Empat Suspek Dinamakan Dalam Kes Pembunuhan Kim Jong Nam
2017.10.12
Shah Alam, Selangor

Seorang penyiasat polis yang memberi keterangan pada Khamis dalam perbicaraan kes pembunuhan Kim Jong Nam menggambarkan bagaimana, sejurus sebelum pembunuhan itu, dua suspek yang masih bebas, menuangkan cecair pada tangan dua tertuduh yang didakwa menyapu agen saraf maut pada wajah mangsa.
Suspek adalah antara empat lelaki, yang dipercayai rakyat Korea Utara, yang dinamakan oleh pegawai penyiasat kes itu Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz pada hari kelapan perbicaraan Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Hoang dari Vietnam, semasa beliau memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.
Kedua-dua wanita itu boleh dihukum mati jika disabitkan kesalahan bagi pertuduhan membunuh dalam serangan kimia terhadap abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lalu.
Polis telah mengenal pasti empat suspek yang masih bebas itu sebagai Mr Chang, James, Mr Y dan Hanamori (atau dikenali sebagai ‘Grandpa’ atau ‘Uncle’), kata Wan Azirul di Mahkamah Malaysia di Shah Alam, dekat Kuala Lumpur.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa keempat-empat lelaki itu dikesan dalam rakaman kamera litar tertutup lapangan terbang itu dan dikenal pasti selepas polis menyoal siasat kedua-dua wanita itu.
Rakaman video pengawasan lapangan terbang itu yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan Doan berjalan dengan seorang lelaki yang memakai topi, sementara Siti Aisyah dilihat bertemu seorang lelaki lain yang juga memakai topi di kafe lapangan terbang itu sebelum Kim diserang di terminal berlepas yang penuh sesak itu.
Wan Azirul mengenal pasti kedua-dua lelaki itu sebagai Mr Y dan Mr Chang serta berkata bahawa mereka dipercayai telah menuangkan cecair pada tangan kedua-dua wanita itu sebelum Aisyah dan Doan menyentuh muka Kim.
Ketika pegawai mahkamah menayangkan rakaman kamera litar tertutup lapangan terbang itu, Wan Azirul memberi keterangan bahawa setiap lelaki yang dilihat dalam video itu telah memainkan peranan yang berbeza dalam rancangan itu termasuk meletakkan apa yang kelihatan seperti bahan cair pada tangan kedua-dua wanita tersebut.
"Dalam video ini, tertuduh Doan sedang berjalan dengan seorang lelaki yang memakai topi hitam dan membawa beg galas. Lelaki itu dikenali sebagai Mr Y," katanya.
Apabila Pendakwa Raya Wan Shaharuddin bertanya kepada Wan Azirul apa peranan Mr Y, beliau menjawab:
"Dia adalah individu yang meletakkan cecair pada tangan tertuduh kedua (Doan)."
"Dia juga yang membeli tiket teksi untuk tertuduh pertama (Siti Aisyah)," katanya.
Wan Azirul juga memberi keterangan bahawa Mr Chang dilihat menuangkan cecair pada tangan Siti Aisyah dalam video itu.
Para penyiasat tidak mengulas lanjut mengenai peranan kedua-dua lelaki lain dalam video itu, tetapi Hanamori memberi arahan kepada Mr Y manakala James merekrut Siti Aisyah untuk menyertai rancangan pembunuhan itu.
Wan Azirul, saksi kesembilan pendakwaan, tidak menyatakan sama ada empat suspek yang dinamakannya itu adalah rakyat Korea Utara atau sama ada mereka adalah empat individu, yang menurut polis Malaysia, telah meninggalkan Kuala Lumpur pada hari pembunuhan Kim. Beliau berkata nama itu diberikan oleh Doan dan Siti Aisyah semasa disoal siasat polis.
Masih bebas
Penyiasat itu tidak memberi keterangan lebih lanjut mengenai empat orang itu semasa keterangannya, tetapi Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Associated Press di luar mahkamah bahawa empat orang itu dipercayai rakyat Korea Utara.
Sebelum ini, polis Malaysia telah menamakan empat warga Korea Utara sebagai suspek dalam pembunuhan itu. Polis mengenal pasti empat orang itu sebagai Rhi Ji Hyon, Hong Song Hak, O Jong Gil dan Ri Jae Nam.
Pada 16 Mac lalu, Interpol mengeluarkan "notis merah" untuk empat rakyat Korea Utara itu dengan menggambarkan mereka sebagai suspek dalam pembunuhan di lapangan terbang Malaysia. Notis itu meminta polis yang terdapat dalam senarai 192 negara anggota Interpol, yang tidak termasuk Korea Utara, untuk berkongsi maklumat mengenai suspek tersebut.
Menurut laporan AP, polis berkata bahawa Chang sebenarnya ialah Hong Song Hak dan James juga dikenali sebagai Ri Ji U. James adalah seorang daripada tiga rakyat Korea Utara yang dikenal pasti oleh polis Malaysia sebagai orang yang dicari untuk disoal siasat bagi kes pembunuhan itu. Tetapi mereka telah dibenarkan kembali ke Korea Utara bersama-sama dengan mayat Kim pada 31 Mac lalu, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menamatkan perbalahan diplomatik selama enam minggu di antara kedua-dua negara itu berikutan pembunuhan Kim.
Kedua-dua tertuduh memberitahu polis bahawa mereka telah ditipu untuk melakukan serangan terhadap Kim dan menyangka mereka hanya beraksi bagi sebuah program realiti televisyen.
Gooi Soon Seng, peguam yang mewakili Aisyah, sebelum ini memberitahu pemberita bahawa wanita itu direkrut pada awal Januari oleh seorang lelaki Korea Utara yang dikenali sebagai James untuk membintangi apa yang dikatakannya sebagai video aksi gurauan, lapor AP. James telah memintanya pergi ke pusat beli-belah, hotel dan lapangan terbang serta akan merakamnya semasa dia menyapu minyak atau sos lada pada orang yang tidak dikenali, serta membayar Aisyah di antara $100 dan $200 bagi setiap aksi gurauan itu.
James kemudian memperkenalkan wanita Indonesia itu kepada seorang lelaki bernama Chang, yang memberitahu bahawa dia adalah penerbit program video gurauan China, lapor AP yang memetik peguam Aisyah sebagai berkata. Pada 13 Feb lalu, Chang menunjukkan Kim kepada Aisyah sebagai sasaran seterusnya dan meletakkan bahan itu pada tangannya, kata peguam itu.
Kim, 45, anak sulung pemimpin Korea Utara, Kim Jon Il, diserang ketika beliau sedang menunggu penerbangan ke Macau. Saksi-Saksi memberi keterangan bahawa beliau segera mendapatkan bantuan perubatan di lapangan terbang itu selepas serangan tersebut tetapi meninggal dunia di dalam ambulans semasa perjalanan ke hospital.
Dalam pernyataan pembukaan mereka pada permulaan perbicaraan itu, pendakwa raya memberitahu bahawa mereka mahu menyanggah dakwaan kedua-dua wanita itu bahawa mereka telah ditipu untuk melakukan aksi gurauan terhadap Kim dan tidak tahu bahawa mereka menyapu racun yang bertindak pantas, agen saraf VX, pada wajahnya.