Pegawai Kedutaan Korea Utara Dilihat Bersama Empat Suspek Kes Pembunuhan Jong Nam
2017.11.06
Shah Alam, Selangor

Seorang pegawai Kedutaan Korea Utara dilihat dalam rakaman video pengawasan bersama-sama empat suspek yang dikehendaki bagi kes pembunuhan Kim Jong Nam sejurus selepas pembunuhan itu berlaku di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur, kata seorang pegawai penyiasat polis semasa memberi keterangan pada Isnin.
Pegawai penyiasat utama kes itu, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, buat pertama kalinya memberitahu mahkamah bahawa keempat-empat lelaki itu adalah rakyat Korea Utara.
Rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan diplomat itu dan pengurus syarikat penerbangan nasional Korea Utara, Air Koryo, membantu keempat-empat lelaki di kaunter daftar masuk di lapangan terbang berkenaan dalam masa sejam selepas pembunuhan itu, kata Wan Azirul.
Katanya, beliau telah mengambil kenyataan daripada diplomat Korea Utara dan pengurus Air Koryo itu selepas mendapatkan identiti mereka melalui Cawangan Khas, sebuah agensi risikan di bawah Polis DiRaja Malaysia.
"Mereka menjelaskan bahawa mereka berada di sana bagi membantu setiap individu atau rakyat Korea Utara yang akan menaiki pesawat untuk meninggalkan negara ini," kata Wan Azirul pada perbicaraan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di luar Kuala Lumpur.
Pada Februari lalu, Polis Malaysia telah menamakan diplomat itu sebagai Hyon Kwang Song, 44, setiausaha kedua di misi diplomatik Pyongyang di Kuala Lumpur, serta Kim Uk Il, 37, yang merupakan pengurus syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo.
Wan Azirul Nizam memberikan keterangannya sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, dan rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, yang dituduh bersama-sama dengan empat lelaki yang melarikan diri dari negara ini selepas pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri diktator Korea Utara, Kim Jong Un.
Para pendakwa raya berkata, kedua-dua wanita itu telah menyapu agen saraf VX pada muka mangsa, yang sedang menunggu penerbangan ke Macau pada 13 Feb.
Siti Aisyah dan Doan mengaku tidak bersalah dan memberitahu bahawa mereka telah ditipu untuk menyerang Kim Jong Nam sebagai sebahagian daripada aksi gurauan untuk program realiti televisyen. Peguam pembelaan pula mendakwa kedua-dua wanita itu menjadi ‘kambing hitam’ dan mangsa penipuan rumit yang melibatkan empat lelaki tersebut.
Kedua-dua wanita itu, yang ditahan beberapa hari selepas pembunuhan tersebut, berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Wan Azirul Nizam memberi keterangan pada Isnin bahawa empat lelaki yang melarikan diri dari Kuala Lumpur sejurus selepas pembunuhan tersebut adalah Hong Song Hac (alias Mr Chang), 34; Ri Ji Hyon (alias Mr Y), 33; Ri Jae Nam (alias Hanamori), 57; dan O Jong Dil (alias James), 55.
Kedua-dua wanita itu mengenali mereka hanya menerusi nama lain mereka, kata pegawai penyiasat itu dan menjelaskan bahawa beliau memperoleh identiti suspek berkenaan dengan bantuan pihak Cawangan Khas.
Walaupun keempat-empat lelaki itu tiba di Malaysia pada tarikh berasingan di antara 31 Jan dan 17 Feb lalu, kesemua mereka meninggalkan negara ini pada 13 Feb iaitu pada hari pembunuhan tersebut, kata Wan Azirul Nizam. Beliau berkata, tiga daripada empat suspek itu mengambil penerbangan ke Jakarta selepas pembunuhan di lapangan terbang tersebut, tetapi tidak dapat mengesan destinasi Jong Dil.
Pembunuhan itu telah menjejaskan hubungan diplomatik sekian lama di antara Malaysia dan Korea Utara, yang telah menafikan sebarang peranan dalam pembunuhan itu serta enggan mengenal pasti mayat Kim Jong Nam, yang memegang pasport tertera nama Kim Chol, semasa dia diserang.
Tetapi, Kuala Lumpur akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan perselisihan dengan Pyongyang dengan menghantar mayat Kim Jong Nam ke Pyongyang sebagai pertukaran bagi melepaskan sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu berikutan arahan larangan keluar.
Hyon Kwang Song, setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara, dan Kim Uk Il, pengurus Air Koryo, serta seorang lelaki ketiga yang turut dikehendaki Polis Malaysia untuk disoal siasat berhubung kes pembunuhan tersebut, berada dalam penerbangan sama yang membawa mayat Kim Jong Nam kembali ke tanah airnya.