Kim Jong Nam: Wanita Vietnam Mengaku Bersalah Atas Pertuduhan Lebih Ringan
2019.04.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Wanita Vietnam yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong-nam terlepas daripada hukuman mati apabila pihak pendakwaan menggantikan tuduhan bunuh dengan satu pertuduhan alternatif iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Doan Thi Huong yang ditangkap pada 15 Feb 2017 mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan baharu di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan kepadanya oleh seorang penterjemah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.
“Saya mengaku bersalah,” kata Doan melalui seorang penterjemah.
Selepas mengarahkan mahkamah berehat selama 20 minit untuk membuat keputusan, Hakim Azmi Ariffin akhirnya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan terhadap tertuduh sambil menyifatkan beliau sebagai “sangat beruntung”.
“Saya kata beruntung kerana daripada pertuduhan bunuh di bawah Seksyen 302 dengan hukuman gantung mandatori, kamu ditawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 324 yang hukuman maksimumnya cuma 10 tahun penjara.
“Sejujurnya saya rasa kamu patut berterima kasih kepada Peguam Negara dan Timbalan Pendakwaraya,” kata hakim.
Hukuman tersebut diarahkan berjalan bermula daripada tarikh Doan ditangkap pada tahun 2017.
Doan yang berpakaian baju kurung berada dalam kandang tertuduh buat pertama kalinya kelihatan gembira dan tersenyum mendengar hujah daripada hakim itu.
Menurut timbalan pendakwaraya Mohamad Iskandar Ahmad pihaknya telah mendapat arahan daripada Peguam Negara Tommy Thomas untuk menawarkan pertuduhan alternatif tersebut kepada tertuduh setelah meneliti dua perwakilan daripada pihak pembelaan tertuduh serta perwakilan daripada pihak kerajaan Vietnam yang memohon beliau untuk mempertimbangkan pertuduhan asal terhadap Doan.
Pada 11 Mac lalu, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan itu, Siti Aisyah dari Indonesia telah dibebaskan oleh mahkamah setelah pihak pendakwaraya menarik balik pertuduhan terhadap beliau setelah mendapat rayuan daripada pihak kerajaan Indonesia.
Aisyah dan Doan telah didakwa membunuh Kim Jong Nam dengan melumurkan muka mangsa dengan agen saraf VX, senjata kimia berbahaya yang dilarang, di balai berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb dua tahun lepas. Kedua-dua tertuduh mendakwa mereka telah diperdaya bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam aksi gurauan bagi sebuah rancangan realiti TV.
Tiada penjelasan segera
Sejak daripada itu, pihak pembelaan Doan yang diketuai peguam Hisyam Teh Pok Teik juga cuba untuk mendapatkan perintah yang sama untuk anak guam mereka namun perwakilan pertama mereka ditolak Peguam Negara.
“Pada 20 Mac lepas, kami memfailkan perwakilan kedua kepada Peguam Negara untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap Doan dan mencadangkan pertuduhan alternatif. Apa yang kita lihat pada pagi ini adalah hasilnya. Saya ingin berterimakasih kepada Peguam Negara,
Merujuk kepada pertuduhan alternatif itu, Doan didakwa telah menyebabkan kecederaan kepada Kim Chol menggunakan senjata, dan beliau mengakuinya," tambah Hisyam yang merujuk Kim Jong Nam dengan nama pada pasportnya.
Tidak ada sebarang penjelasan segera mengapa pihak pendakwaan Malaysia menerima pertuduhan lebih rendah bagi serangan dengan senjata kimia yang dilarang dan mengakibatkan kematian, walaupun peguamnya terus mengekalkan kenyataan yang wanita warga Vietnam itu tidak tahu apa bahannya.
Dalam dokumen pertuduhan alternatif telah menyatakan bahawa "anda dengan empat lagi yang masih bebas, pada 13 Februari 2017 sekitar 9 pagi….. dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Kim Chol menggunakan bahan yang berbahaya kepada badan apabila dimasukkan ke dalam aliran darah iaitu racun cecair VX."
