Pencerobohan Sabah: Sembilan Warga Filipina Dijatuhi Hukuman Mati
2017.06.08
Kuala Lumpur

Mahkamah Malaysia pada Khamis menjatuhi hukuman mati terhadap sembilan warga Filipina kerana mengambil bahagian dalam serangan gagal untuk menceroboh negeri Sabah yang menyebabkan lebih daripada 70 orang maut empat tahun lalu.
Ketiga-tiga anggota panel Mahkamah Rayuan di Putrajaya membatalkan hukuman penjara seumur hidup yang dikeluarkan oleh mahkamah rendah tahun lalu terhadap sembilan defendan yang didapati bersalah atas pencerobohan berkenaan.
Pihak pendakwaan berjaya dalam rayuannya kepada Mahkamah Rayuan untuk menukar hukuman itu kepada hukuman mati.
Dokumen mahkamah menyatakan bahawa kesemua sembilan warga Filipina itu adalah dari Tentera Diraja Sulu di bawah perintah arwah Jamalul Kiram III, yang menggelarkan dirinya sebagai Sultan Sulu di selatan Filipina.
Amirbahar Hushin Kiram, anak saudara kepada Jamalul Kiram III, adalah antara sembilan rakyat Filipina yang menerima hukuman mati pada Khamis.
Semasa berhujah menyampaikan keputusan hukuman mati pada Khamis, Hakim Mohd Zawawi Salleh berkata, serangan itu belum pernah terjadi di Malaysia dan menekankan bahawa pendakwaraya mempunyai cukup bukti dalam menunjukkan pencerobohan itu telah dirancang dengan teliti sebelum ianya dilaksanakan.
"Atas sebab-sebab di atas, kami membenarkan rayuan (pihak pendakwaan) dan mengetepikan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap responden dan menggantikannya dengan hukuman mati terhadap setiap seorang responden," kata Zawawi.
Datang melalui laut
Pada Februari 2013, kira-kira 200 lelaki bersenjata tiba dengan bot flotila yang usang daripada Kepulauan Sulu yang berdekatan dengan Sabah dan menceroboh sebahagian besar pantai di Sabah selama beberapa minggu kerana mahu menuntut hak Kesultanan Sulu yang mengikut sejarah pernah memerintah Sabah.
Pencerobohan itu merupakan krisis keselamatan yang paling serius di Malaysia yang pernah berlaku. Tujuh puluh dua orang, termasuk 56 orang anggota tentera Sulu yang bersenjata, anggota pasukan keselamatan Malaysia serta enam orang awam terbunuh ketika berbalas tembakan berlaku selama beberapa minggu. Pertempuran itu berakhir apabila baki militan yang ada melarikan diri dan kembali ke Filipina.
Sembilan warga Filipina berusia antara 42 dan 77, adalah antara 23 lelaki yang menghadapi pelbagai tuduhan, termasuk "melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agong Malaysia," yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan Malaysia.
Defendan lain menerima hukuman antara 10 hingga 18 tahun.
Dalam reaksi terhadap keputusan mahkamah Malaysia pada Khamis, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina berkata Manila akan terus memberikan bantuan undang-undang kepada rakyat Filipina, dengan menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan belum lagi muktamad.
[Kes itu] akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia [Mahkamah Agung] di bawah rayuan automatik," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Kesultanan Sulu, yang wujud sejak 1405, memerintah pulau-pulau di Kepulauan Sulu, sebahagian kawasan Mindanao di selatan Filipina dan sebahagian daripada pulau Borneo, termasuk Sabah, sehingga kira-kira awal abad ke-19. Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963, tetapi negara masih membayar sewa kepada Kesultanan Sulu setiap tahun.
Kerana jarak yang dekat antara Malaysia dan selatan Filipina, ramai rakyat Filipina, kebanyakannya dari pulau-pulau Mindanao, telah berhijrah ke Sabah pada tahun 1970 untuk melarikan diri daripada konflik bersenjata antara tentera kerajaan dan gerila pemisah.
Kira-kira 800,000 rakyat Filipina tinggal di Sabah, negeri dengan penduduk yang berjumlah lebih daripada 3.5 juta.
Felipe Villamor di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.