Barang Bukti VX Bawa Perbicaraan Kim Jong Nam Ke Makmal

Hareez Lee, N. Nantha & Fadzil Aziz
2017.10.09
Petaling Jaya, Selangor
171009-MY-prosecutors-620.jpg Pendakwaraya beredar meninggalkan kompleks Jabatan Kimia Malaysia berhampiran Kuala Lumpur pada hari kelima perbicaraan kes dua wanita Asia Tenggara dituduh membunuh Kim Jong Nam, 9 Okt 2017.
(Fadzil Aziz/BeritaBenar)

Perbicaraan kes dua wanita Asia Tenggara yang dituduh membunuh Kim Jong Nam dibawa ke sebuah makmal dilengkapi tahap keselamatan tinggi pada Isnin untuk melihat pakaian kedua-dua defendan itu yang mengandungi agen saraf yang membunuh lelaki itu, manakala para peguam bela mereka mempersoalkan kewujudan  blazer (jaket) yang dipakai mangsa.

Minggu kedua perbicaraan itu bermula dengan kunjungan ke kompleks Jabatan Kimia Malaysia di mana para pendakwa raya, peguam bela, hakim dan defendan melihat pakaian dan barang bukti lain termasuk kemeja-t yang diuji bagi VX, agen saraf yang membawa maut itu.

"Tiada, tiada. Tiada blazer. Kami telah dimaklumkan tetapi saya dengar blazer itu telah dihantar kembali ke Korea Utara," kata Naran Singh, yang mewakili tertuduh Doan Thi Hoang dari Vietnam, kepada pemberita.

Doan dan Siti Aisyah dari Indonesia, dituduh membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu. Pasukan peguam bela tertuduh memberitahu bahawa mereka akan mendapatkan penjelasan mengenai  blazer itu apabila mahkamah menyambung perbicaraan itu selepas mengadakan prosiding yang singkat pada Isnin.

"Itulah yang kami mahu tanyakan esok," kata Naran.

Dalam rakaman televisyen litar tertutup lapangan terbang itu, Kim Jong Nam dilihat memakai blazer berwarna kelabu cerah sebelum beliau diserang di lapangan terbang itu. Beliau disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian.

"Blazer yang dipakai mangsa pada hari tersebut adalah barang bukti yang penting kerana ia mengandungi kepekatan maksima agen VX," kata peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti, sambil memberitahu bahawa perbicaraan itu akan disambung di Mahkamah Shah Alam berhampiran Kuala Lumpur pada Selasa.

Pendakwa raya memberitahu BeritaBenar bahawa pihaknya akan menjelaskan mengenai kewujudan  blazer apabila perbicaraan itu disambung.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, saksi seterusnya adalah pegawai penyiasat polis yang ditugaskan menyiasat kes itu, yang akan memberi keterangan mengenai pakaian mangsa.

"Saya tidak boleh mengulas sekarang. Tunggu IO (pegawai penyiasat) hadir, beliau akan menerangkan di mana jaket itu. Beliau akan memberikan keterangannya esok," katanya kepada BeritaBenar.

Keterangan sebelum ini

Minggu lepas, Raja Subramaniam, ketua ahli kimia di Pusat Senjata dan Analisis Kimia Malaysia, memberitahu Mahkamah Tinggi negara itu bahawa beliau mendapati kesan agen saraf yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada pakaian kedua-dua defendan, Aisyah, 25, dan Doan, 28.

Keterangannya membawa kepada kaitan pertama yang menghubungkan agen saraf VX itu kepada dua pekerja asing itu yang dituduh membunuh Kim Jong Nam dengan menyapu VX pada mukanya ketika beliau menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau. Kedua-dua wanita itu telah menafikan pertuduhan tersebut dengan berkata bahawa mereka diberitahu bahawa  mereka akan melakukan aksi gurauan yang dirakamkan bagi program kamera tersembunyi televisyen.

Pembunuhan itu telah mencetuskan perbalahan diplomatik dua hala selama enam minggu yang menyaksikan Malaysia dan Korea Utara mengusir duta dan mengenakan larangan keluar terhadap rakyat masing-masing. Perdana Menteri Najib Razak serta pihak Korea Selatan dan Amerika Syarikat menyalahkan ejen-ejen kerajaan Korea Utara dalam kematian Kim.

Pada akhir Mac, Malaysia bersetuju untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam kepada Korea Utara sebagai pertukaran bagi pembebasan kakitangan kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang terkandas di Pyongyang akibat larangan keluar itu, yang kemudiannya ditarik balik.

Anggota polis mengiringi wanita Indonesia Siti Aisyah dari kompleks Jabatan Kimia Malaysia berhampiran Kuala Lumpur, 9 Okt 2017. (Fadzil Aziz/BeritaBenar)

Butiran perbicaraan

Hari kelima perbicaraan kes itu berlangsung lebih daripada sejam pada Isnin dengan Hakim Azmi Arrifin, pihak pendakwa raya dan pasukan peguam bela melihat barang bukti  tersebut termasuk  pakaian dan keratan kuku kedua-dua tertuduh. Mereka berdiri di luar bilik makmal itu yang dipisahkan dengan panel kaca.

"Kami memakai kot makmal, sarung tangan dan topeng pernafasan," kata peguam Siti, Selvi Sandrasegaram, kepada pemberita.

Gooi Soon Seng, yang turut mewakili Siti, berkata, prosiding itu bertujuan melihat barang bukti yang mempunyai kesan VX, dan memberitahu bahawa tiada keterangan yang diberikan.

"Hari ini hanyalah untuk tujuan pengecaman," kata Gooi.

Perbicaraan itu sepatutnya  disambung semula di mahkamah pada petang Isnin  tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga pagi Selasa selepas Raja, yang akan menyambung keterangannya sebagai saksi,  merungut bahawa beliau kepenatan.

"Ia memenatkan bagi kami semua. Keadaan panas kerana tidak ada udara segar," kata Selvi ketika ditanya mengenai kesihatan saksi itu.

Video lif

Sementara itu, Fuji TV Jepun menyiarkan satu video pada malam Ahad yang menunjukkan Kim Jong Nam berada di atas sebuah pengusung beroda ketika kakitangan perubatan menunggu lif untuk membawa beliau ke ambulans, yang mungkin merupakan saat-saat terakhirnya hidupnya, lapor Associated Press (AP) .

Selepas pengusung beroda membawa tubuh Kim yang kaku ke kawasan yang nampaknya hanya untuk kakitangan lapangan terbang itu, sebelum dipindahkan ke ambulans, seorang daripada lima orang yang ada bersamanya menekan butang lif, lapor AP.

Ia mengambil masa lebih daripada satu minit untuk tiba dan pada masa itu, mereka yang mengendali urusan itu, dengan berpakaian seragam hijau, kelihatan saling bercakap ketika seorang daripada mereka menekan alat resusitasi yang dipasang pada muka Kim. Selepas pintu lif dibuka, kumpulan itu masih belum beredar dari situ selama hampir seminit lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.