Selepas selesai sesi perbicaraan, Hisyam yang ditemui media berkata, walaupun beliau gembira dengan keputusan perbicaraan pada Isnin itu, tetapi ianya masih belum membuktikan keadilan telah tercapai.
“Dalam perbahasan kami, pasukan peguambela kami telah memberitahu mahkamah bahawa Doan ialah seorang yang lurus dan mudah percaya, Mr. Y dan Hanamori telah mempergunakan dan memperalatkannya untuk melakukan perbuatan jahat dengan berselindung di sebalik melakukan video ‘prank.
“Selagi empat warga Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan ini belum dibawa ke muka pengadilan, selagi itu keadilan belum tercapai,” katanya.
Empat warga Korea Utara yang melarikan diri dari Malaysia sejurus selepas pembunuhan itu telah dikenalpasti oleh polis sebagai suspek. Satu ‘notis merah’ Interpol telah dikeluarkan terhadap keempat-empat lelaki tersebut.
Pada lewat Mac 2017, mayat Jong Nam dihantar pulang ke Korea Utara meskipun berlaku ketegangan diplomatik selama beberapa minggu antara Kuala Lumpur dan Pyongyang susulan kes pembunuhan itu.
Mayatnya diserahkan kepada kerajaan Korea Utara sebagai pertukaran bagi sembilan pegawai kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang terkandas di ibu negara itu, selama enam minggu susulan pertikaian itu.
Dua lagi warga Korea Utara, yang dikenalpasti oleh polis Malaysia mempunyai kaitan dengan siasatan, turut berada dalam penerbangan komersial yang sama yang membawa mayat Jong Nam keluar dari Malaysia.
Sementara itu, Duta Vietnam ke Malaysia Le Quy Quynh yang berada bersama Hisyam di mahkamah turut mengingatkan bahawa walaupun keputusan yang tercapai dilihat baik, namun Doan bersama-sama tertuduh pertama Siti Aisyah merupakan mangsa keadaan dalam kes ini.
“Dia tidak tahu apa-apa berkenaan kes ini,” kata Le, yang enggan mengulas lanjut tentang penglibatan Korea Utara dalam kes pembunuhan itu.
Menurut Le dan Hisyam, pihak mereka yakin bahawa Doan akan dibebaskan menjelang Mei 2019 dengan mengambilkira sistem perkiraan penjara yang dijalankan di Malaysia yang memberikan potongan 30 peratus tempoh penjara secara automatik kepada semua pesalah.
“Kami yakin sekitar 4 Mei 2019, Doan akan dibebaskan,” tambah Hisyam.
Dalam pada itu, bapa Doan, Doan Van Thanh yang turut berada di mahkamah juga menyatakan kegembiraan atas keputusan mahkmah pada Isnin itu.
“Saya sangat gembira dan saya hendak menyatakan penghargaan kepada duta dan peguam-peguam di sini. Anak saya juga sangat gembira hari ini (Isnin),” kata Van Thanh.
Ketika diminta mengulas keputusan mahkamah yang kelihatan mengambilkira tekanan daripada pihak luar, seperti pihak pemerintah Indonesia dan Vietnam, aktivis undang-undang Syahredzan Johan berkata keputusan tersebut merupakan satu bidang kuasa Peguam Negara yang perlu dihormati.
“Kita tidak tahu benar atau tidak beliau bertindak atas tekanan luar, namun pihak Peguam Negara mempunyai hak untuk tidak meneruskan pertuduhan atau meminda satu-satu pertuduhan,” katanya kepada BeritaBenar.
Tambahnya lagi, walaupun sehingga kini tiada individu yang telah disabitkan secara langsung menyebabkan kematian Kim Jong Nam, itu merupakan langkah yang lebih adil jika dibandingkan pihak pendakwaan meneruskan perbicaraan terhadap Doan dan Siti Aisyah tanpa bukti yang cukup.
“Pihak pendakwaan bertindak dengan tepat. Keadilan tak mungkin tercapai jika pertuduhan diteruskan tanpa bukti yang kukuh,” tegas Syahredzan.