Doktor: Suspek Warga Korea Utara Boleh Racuni Kim Jong Nam
2017.10.04
Shah Alam, Selangor

Suspek warga Korea Utara mungkin meracuni abang pemimpin Pyongyang sebelum melarikan diri dari Malaysia, seorang doktor yang melakukan autopsi memberi keterangan sebagai saksi pada hari ketiga perbicaraan dua wanita Asia Tenggara yang dituduh membunuh Kim Jong Nam.
Perbicaraan hari ini juga menyaksikan pendakwaraya memakai topeng muka kerana mereka membentangkan bukti yang dikatakan mengandungi agen saraf VX, satu bahan kimia yang dilarang di peringkat antarabangsa yang digunakan untuk membunuh Kim Jong Nam, menurut pihak berkuasa Malaysia. Sampel itu termasuk kemeja-t dan seluar dalam yang dipakai oleh Kim serta beg miliknya.
Sementara seorang peguambela tertuduh mempersoalkan, Dr. Mohd Shah Mahmood, di kandang saksi, yang mengakui bahawa Kim boleh diracuni sebelum beliau pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari. Polis Malaysia berkata Kim dibunuh dalam serangan senjata kimia di lapangan terbang pada hari itu semasa beliau sedang bersedia untuk menaiki pesawat ke Macau.
Kedua-dua wanita Asia Tenggara yang sedang menjalani pembicaraan boleh dijatuhkan hukuman mati jika didapati bersalah, dan pendakwaraya menyatakan bahawa kedua-dua wanita berkenaan menyapu muka Kim dengan agen saraf VX ketika mereka menyerangnya di lapangan terbang tersebut.
Pada peringkat awal siasatan pihak berkuasa Malaysia berkata mereka mengenal pasti empat lelaki warga Korea Utara yang dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan telah meminta bantuan Interpol untuk mencari keempat-empat lelaki tersebut selepas dipercayai berlepas dengan pesawat dari Malaysia pada hari pembunuhan tersebut.
Keempat-empat lelaki Korea Utara itu telah difilemkan oleh kamera TV liter tertutup keselamatan di lapangan terbang yang sama pada 13 Febuari, kata polis.
"Doktor, adakah anda bersetuju dengan saya bahawa anda tidak tahu sama ada keempat lelaki itu masih boleh meracuni mangsa dengan agen saraf VX sebelum pergi ke KLIA ?," tanya peguambela Naran Singh kepada saksi, di mana Mohd Shah menjawab bahawa beliau tidak tahu.
"Adakah ada kemungkinan?" Naran menekankan dalam soalan susulannya.
"Jika bercakap tentang kemungkinan, ada kemungkinan," jawab Mohd Shah, yang mengetuai Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, di mana mayat Kim disimpan selama beberapa minggu selepas pembunuhan itu.
Apabila perbicaraan bermula pada Isnin, Hakim telah menolak permintaan dari pihak peguambela yang memaksa pendakwaraya memasukkan nama keempat-empat lelaki Korea Utara kedalam rekod mahkamah. Hakim Azmi Ariffin berkata, meninggalkan maklumat itu tidak akan menjejaskan kes terhadap kedua-dua defendan itu.
Tiada persamaan DNA
Selain daripada kesan agen saraf VX yang terdapat dalam darah Kim, mukosa mata dan swab muka, ujian makmal terhadap sampel darah yang diambil dari tubuh menunjukkan kesan dadah lain dalam sistem badan simati, Dr. Mohd Shah memberi keterangan. Beliau berkata agen saraf VX boleh memasuki sistem seseorang "melalui sentuhan kulit, pengingesan, penyedutan, suntikan dan mata."
"Terdapat enam jenis ubat dalam sampel darah si mati, iaitu ubat untuk merawat kencing manis, tekanan darah tinggi, gout dan juga masalah ereksi," kata doktor ketika menjawab soalan Gooi Soon Seng, seorang peguam yang mewakili tertuduh wanita Indonesia, Siti Aisyah, 25 tahun.
Naran adalah salah seorang peguambela yang mewakili tertuduh, Doan Thi Hoang, 28, warga Vietnam.
Pada Rabu, peguambela juga kelihatan cuba mencetuskan keraguan bagaimana agen saraf diperkenalkan kepada mangsa.
Naran bertanya kepada Dr. Mohd Shah sama ada beliau bersetuju bahawa si mati boleh diberikan minuman yang dicampur dengan agen saraf VX sebelum tiba di lapangan terbang, dengan pakar patologis itu menjawab bahawa dia "tidak dapat menentukannya."
Semasa soal balas oleh Naran, Mohd Shah juga mendedahkan bahawa beliau tidak dapat melakukan ujian DNA untuk mengesahkan identiti mangsa kerana beliau tidak menerima sampel DNA daripada waris. Apabila dia dibunuh, Kim membawa pasport Korea Utara yang dikenali sebagai "Kim Chol."
Keterangan tersebut penuh kesangsian dan bertentangan dengan dakwaan kerajaan Malaysia bahawa identiti Kim Jong Nam telah disahkan melalui sampel DNA yang diberikan oleh salah seorang anaknya.
"Adakah benar bahawa DNA dari tubuh Kim Chol dibandingkan dengan anaknya untuk mengesahkan bahawa mayat sebenarnya adalah Kim Chol?" tanya Naran kepada Mohd Shah.
"Tidak benar," jawab doktor. "Persamaan DNA tidak dapat dilakukan kerana saya hanya mempunyai satu set DNA - iaitu dari si mati."