaysia mencatat 9,240 kes COVID-19 dan 125 kematian dengan di peringkat global, lebih daripada 23 juta kes jangkitan dan 789,000 kematian direkodkan, menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.

Dihentam

Ekoran daripada pendedahan itu, Khairuddin dan juga menteri yang berada di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin dihentam oleh pelbagai pihak termasuk anggota parlimen pembangkang, pakar kesihatan dan juga orang ramai. Beberapa individu juga dilaporkan telah mengambil tindakan membuat laporan polis berhubung perlanggaran perintah kuarantin oleh menteri berkenaan.

Seorang pakar kesihatan, Amar Singh HSS pula menggesa supaya pihak pengurusan parlimen mengambil langkah membersihkan premis berkenaan manakala individu lain termasuk Anggota Parlimen yang dikenalpasti sebagai kontak rapat beliau patut disaring.

"Parlimen patut mengambil masa sekarang untuk membersihkan bangunan itu. Ia juga patut mengkuarantin mana-mana kakitangan kementerian yang terlibat dengan perjalanan itu (ke Turki). Sesiapa yang duduk berhampiran atau kontak rapat dengan menteri juga perlu diuji dan dikuarantin untuk memastikan keselamatan awam," kata pakar perunding kanan pediatrik di laman Twitternya.

Ciapan di laman Twitter pengguna yang dikenali sebagai @armanamin30 berkata "Yang Di-Pertuan Agong pun kuarantin 14 hari. Si Khairuddin Takiri ni siapa” sambil merujuk gelaran At-Takiri yang digunakan di hujung nama Khairuddin.

Ciap itu merujuk kepada Mac lepas, apabila Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pasangan diraja Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari, setelah tujuh kakitangan Istana Negara disahkan positif COVID-19 oleh KKM.

"Ingin dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menjalani proses saringan di Istana Negara dan disahkan negatif COVID-19. Lanjutan dari proses saringan ini, Seri Paduka Baginda berdua sedang menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari mulai semalam,” demikian kata kenyataan yang dikeluarkan pada Mac lalu.

Di bawah Akta 342, seseorang yang didapati bersalah kerana melanggar peraturan dibawahnya boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

Undang-undang itu juga memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa olehnya untuk mengeluarkan kompaun tidak melebihi RM1,000(AS$239).

Sebelum ini, beberapa individu yang didapati melanggar arahan kuarantin telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara serta denda.

Ia termasuk seorang pemilik restoran nasi kandar di Kedah yang pulang dari India pada Julai di mana beliau gagal mematuhi arahan kuarantin sebelum didapati positif COVID-19 dan mencetuskan kluster PUI Sivagangga yang sehingga kini telah menjangkiti 45 individu.

Seorang wanita Nur Emah Mohamad Hashim, 72, pula dihukum penjara satu hari dan didenda RM8,000(AS$1,917) oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas didapati bersalah melanggar perintah kuarantin rumah apabila wanita yang memakai gelang kuarantin berwarna pink sedang menikmati makanan di sebuah medan selera telah tular di media sosial, sekaligus membawa kepada penahanan oleh pihak berkuasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.