Peguam Bela Tegaskan Kim Mati 'Dibunuh'
2017.11.09
Shah Alam, Selangor

Seorang peguam bela Malaysia pada Khamis memperkukuhkan hujahnya di mahkamah bahawa kematian Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, adalah bermotifkan politik dan oleh itu, ia adalah satu tindakan pembunuhan.
Gooi Soon Seng, peguam bela yang mewakili seorang daripada dua wanita Asia Tenggara yang dituduh dalam kes itu, menekankan tentang kaitan politik berhubung kes itu sehari selepas beliau menumpukan kepada kemungkinan penglibatan pegawai kedutaan Korea Utara dalam pembunuhan gaya Perang Dingin itu di sebuah lapangan terbang Malaysia pada 13 Feb lalu.
"Bukti-bukti menunjukkan ada sebab untuk mempercayai bahawa ini adalah pembunuhan politik kerana mereka yang menjadi suspek utama, yang menukar pakaian dan melarikan diri pada hari sama, telah meninggalkan negara ini pada hari yang sama," kata Gooi kepada pemberita pada Khamis, pada akhir hari ke-15 perbicaraan itu.
Anak guam Gooi iaitu rakyat Indonesia Siti Aisyah, 25, dan rakyat Vietnam Doan Thi Huong, 28, dituduh bersubahat melakukan pembunuhan itu dengan empat lelaki Korea Utara yang telah melarikan diri dari negara ini pada hari pembunuhan itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.
Semasa beliau cuba mendedahkan kelemahan dalam siasatan polis, Gooi pada Khamis menekan pegawai penyiasat utama kes itu, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, dengan soalan demi soalan semasa pemeriksaan balas terhadap apa yang beliau gambarkan sebagai kekurangan usaha pihak berkuasa untuk memaksa seorang saksi utama memberi keterangan.
Gooi mengenal pasti saksi yang hilang itu sebagai Ri Jong Chol, pakar teknologi maklumat (IT) dan ahli kimia Korea Utara. Kondominium yang disewanya telah diserbu pihak polis yang mengesyaki ia diubah menjadi makmal haram untuk menghasilkan agen saraf yang membunuh Kim Jong Nam.
Ri Jong, yang ditahan reman oleh polis selama dua minggu sejurus selepas pembunuhan itu, telah dihantar pulang ke Pyongyang pada 3 Mac selepas pihak berkuasa mengatakan mereka tidak mempunyai bukti untuk mendakwanya.
Gooi mempersoalkan mengapa polis tidak merampas pakaian Ri Jong atau mengambil keratan kuku jarinya untuk analisis kimia.
"Sekiranya mereka melakukan penyiasatan yang sewajarnya, kita akan dapati ada bukti untuk mengaitkannya [Ri Jong Chol] dengan empat orang yang telah melarikan diri itu, yang merupakan pelaku utamanya," kata Gooi kepada pemberita selepas perbicaraan itu.
Pada Rabu, peguam bela itu mula mengaitkan Pyongyang dengan pembunuhan itu selepas pegawai penyiasat utama memberitahu mahkamah bahawa tiga lelaki yang dikehendaki dalam pembunuhan itu telah dibawa ke lapangan terbang dengan sebuah van mini yang dibeli oleh pegawai Kedutaan Korea Utara.
Gooi menegaskan bahawa pembunuhan itu bermotifkan politik kerana tiada bukti menunjukkan kedua-dua tertuduh wanita itu mempunyai motif untuk melakukan perbuatan itu.
"Dalam setiap pembunuhan mesti ada motif. Kim Jong Nam membawa beribu-ribu dolar A.S tetapi wang itu tidak diambil pun," kata Gooi. "Adakah ia perbuatan balas dendam? Apakah kerana cemburu? Tiada bukti yang menunjukkan ke arah itu. "
Terdahulu dalam perbicaraan itu, Wan Azirul Nizam berkata, para penyiasat menemui $100,000 dalam bag galas yang dibawa mangsa ketika dia diserang di lapangan terbang itu.
Kedua-dua wanita itu mengaku tidak bersalah dan menegaskan yang mereka mengambil bahagian dalam aksi gurauan untuk satu rancangan realti TV. Mereka dituduh menyerang Kim dan menyapu bahan kimia, agen saraf VX yang menyebabkan kematiannya, pada wajahnya di terminal berlepas di lapangan terbang tersebut.
Kedua-dua wanita itu berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Wang dirampas tidak dihantar untuk analisis kimia
Semasa pemeriksaan balas pada pagi Khamis, Wan Azirul Nizam berkata, polis merampas satu botol mengandungi klorida, dua sarung tangan, berus gigi, telefon bimbit, komputer dan wang tunai AS$38,000 apabila pegawai penguatkuasaan menyerbu kondominium Ri Jong Chol.
Tetapi, apabila peguam bela itu bertanya sama ada beliau telah meminta bantuan daripada Jabatan Kimia kerajaan untuk mengesan kewujudan VX di kondo tersebut, Wan Azirul Nizam menjawab tidak. Barang-barang yang dirampas itu, kecuali wang berkenaan, telah dihantar ke jabatan itu untuk analisis.
Wan Azirul Nizam juga memberi keterangan bahawa beliau tidak merampas pakaian Ri Jong Chol atau mengambil contoh keratan kuku rakyat Korea Utara itu kerana beliau "merasakan ia tidak perlu" pada ketika itu.
Wan Azirul Nizam juga memberi keterangan bahawa beliau telah menyoal siasat Ri Jong Chol hanya sekali sebelum dia dihantar pulang ke Korea Utara.
Menurutnya beliau tidak memohon sepina bagi meminta rakyat Korea Utara itu menjadi saksi kerana beliau tidak menerima arahan untuk berbuat demikian daripada pegawai atasannya.
Pegawai-pegawai Korea Utara telah menafikan tuduhan mengenai penglibatan negara itu dalam pembunuhan di lapangan terbang tersebut.
Hadi Azmi di Shah Alam turut menyumbang kepada laporan ini.