Malaysia Tahan Lima Pegawai Imigresen Berhubung Kes Sabotaj Sistem
2016.06.09
Washington

Polis DiRaja Malaysia menahan lima pegawai Jabatan Imigresen kerana dipercayai terlibat dalam sindiket menggodam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs), kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Rabu bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.
"Polis juga ada merampas beberapa barang (kepunyaan) mereka antaranya dokumen dan siasatan akan diteruskan," kata Khalid seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Dalam pada itu, akhbar The Star melaporkan penahanan lima pegawai itu menjadikan sehingga seramai 10 pegawai telah ditahan polis melibatkan kes berkenaan.
Khalid berkata, polis akan meneruskan operasi mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan sindiket itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen ditahan dan disiasat kerana dipercayai terlibat dalam mensabotaj sistem myIMMs.
Ketua Pengarah Imigresen Sakib Kusmi pula berkata, aktiviti menggodam sistem myIMMs itu dipercayai bermula sejak tahun 2010, melibatkan rangkaian yang didalangi oleh warga asing yang menggunakan pegawai jabatan dan vendor sistem berkenaan untuk mengawal pergerakan keluar atau masuk sesiapa saja ke Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim baru-baru ini memberitahu media tempatan, satu pasukan petugas khas telah dibentuk untuk mengkaji kelemahan dalaman sistem berkenaan selepas Laporan Ketua Audit Negara 2015 mendapati bahawa sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik.
Menurut laporan itu lagi, kemudahan sistem biometrik bernilai RM10.3 juta [AS$2.5 juta] yang direka untuk menyaring dan mengenalpasti warga asing dan juga rakyat Malaysia di pintu masuk utama negara, didapati tidak dipasang dan digunakan.
Susulan daripada itu, Jabatan Imigresen turut mengambil tindakan membuang kerja 15 pegawai dengan 14 lagi digantung kerja manakala lapan lagi dihentikan pergerakan gaji mereka sejak Feburari.
Khalid semasa dihubungi BeritaBenar baru-baru ini, memberitahu bahawa siasatan salah laku terhadap pegawai jabatan itu sedang dijalankan oleh polis dan sekiranya mempunyai bukti terlibat dalam jenayah, tindakan pertuduhan terhadap mereka akan dibuat.